Faktor Persefahaman & Kualiti Serangan Antara Perlu Diperbaiki Harimau Malaya

Skuad Harimau Malaya ketika ini dilihat masih lagi mempunyai beberapa sisi kelemahan yang perlu diperbaiki sebelum mereka menghadapi saingan Piala Asia yang bakal membuka tirai pada awal tahun hadapan.

Menurut bekas pemain kebangsaan iaitu Azlan Johar, aspek komunikasi serta persefahaman antara yang masih perlu diperbaiki kini dalam kalangan para pemain pasukan negara selain memperbaiki mutu serangan.

Mengenai aspek serangan, Azlan menyatakan semua para pemain perlu mempunyai kemampuan untuk menjaringkan gol serta tidak hanya bersandarkan kepada barisan serangan semata-mata.

Selaku bekas pemain Harimau Malaya, Azlan mahu melihat kualiti permainan yang ditampilkan anak-anak buah Kim Pan-gon dapat menjadi lebih baik untuk menghadapi saingan lebih besar pada masa akan datang.

Selain itu, aspek komunikasi serta persefahaman para pemain juga perlu diperbaiki terutama sekali Malaysia bakal menghadapi lawan jauh lebih hebat pada saingan Piala Asia awal tahun hadapan.

Kelemahan tersebut jelas ketara ketika beliau sendiri melihat perlawanan akhir Pestabola Merdeka 2023, di mana situasi persefahaman membabitkan antara pemain pertahanan iaitu Dominic Tan bersama penjaga gol kebangsaan, Ahmad Syihan Hazmi sedikit lemah.

Punca kelemahan itu menyaksikan Malaysia dihukum oleh pemain serangan Tajikistan yang mudah memanipulasi keadaan tersebut untuk mendapatkan gol berharga buat diri mereka serta memberi kekecewaan dalam kalangan penyokong Harimau Malaya.

Dua perkara tersebut menjadi keutamaan ketika ini untuk diperbaiki secepat mungkin, kerana Malaysia bakal menghadapi aksi kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 pada bulan hadapan.

Manakala untuk Piala Asia pula, Kim hanya mempunyai masa beberapa bulan sahaja lagi untuk memastikan pasukan negara tampil bersedia bagi berdepan lawan-lawan jauh lebih berkualiti seperti Jordan dan Korea Selatan.

“Setakat ini apa yang Pan Gon buat sudah bagus dan positif, cuma sekarang ini kena pastikan ketajaman serangan serta persefahaman pemain.

“Harimau Malaya kena pastikan bukan bahagian serangan sahaja boleh jaringkan gol, pastikan semua pemain dalam padang itu mampu jaringkan gol.

“Sebab bola sepak moden sekarang ini memang begitu, semua kena tolong jaringkan gol dan semua kena tolong bahagian bawah bantu pertahanan.

“Ketika menentang Tajikistan, kita terlepas banyak peluang dan melakukan kesilapan kecil tetapi besar kesannya yang mana berlaku salah faham pemain pertahanan dan penjaga gol.

“Sepatutnya apabila bermain di peringkat antarabangsa tiada lagi masalah komunikasi dan apabila perkara itu terjadi, kita nampak persefahaman yang wujud belum kukuh sepenuhnya,” katanya menerusi Berita Harian.

Pada masa sama, Azlan juga berharap pengendali dari Korea Selatan itu tidak perlu terlalu rasa kecewa kerana tidak memenuhi jangkaan tinggi diletakkan oleh segelintir peminat ketika saingan Pestabola Merdeka lalu.

“Pan Gon cakap salahkan dia, jangan salahkan pemain dan perkara itu betul sebab semuanya terletak di tangan jurulatih terutama dalam pemilihan pemain.

“Saya tengok Pan Gon seperti terlalu kecewa atau takut sangat apabila kita kalah kerana harapan rakyat sangat tinggi. Sebenarnya pergi mana-mana bola sepak di dunia, harapan rakyat memang sentiasa tinggi kepada pasukan mereka.

“Jadi Pan Gon kena faham, dia bukan jurulatih yang tak ada pengalaman, dia sudah bawa tanda-tanda yang positif bagi pasukan negara.

“Tetapi pada final (Pestabola Merdeka) menunjukkan kepada kita bahawa segagah mana pun pasukan kita atau sebaik mana pun selama ini kita bermain, jika kita lalai dan tidak menunjukkan sikap yang diperlukan untuk menang, pihak lawan akan dapat melihat kelemahan kita,” katanya akhir sekali.

Sumber:
Berita Harian

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN