Dion Cools menerima pengiktirafan dan hadiah terbaik dalam penampilan sulungnya di Thai League 1 bersama Buriram United apabila tersenarai dalam kesebelasan terbaik mingguan bagi perlawanan minggu ke-16.
Pasti ramai tertanya-tanya bagaimana Cools boleh dipilih oleh pengelola liga sedangkan beliau baru membuat penampilan pertamanya di sana.
Thai League sebenarnya dikuasakan oleh sebuah agensi pengeluar data dan statistik pemain, Stats Perform dengan dua produknya – Opta dan RunningBall, digunakan sepenuhnya untuk mendapatkan data daripada saingan Thai League 1, Thai League 2, FA Cup dan League Cup.
Jadi, berdasarkan data-data inilah pemilihan kesebelasan terbaik mingguan telah dibuat. Dan nampaknya kehadiran Cools memberikan impak positif.
Sepanjang aksi, gandingan Cools bersama Rebin Sulaka dan Chitipat Tanklang menampilkan kombinasi mantap menangkis serangan lawan.
Berdasarkan statistik oleh Thai League, Buriram berhasil menghalang serangan sebanyak 88.9 peratus dengan sembilan kali hadangan dibuat.
Berdepan pasukan pertengahan liga seperti Sukhothai FC, mungkin ancaman kurang didapati sepanjang 90 minit permainan dengan penguasaan 61.8 peratus milik mereka. Buriram nyata lebih ampuh.
Mungkin atas faktor itulah pengendali, Masatada Ishii dengan berani melakukan eksperimen selepas kemasukkan pemain seperti Dion Cools yang diketahui boleh bermain formasi bek bertiga. Ia tampaknya berhasil.
The standardings of week 1️⃣6️⃣!! #RevoThaiLeague #ThaiLeague pic.twitter.com/vBLWYXowtg
— ThaiLeague (@thaileague) January 22, 2023
Dalam 15 perlawanan sebelum ini, Buriram menggunakan sepenuhnya formasi bek berempat dalam saingan Thai League. Dan mereka mendahului carta liga sebelum liga berehat memberi laluan kempen Piala AFF 2022.
Thunder Castle masih belum tewas, namun tiga kali merekodkan keputusan seri berdepan Khon Kaen United, Muangthong United dan BG Pathum United. Kemasukkan Cools memberi dimensi berbeza buat mereka.
Mereka kini boleh bermain dengan formasi bek bertiga dengan kehadiran bek kental Harimau Malaya itu . Ia pasti membantu mereka menampilkan variasi dalam permainan ketika bertemu pasukan tertentu yang ‘liat’.
Berpengalaman di Eropah, pemain berusia 26 tahun itu dilihat pantas menyesuaikan diri seperti yang dilakukan di FK Jablonec sebelum ini.
Di sebelah kiri mereka sudah tidak boleh dipersoalkan lagi pengaruhnya apabila dibarisi sama ada Sasalak Haiprakhon atau Theerathon Bunmathan. Kedua-duanya merupakan tonggak utama skuad kebangsaan Thailand.
Berdepan Sukhothai, Buriram turun dengan formasi baharu iaitu 3-4-3 dan mereka langsung gagal dibolosi oleh pihak lawan. Faktor ‘cleansheet’ ini jugalah yang telah membantu Cools tersenarai ke dalam kesebelasan terbaik mingguan bersama rakan sepasukannya, Chitipat Tanklang.
Sebelum ini Cools membantu Buriram membelasah Kelantan FC dengan jaringan 7-0 dalam aksi persahabatan, malah mencipta satu ‘assist’.
Jelas, perubahan formasi yang pertama kali digunakan Buriram membantu Cools menyerlah dalam penampilan sulungnya di Thai League 1 2022/23.