FAM Tepis Dakwaan Guna Kuda Tua, Hanya 9 Daripada 26 Pemain Berusia 30 Ke Atas

FAM hari ini menepis dakwaan sesetengah peminat bola sepak tempatan dan bekas pemain kebangsaan yang mengkritik pemilihan pemain skuad kebangsaan menjelang aksi kelayakan Piala Asia 2019 menentang Lubnan pada 13 Jun 2017 ini.

Menjelaskan pendirian FAM dalam kenyataan media petang tadi, Setiausaha Agungnya Dato’ Haji Hamidin Haji Mohd Amin berkata:

“Pertamanya, ingin dijelaskan di sini bahawa pemilihan pemain-pemain tersebut bukanlah ditentukan oleh pengurusan tertinggi FAM seperti didakwa sesetengah pihak.”

“Sebaliknya ia adalah senarai yang dicadangkan oleh penolong jurulatih kebangsaan, Tan Cheng Hoe memandangkan ketua jurulatih kebangsaan, Nelo Vingada baru saja tiba di tanah air pada 23 Mei dan tidak sempat untuk menilai sendiri prestasi pemain dalam saingan Liga Malaysia.”

Berdasarkan senarai 26 pemain yang dikeluarkan FAM pada 24 Mei 2017 lepas, hanya 9 pemain berusia 30 tahun dan ke atas yang dilabel sebagai kuda tua.

Manakala selebihnya berusia di bawah 30 tahun – iaitu 7 pemain dalam lingkungan usia 22-25 tahun dan 10 pemain dalam lingkungan usia 26-29 tahun.

Vingada sedang memerhati pemain skuad bawah-23 negara

FAM turut menegaskan polisi kejurulatihan Vingada yang menggemari pemain muda adalah antara punca FAM memilih jurulatih kelahiran Portugal itu sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya.

“Beliau sendiri telah memberitahu akan memantau pemain-pemain dari skuad Projek Sukan SEA 2017 kendalian Datuk Ong Kim Swee untuk diserapkan dalam skuad kebangsaan pada masa akan datang,” jelas Hamidin lagi.

Hamidin kemudiannya menyambung, “Cuma untuk perlawanan pertama bertemu Lebanon pada 13 Jun ini, Vingada tidak mempunyai masa yang secukupnya.”

Sambil itu Hamidin juga menyeru peminat bola sepak tempatan dan bekas-bekas pemain supaya faham dengan situasi semasa dan tidak membangkitkan persoalan serta kritikan terhadap senarai 26 pemain yang telah dipilih itu.

Sebagai rekod, sebelum ini bekas-bekas pemain kebangsaan seperti Bakri Ibni dan Ramli Junit mempersoalkan pemilihan ‘kuda tua’ dalam skuad Harimau Malaya.

Ramli Junit menggesa FAM supaya lebih percayakan tenaga pemain muda untuk menggalas tugasan skuad senior kebangsaan.

Bakri Ibni pula membuat kenyataan kurang tepat dengan mengatakan, “Belum ada pasukan dalam dunia ini sampai separuh pemainnya berumur lebih 30 tahun. Saya jamin pasukan ini tidak akan pergi jauh. Tidak mustahil jika kena belasah nanti.”

4 pemain u-turn dipanggil Cheng Hoe

Selain isu kuda tua, sesetngah peminat bola sepak tempatan juga berang dengan kemasukan semula 4 pemain yang mengumumkan persaraan peringkat antarabangsa mereka sebelum ini – Safiq Rahim, Aidil Zafuan Abd Radzak, S Kunanlan dan Amirulhadi Zainal.

Menjelaskan isu ini, Hamidin memberitahu semua itu pilihan Tan Cheng Hoe sebagai pembantu ketua jurulatih skuad kebangsaan.

Beliau turut memberitahu tempat 4 pemain ini tetap tidak akan terjamin jika tidak mempamerkan persembahan baik dalam skuad kebangsaan.

“Mereka berempat ini akan tetap dianalisis prestasi mereka dalam kem latihan nanti dan tak semestinya mereka akan terus kekal dalam pasukan, jika gagal mempamerkan persembahan terbaik.”

Skuad Harimau Malaya akan menentang Lubnan menjelang aksi sulung Kelayakan Piala Asia 2019 di Stadium Tan Sri Dato’ Hj Hassan Yunos, Larkin pada 13 Jun ini.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN