Quantcast

ANALISIS TAKTIKAL

Falsafah Taktikal Zinedine Zidane, Berasaskan Stabiliti Di Tengah Padang

Ramai yang bertanya kepada kami tentang formasi pilihan dalam taktikal Zinedine Zidane di dalam pengurusan taktikal beliau. Secara umumnya, pengurus ini tidak ada formasi yang khas di dalam pengurusan taktikal beliau.

Beliau lebih kepada penggunaan taktikal yang berasaskan tumpuan untuk menyerang di satu zon utama dan bertahan dengan sistem yang padat.

Dalam karier Zidane sebagai pengurus di Real Madrid, beliau telah menggunakan formasi 4-1-4-1, 4-4-2-, 4-1-2-1-2 (4-4-2 berlian), 4-3-3, 3-4-3 dan 4-5-1.

Semua formasi ini digunakan dengan berkesan kerana beliau mencipta formasi sebagai struktur kepada asas serangan akhir mereka dengan mengambil kira:

i. Pemain yang boleh diturunkan (availability)
ii. Kecergasan pemain utama

Jadi, beliau tidak terlalu bergantung dengan Ronaldo, Bale atau Benzema. Maka itulah, trio BBC tidak menjadi asas kepada sistem beliau.

Latar belakang

Zidane tidak perlu diperkenalkan lagi sebagai pemain. Beliau adalah pemain tengah serangan yang sangat mahsyur namanya dalam sejarah bola sepak dunia.

Pemain yang menjadi ‘otak’ kepada pasukan Perancis, Real Madrid dan juga Juventus di era kegemilangan beliau.

Filosofi taktikal beliau banyak dipengaruhi oleh keupayaan pemain untuk membaca perlawanan dan mencetuskan ancaman dari tengah. Itu yang ada pada Kroos dan Modric.

Ketika menamatkan lencana kejurulatihan beliau di UEFA, Zidane mengakui banyak mempelajari dan menonton corak taktikal Guardiola.

Beliau kerapkali menghadiri sesi perbincangan taktikal dengan Guardiola ketika jurulatih itu di Bayern Munich. Ia seperti ‘blessing in disguise’ kerana agak tidak elok untuk Zidane datang ke Barcelona untuk berbincang soal taktik.

Beliau juga menyatakan berminat dengan cara pengurusan taktikal Marcelo Bielsa dan Christian Gourcuf.

Guardiola dan Bielsa berkait rapat dengan sistem bola sepak moden. Guardiola lebih sukakan taktikal berasaskan permainan dengan kuantiti posisi. Manakala Bielsa menegaskan sistem ‘pressing’ yang sistematik.

Gourcuf pula lebih kepada cara bola sepak klasik yang mementingkan aspek bertahan dalam organisasi. Seperti mana yang dimiliki Perancis era kegemilangan Makelele, Thuram dan Deschamps.

Sistem pivot

Dalam apa jua taktikal Zidane pemain ini lebih memilih sistem yang berasaskan pivot tunggal. Dalam sistem 4-4-2, beliau lebih cenderung kepada sistem berlian.

Penerapan sistem 4-1-4-1 di dalam pasukan beliau untuk memastikan pivot mejadi ‘pusat’ utama ketika bertahan dan menyerang.

Namun begitu, dalam beberapa keadaan beliau juga akan menggunakan sistem pivot kembar ataupun double sixes. Dalam perlawanan menentang Juventus di UCL musim lalu, Zidane memperbaiki sistem pivot daripada sistem ‘lone pivot’ kepada ‘double pivots’.

Pastikan anda luangkan masa untuk membaca artikel; Analisis: Casemiro, Sang Pemusnah Penting Dalam Skuad Real Madrid

Ini adalah struktur awal mereka pada separuh masa pertama. Sistem ini ditekan teruk oleh Juventus pada separuh masa pertama.

Zidane menukar sistem ini kepada sistem 4-4-2 dengan pivot kembar pada separuh masa kedua. Sistem 4-4-2 yang mirip kepada 4-2-2-2 (wingerless) yang digunakan oleh RB Leipzig.

Sistem pivot yang betul berhadapan dengan lawan yang betul sangat penting. Ketika menentang Manchester United dalam perlawanan Piala Super Eropah 2017, beliau mengarahkan pivot beliau Casemiro untuk bermain lebih ‘advance’ ataupun ofensif. Casemiro menjadi seperti 3rd man running dalam sistem 4-3-3 beliau.

