FAM & FAS Sama Miliki Presiden Baharu, Apa Ekspektasi Rakyat Malaysia Dan Singapura?

Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS), memiliki Presiden yang baru. Lim Kia Tong menewaskan Bill Ng dari pasukan “The Game Changer” dalam undian yang dilakukan di Kota Singa semalam.

Untuk rekod, pemilihan pucuk pimpinan di dalam FAS diadakan buat pertama kali dalam sejarah badan bola sepak negara Kota Singa.

Sebelum ini, pucuk pimpinan FAS dipilih secara terus oleh kementerian yang menguruskan hal ehwal sukan di Singapura.

Bagaimanapun, FIFA mengarahkan agar perlembagaan FAS digubal untuk membenarkan pemilihan presiden yang lebih telus dan terbuka.

Pemilihan pucuk pimpinan FAS.

Kemenangan Lim Kia Tong bermakna Bernand Tan akan dilantik sebagai Timbalan Presiden manakala Edwin Tong, Teo Hock Seng, S. Thavaneson dan Razali Saad akan dilantik sebagai Naib Presideng FAS.

Forest Li, Dinesh Nair dan Darwin Jalil akan melengkapkan kepimpinan baharu FAS di bawah pimpinan Lim Kia Tong untuk tempoh sekurang-kurangnya 4 tahun akan datang.

Kemenangan Pasukan LKT menyaksikan badan bola sepak di Singapura, FAS dan juga negara jiran Malaysia yang diterajui oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memiliki pucuk pimpinan yang baharu dalam tempoh dua bulan terakhir ini.

Fox Sports Asia mempunyai pandangan mereka tersendiri untuk pucuk pimpinan baharu di dalam FAM dan FAS.

Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ), FAM

Menurut Fox Sport Asia, TMJ adalah seorang yang radikal dalam mengubah wajah bola sepak, di dalam mahupun luar padang.

Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam satu temuramah sebagai Presiden FAM.

1. Revolusi Di JDT

Apa yang dimaksudkan oleh Fox Sport ini jelas tidak boleh disangkal. Sejak TMJ mengambil alih teraju di Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) pada musim 2013, TMJ berjaya mengubah wajah pasukan di selatan tanah air negara dengan jayanya dalam masa yang singkat.

Untuk aksi di atas padang, kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) telah memenangi kesemua piala utama yang dipertandingkan di negara ini.

Juara Piala AFC 2015, JDT. Kredit: JOHOR Southern Tigers

Juara 3 kali berturut-turut Liga Super Malaysia, Piala FA 2016, dan 2 kali menjulang Piala Sumbangsih, kelab yang mendapat jolokan Harimau Selatan juga bergelar Juara Piala AFC pada 2015.

Kejayaan JDT bukan sahaja dinilai di atas padang. Jenama JDT terus dikomersilkan agar kelab JDT terus berkembang bukan sahaja di Malaysia, tetapi ke seluruh Asia dan dunia satu hari nanti.

2. Transformasi FAM

Baru sahaja sebulan menduduki Wisma FAM, kita boleh lihat bagaimana TMJ mulai giat mengubah wajah bola sepak negara. Langkah terbesar semestinya usaha baginda menghapuskan amalan salah guna kuasa dan rasuah di dalam bola sepak.

Tanpa menunggu lama, kita boleh melihat bagaimana baginda mengatur struktur di dalam FAM dengan memastikan setiap anggota dan unit bergerak bersama-sama aspirasi yang baginda mulakan.

Langkah ini menjadikan badan berkenaan menjadi lebih efisien berbanding tempoh 30 tahun sebelum ini.

Barisan Exco FAM di bawah pimpinan TMJ.

Selain daripada memastikan perjalanan pertandingan dan liga di bawah kendalian FMLLP dan FAM berjalan dengan lebih baik, usaha baginda untuk memperkasa dan meningkatkan mutu pengadilan di Malaysia adalah sesuatu yang positif.

3. Ekspektasi

Kita pasti akan ada lebih banyak perkara yang akan dilaksanakan oleh Presiden FAM berusia 32 tahun ini pada masa akan datang. Segala usaha ini memerlukan masa untuk tujuan implementasi.

Musuh utama di TMJ mungkin ialah peminat dan penyokong bola sepak di Malaysia sendiri. Mereka terlalu dahagakan kejayaan sehingga adakalanya kelihatan seperti tidak rasional dalam melakukan penilaian di FAM.

