Dua kemenangan dalam dua perlawanan jelajah pra-musim di Malaysia telah membukti juara Liga Kemboja, Preah Khan Reach Svay Rieng FC ini bukanlah calang-calang pasukan.
Dua pasukan yang ditumbangkan itu juga bukanlah pasukan sebarangan tetapi merupakan pasukan Liga Super Malaysia. Menang 4-0 ke atas Selangor pada Khamis, Svay Rieng kemudian menjinakkan Felda United 2-1 di Stadium Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai pada Sabtu.
Ketinggalan satu gol pada separuh masa pertama hasil jaringan pemain import baharu Felda, Ryutaro Megumi, pasukan yang berpangkalan di tenggara Kemboja itu bangkit dengan menjaringkan dua gol pada babak kedua menerusi jaringan Hoy Phallin dan bekas pemain Negeri Sembilan, Prak Mony Udom.
Ketua Jurulatih Svay Rieng, Conor Nestor yang ditemubual oleh SemuanyaBOLA selepas perlawanan mengatakan beliau tidak mahu fokus kepada keputusan perlawanan kerana ianya sekadar persediaan pra-musim bagi menilai prestasi pemain sebagai persiapan untuk saingan Piala AFC yang akan bermula tidak lama lagi.
“Saya berpuas hati dengan persembahan pemain saya ketika berdepan Selangor dan hari ini menentang Felda. Kita semua tahu pasukan-pasukan Malaysia sangat bagus dan sangat kompetitif, malah Liga Malaysia juga merupakan salah satu liga yang hebat di rantau ini.
“Sasaran tahun ini adalah mempertahankan kejuaraan liga kerana hanya dengan memenangi liga sahaja kami akan mendapat peluang ke saingan Piala AFC. Saya percaya pengalaman untuk beraksi di peringkat Asia itu amat penting dan sangat berharga,” ujar Conor.
Melihat kepada corak permainan cantik yang dipersembahkan pasukan dari Kemboja itu, Conor turut ditanya mengenai resepi kejayaan pasukannya sekalipun berada di sebuah negara menduduki tangga ke-173 dalam ranking dunia.
“Falsafah saya mudah, dalam permainan bola sepak moden, apabila mendapat bola pastikan kamu menguasai permainan dan bermain dengan corak permainan menyerang. Ia bermaksud kamu boleh mara ke depan untuk menyerang tetapi jangan sampai hilang penguasaan bola.
“Bila kehilangan bola, pastikan kamu dapat merampasnya secepat mungkin. Pada saya ianya adalah falsafah yang mudah dan saya gembira pemain saya percaya dengan corak permainan yang telah saya terapkan.
“Apa yang buat saya gembira, pemain-pemain ini berusaha bersungguh-sungguh untuk mengaplikasikannya dalam permainan mereka.”
Conor sebelum ini berpengalaman bekerja bersama Persatuan Bola Sepak (FA) Ireland selama 10 tahun. Apabila mendapat peluang untuk menjadi ketua jurulatih di kelab tersebut pada 2016, beliau secara jujur mengakui tidak tahu apa-apa mengenai negara Kemboja.
“Segalanya berubah apabila saya melihat kecintaan dan kesungguhan pemain-pemain di sana bermain bola sepak. Ia telah menarik minat saya untuk melatih mereka dan saya percaya mereka mampu menjadi pasukan yang hebat dengan komitmen dan semangat dalam diri mereka itu.
“Jika kami lihat prestasi skuad kebangsaan mereka dalam kejohanan Sukan SEA baru-baru ini, sudah tentu negara ini mempunyai masa depan yang cerah. Kita boleh lihat betapa mereka bekerja keras untuk menjadi pasukan yang hebat satu hari nanti di Asia Tenggara. Kata kuncinya adalah ‘bekerja keras’.
Svay Rieng selepas ini akan berdepan Terengganu untuk perlawanan pra-musim ketiganya di Malaysia pada Isnin di Stadium Arena, Universiti Malaya (UM).
Mereka akan bertolak pulang pada Selasa bagi membuat persiapan terakhir sebelum beraksi di pusingan kelayakan Piala AFC pada 22 Januari ini menentang kelab dari Laos.
Kredit Foto: Preah Khan Reach Svay Rieng FC