“Faktor Gerrard” – Tolak Tawaran Lain, Lucas Digne Tekad Pilih Aston Villa

Lucas Digne Aston Villa

Aston Villa telah melengkapkan pembelian pemain pertahanan kiri, Lucas Digne dari seteru Liga Perdana Inggeris (EPL), Everton.

Meskipun perincian nilai perpindahan tidak didedahkan, agensi berita UK, Sky Sports melaporkan urusan perpindahan tersebut dianggarkan sekitar £25 juta (RM143 juta).

Pemain berusia 28 tahun itu menyertai Villa selepas tiga setengah tahun di Everton di mana beliau telah membuat 127 penampilan dalam semua pertandingan dengan mencetak enam gol dan 20 bantuan jaringan.

Beliau juga merupakan pilihan utama dalam kesebelasan utama skuad kebangsaan Perancis di bawah kendalian Didier Deschamps dan telah mengumpul 43 kaps termasuk menjadi sebagian daripada skuad The Les Blues yang menjuarai Piala Dunia 2018.

Digne merupakan pembelian kedua Steven Gerrard untuk jendela perpindahan bulan Januari ini selepas turut menyambar Philippe Coutinho dari Barcelona secara pinjaman.

3 Magis Yang Bakal Dijelmakan Coutinho Di Aston Villa

Ketika bercakap dalam temubual pertamanya bersama kelab, bekas pemain Paris Saint-Germain dan Barcelona ini menjelaskan Gerrard menjadi faktor utama untuk beliau memilih destinasi terbaharu dalam perjalanan kariernya ini.

“Saya dapat perbincangan yang baik apabila bertemu dengannya dan kami sempat bercakap dua kali pada bulan ini. Saya dapat rasakan auranya untuk menang, menunjukkan kewibawaannya selaku pengurus – bermain dengan corak menyerang dan menguasai permainan.

“Jadi saya rasa memang itu yang saya nak dan saya mahu pamerkan kepada penyokong.”

Digne yang masih mempunyai kontrak jangka panjang bersama Everton telah bercakap kepada pihak pengurusan yang beliau mahu meninggalkan kelab itu kerana tidak lagi menjadi pilihan Rafa Benitez.

Musim ini beliau hanya beraksi 15 perlawanan dan menjaringkan satu gol untuk The Toffees yang kini sedang bergelut di tangga ke-15.

Leave a Reply