Semua mata pasti tertumpu kepada Presiden FAM, TMJ dalam tempoh beberapa minggu akan datang sempena pengumuman Ketua Jurulatih Harimau Malaya yang baharu. Pencapaian skuad kebangsaan pasti adalah kayu pengukur utama buat TMJ sebagai Presiden FAM.

Lim Kia Tong (LKT), FAS

Lim Kia Tong, 64 tahun juga adalah seorang peguam litigasi jenayah. Lim dan pasukan LKT menewaskan pesaingnya, Bill Ng dengan kelebihan 17 undi.

Ianya setelah kesemua 44 ahli gabungan mengundi di Black Box Auditorium, Sport’s Hub, Singapura.

Lim Kia Tong

1. FIFA Dan FAS

Lim Kia Tong adalah Timbalan Pengerusi Komiti Disiplin FIFA. Lim Kia Tong bukanlah indiuvidu yang asing di dalam FAS mahupun bola sepak Singapura.

Sebelum diundi sebagai Presiden FAS yang baharu semalam, Lim merupakan Naib Presiden FAS. Lim Kia Tong telah memegang pelbagai jawatan sejak menyertai FAS pada tahun 1992.

Pengalaman  Lim Kia Tong pasti menjadikan seorang individu yang berpengalaman dan arif  dalam FAS.

2. Tekad Pasukan Lim

Mesej kemenangan Lim adalah mudah dan disampaikan dengan jelas.  Pasukan Lim tidak akan membawa perkara lama dari pentadbiran lepas. Lim menjanjikan pembaharuan yang telus dan inklusif  untuk era bola sepak Singapura.

“Hari ini bukanlah kemenangan untuk pasukan LKT. Ini adalah kemenangan untuk masa depan bola sepak Singapura. Ini adalah mandat yang akan membawa pembaharuan kepada bola sepak Singapura.”

.Pasukan LKT memenangi pemilihan pucuk pimpinan FAS.

” Ini adalah masa untuk kita bekerja. Saya dan pasukan LKT berjanji akan bekerja tanpa penat lelah untuk membawa kembali kegemilangan bola sepak Singapura”, ujar Lim menyambut kemenangan pasukannnya.

Apa yang meyakinkan Lim dan pasukannya ialah pengalaman yang mereka miliki dalam pengurusan bola sepak. Antara manifesto pasukan Lim yang menarik perhatian kami usaha mereka untuk mencari padang supaya permainan bola sepak boleh dimainkan dengan lebih terbuka di Singapura.

3. Ekspektasi

Peminat bola sepak di Singapura mempunyai hak untuk merasa optimis. Ini adalah pemilihan pucuk pimpinan terbuka pertama dalam sejarah FAS.

Bagaimanapun, bagi kebanyakkan pengikut bola sepak Singapura, kemenangan Lim menimbulkan lebih banyak tanda tanya.

Singapura, Juara Piala Malaysia 1994. Kredit: bazookapena

Lim Kia Tong adalah individu yang berkhidmat selama 25 tahun bersama FAS. Ini menyebabkan ramai yang meragui akan adanya perubahan secara drastik dalam bola sepak Singapura di bawah pimpinan Lim Kia Tong.

Kesimpulan

Tidak ada banyak perbezaan andai pencapaian di peringkat antarabangsa diambil kira antara kedua-dua negara sebelum ini.

Singapura berada di ranking ke-153, manakala Malaysia berada 4 tangga di belakang menduduki kedudukan ke-157 dunia.

Jika rekod lampau kedua-dua Presiden diambil kira, rakyat Malaysia seharusnya lebih bersyukur dan optimis berbanding jiran mereka di seberang tambak.

Fox Sports Asia meramalkan Malaysia akan mulai mengorak langkah ke depan berbanding dengan jirannya Singapura.

Satu perkara yang pasti, kedua-dua peminat dan penyokong bola sepak kedua-dua negara, akan teliti memerhatikan setiap langkah dan pembaharuan yang akan dilakukan kedua-dua individu baru dalam badan induk FAM dan FAS.

Anda pembaca kami dari Singapura juga Malaysia? Kongsikan pendapat anda di ruangan komen.

Baca juga: TSAM Umum Pengarah Teknikal Baru Dan Bekas Pemain MLS Sertai Kelantan

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN