Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menyerahkan tugas kepada pengendali skuad kebangsaan iaitu Kim Pan-gon untuk melakukan bedah siasat bagi mengetahui sisi kelemahan dimiliki pasukan tersebut.
Terdahulu, skuad kebangsaan gagal untuk melakar status juara dalam saingan Pestabola Merdeka 2023, selepas mereka mencipta kekalahan 0-2 di tangan Tajikistan.
Walaupun beraksi dengan sangat baik pada saingan awal ketika menewaskan India, momentum tersebut gagal dipertahankan skuad kendalian Kim untuk aksi di peringkat akhir.
Tampil dengan aksi sedikit tidak konsisten, segelintir penyokong di media sosial jelas risau dengan perkembangan semasa skuad kebangsaan yang akan menghadapi saingan Piala Asia hanya beberapa bulan sahaja lagi.
Untuk itu, beberapa perubahan perlu dilakukan segera oleh Kim supaya persiapan pasukan kebangsaan dapat kembali berjalan dengan lancar untuk terus membanggakan pada penyokong Harimau Malaya.
Menurut Datuk Noor Azman Rahman selaku Setiausaha Agung FAM, pihak mereka kini menyerahkan segalanya buat pengendali dari Korea Selatan itu untuk melakukan bedah siasat tentang keseluruhan prestasi dipamerkan Malaysia sepanjang kejohanan tersebut berlangsung.
“Belum lagi (buat bedah siasat prestasi Harimau Malaya dalam Pestabola Merdeka), itu kita serahkan kepada Kim Pan Gon,” kata Noor Azman menerusi laporan dikeluarkan oleh Harian Metro.
Untuk tahun ini, prestasi skuad kebangsaan boleh dianggap sangat membanggakan selepas Malaysia hanya merekodkan dua kali kekalahan sahaja termasuk ketika berdepan Tajikistan baru-baru ini.
Selain Tajikistan, skuad negara turut mencatat kekalahan pada awal tahun ini ketika mereka berdepan Thailand di gelanggang lawan bagi saingan Piala AFF lalu.
Bawah kendalian Kim, Malaysia kini bukan lagi pasukan belasahan selepas mereka berjaya menampilkan aksi cukup positif bertemu negara yang berada di kedudukan ranking lebih tinggi.
India, Syria, dan China antara yang sudah menjadi lawan Malaysia pada tahun ini, dan lebih membanggakan Harimau Malaya langsung tidak tewas atau dibolosi banyak gol.
Untuk aksi seterusnya, Malaysia bakal menghadapi satu lagi perlawanan pada bulan hadapan untuk bertemu Kyrgyzstan bagi aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 dan boleh dianggap sangat mencabar.
Sudah tentu Kim ingin memperbaiki segala aspek kelemahan yang ada pada saingan Pestabola Merdeka lalu untuk diubah menjadi lebih bagus serta menaikkan lagi kedudukan ranking negara di mata dunia.