Memenuhkan (overload) ruang half-space

Ini adalah ‘heatmap’ serangan bertiga Real Madrid ketika menentang Manchester United dalam Piala Super Eropah 2017.

Heatmap – Isco-Benzeman-Bale vs MUFC

Jelas sekali fokus serangan mereka adalah di ruang separa ataupun half-space.

Jadi, mana-mana pemain yang beraksi sebagai pemain sayap ataupun sisi sama ada dalam formasi serangan bertiga ataupun tengah berempat, mereka harus segera masuk ke dalam half-space dengan segera.

Pengurusan bahagian sayap (wide area)

Di bahagian sayap, Zidane memberikan penekanan serangan lebih banyak di sayap kanan dengan adanya Marcelo. Pemain bek kiri Real Madrid seperti Dani Carvajal lebih defensif berbanding dengan Marcelo.

Struktur yang biasa kita lihat adalah, Carvajal lebih memberikan sokongan dari belakang sayap. Manakala Marcelo lebih ‘advance’.

2 pemain sayap serangan mereka akan lebih banyak menumpukan untuk ‘cut inside’ ke dalam ruang separa dan masuk terus ke dalam kotak penalti.

Aspek sokongan ‘depth’

Ini antara kekuatan utama Real Madrid ketika menyerang. Mereka melaburkan ramai pemain di belakang serangan bertiga. 3 pemain tengah mereka akan membekalkan sokongan dari belakang.

Dengan Casemiro yang sudah semakin baik dari segi serangan, mereka ada improvisasi yang jelas di bulatan tengah.

Modric dan Kroos akan naik ke atas dan menjadi asas penting kepada ‘distribution’ serta mengubah arah bola di 2 koridor kiri dan kanan.

Stabiliti ketika menyerang dan bertahan oleh 3 pemain tengah ini membuatkan pasukan ini efektif di dalam transisi.3 pemain ini memiliki kemampuan yang baik dengan bola ataupun tanpa bola.

Ia pastinya mengingatkan anda bagaimana Zidane menjadi fundamental kepada serangan pasukan beliau dengan beroperasi di tengah sebagai nadi utama pasukan.

Memang 3 pemain ini bukan Zidane, tetapi pemahaman aspek ruang dan sokongan di tengah, mereka sedang belajar dengan cikgu yang betul.

Pertahanan

Dalam bertahan, Real Madrid akan bertahan dengan sistem 4-1-4-1 ataupun 4-5-1. Anda pastinya banyak melihat Ronaldo turun bertahan ketika Real Madrid dikendalikan oleh Zidane.

Prinsip pertahanan mereka klasik. Tidak perlu pening dengan sistem yang kompleks seperti orientasi ruang ataupun bola.

Mereka menggunakan sistem man vs man. Jika anda pemain sayap kiri, anda menyerang pemain bek kanan pasukan lawan. Jadi, perkadaran terus digunakan ketika bek kanan lawan menyerang, ia tanggungjawab anda untuk mengekangnya.

Ketika mereka berkembang dengan sistem hanya 3 pertahanan di belakang, Sergio Ramos memainkan peranan penting kerana mobiliti dan kualiti beliau untuk mematikan ancaman.

Rumusan

Zinedine Zidane menepis stereotaip yang melabel beliau hanya pengurus yang bergantung kepada ‘mood’ oleh pemain bintang beliau.

Jika pemain bintang beliau dalam ‘mood’ terbaik, maka pasukan mereka akan dalam prestasi terbaik. Ia seolah-olah menafikan filosofi taktikal dan keupayaan Zidane untuk menguruskan taktikal di dalam pasukan.

Beliau setakat ini antara pengurus yang berjuang dengan pemain-pemain bintang yang diwarisi dari era Ancelotti. Namun beliau melakukannya dengan baik.

Beliau sudah ada kejuaraan La Liga, 2 UCL, 2 Piala Super Eropah. Mengatasi purata mata Guardiola, Mourinho dan Pellegrini selepas 33 perlawanan pada musim lalu.

Setakat artikel ini ditulis, beliau akan memenangi Piala dalam setiap 14.5 perlawanan.

Apa yang pasti, taktikal Zinedine Zidane adalah bergantung kepada stabiliti di tengah padang. Jika unit tengah itu dipecahkan, Real Madrid sentiasa dalam bahaya dan rapuh.