Thailand mengesahkan statusnya selaku ‘raja’ bola sepak Asia Tenggara buat kali ketujuh selepas menjulang kejuaraan Piala AFF 2022 dengan menewaskan Vietnam 3-2 secara agregat.
Kejayaan buat kali kedua berturut-turut ini pastinya bukan satu kebetulan. Begitu banyak faktor yang mempengaruhi rekod cemerlang skuad Gajah Perang.
Namun penulis tertarik untuk mengungkap kembali penulisan yang pernah disiarkan mengenai peranan ibu kota Bangkok dalam membantu perkembangan skuad kebangsaan Thailand secara keseluruhan.
Limpahan stadium
Agak sukar untuk mendapatkan data yang tepat bagi jumlah stadium yang terdapat di Bangkok. Namun berdasarkan senarai pasukan-pasukan bertanding di tiga liga utama dan pasukan-pasukan semi-pro yang lain, ianya sudah melebih 30 buah stadium yang digunakan secara aktif.
Dua stadium utama bagi skuad kebangsaan Thailand adalah Stadium Nasional Supachalasai dan Stadium Nasional Rajamanggala.
Kedua-dua venue ini masih digunakan secara aktif, namun Stadium Rajamanggala lebih menjadi pilihan disebabkan kelebihan kapasitinya yang mempunyai 51,552 tempat duduk berbanding hanya 19,793 untuk Stadium Supachalasai.
OFFICIAL: AFC choose Chang Arena Buriram replacing Chiangmai Stadium for 2020 AFC U23 Championship in Thailand. The stadium for this tournament will be:
– Rajamangala Stadium
– Thammasat Stadium
– Tinnasulanon Stadium
– Chang Arena Stadium#AFCU23 pic.twitter.com/MmG7j7SSzg— All Things Thai Football 🇹🇭 (@ThaiFootballs) September 24, 2019
Namun atas sebab-sebab tertentu, Thailand menjadikan Stadium Thammasat dengan kapasiti 25,375 tempat duduk sebagai venue rasmi ketika saingan Piala AFF 2022 yang lalu.
Stadium lain adalah Stadium Universiti Chulalongkorn (25,000 tempat duduk), Stadium Tentera Thai (20,000), Stadium Thupatemi (20,000) Stadium BG (10,114), Stadium Thunderdome (15,505), Stadium PAT (12,308) Stadium Thai-Japanese (10,320), Stadium Min Buri (8,500), Stadium Bang Mod (8,000) dan banyak lagi stadium-stadium kecil yang lain.
Untuk membuat perbandingan dengan Kuala Lumpur, hanya terdapat lima stadium di ibu negara Malaysia ini iaitu Stadium Nasional Bukit Jalil, Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Stadium Negara (Merdeka), Stadium Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan Arena Universiti Malaya (UM).
Metropolitan Bola Sepak
Seterusnya adalah kelab-kelab bola sepak yang terdapat di Bangkok. Daripada 16 pusukan Thai League 1, lima daripadanya berpangkalan di Bangkok iaitu True Bangkok United, Bangkok Glass (BG) Pathum United, Muangthong United, Polis Tero dan Port FC.
Empat daripadanya berada dalam kedudukan lima pasukan terbaik di Thailand dari segi kiraan mata Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).
Saripada 23 pemain skuad Thailand di Piala AFF 2022, 12 daripadanya juga dipanggil daripada lima kelab ini seperti senarai berikut:-
1. Kittipong Phuthawchueak (BG Pathum United)
2. Suphanan Bureerat (Port FC)
3. Chalermsak Aukkee (Police Tero)
4. Ekanit Panya (Muangthong United)
5. Jaroensak Wonggorn (Muangthong United)
6. Bordin Phala (Port FC)
7. Weerathep Pomphan (Muangthong United)
8. Sanrawat Dechmitr (Bangkok United)
9. Sarach Yooyen (BG Pathum United)
10. Teerasil Dangda (BG Pathum United)
11. Adisak Kraisorn (Muangthong United)
12. Poramet Arjvirai (Muangthong United)
Kemudian bagi divisyen kedua atau Thai League 2 pula, terdapat empat pasukan yang berpusat di bandaraya ini iaitu Rajpracha, Kasetsart, Customs United dan Samut Prakan City.
Ini tidak termasuk 14 kelab bersaing di liga semi-pro divisyen ketiga atau Thai League 3 bagi zon Bangkok yang menjadikan ‘limpahan’ kelab bola sepak di metropolitan yang mempunyai kepadatan sekitar 14 juta orang penduduk ini.
North Bangkok University FC from the Thai League 3 partnered with a brand called DEFFO for a blue home, white away, and red third kit sharing a decent abstract camouflage design.
It might be inspired by/ripped off from Nike this season (fourth picture is 18/19 Northampton Town) pic.twitter.com/6O3tIGDh2p
— Club 25 Football (@Club25Football) February 14, 2019
Pernahkah timbul isu pasukan mana yang ‘lebih Bangkok’ daripada yang lain? Tidak.
Selagi tidak terpalit dengan keganasan dan ketaksuban, ‘permusuhan’ atau derbi setempat ini juga dapat menjamin kemeriahan bola sepak itu sendiri selain mampu menjadikan kepelbagaian ‘fan base’ sebagai langkah untuk mencipta lebih banyak manfaat ekonomi sama ada kepada kelab mahu pun penduduk tempatan.
Lihat sahaja kemeriahan bola sepak di London yang mempunyai begitu banyak kelab seperti Arsenal, Chelsea dan Tottenham Hotspur. Begitu juga dengan Atletico dan Real Madrid di Sepanyol serta AC dan Inter Milan di Itali.
Untuk dibandingkan dengan Kuala Lumpur, bandaraya ini hanya memiliki satu kelab bola sepak profesional iaitu Kuala Lumpur City.
Tiga kelab lain iaitu Kuala Lumpur Rovers, Tun Razak City dan Armed Forces sekadar bersaing di liga semi pro (Liga M3) yang hampir tiada nilai komersil.
Jika ditambah dengan kelab-kelab bola sepak yang terdapat di seluruh Lembah Klang sekalipun, ia masih terlalu jauh untuk dibandingkan dengan jumlah yang terdapat di Bangkok.
Keberkesanan akademi
Akademi-akademi bola sepak tempatan dan antarabangsa juga kebanyakannya berpusat di ibu kota negara berkenaan. Ia sekaligus menjadikan program pembangunan bola sepak akar umbi Thailand cukup berkesan untuk menghasilkan bakat-bakat baharu pada masa hadapan.
Dengan latihan yang cekap, fasiliti yang baik dan diadun dengan falsafah bola sepak yang tersendiri, akademi-akademi ini membantu dalam menghasilkan pemain-pemain bola sepak berbakat di Thailand.
The Harrow Bangkok Football Academy, now in its 4th year, is off to a flying start with a record number of 224 students signed up to play. More photos here: https://t.co/IlDPoAwjMM#football #footballplayer #footballgame #footballer #footballfield #harrowsports #harrowbangkok pic.twitter.com/TJZSShkx84
— Harrow Bangkok (@HarrowBangkok) September 16, 2019
Salah satu akademi bola sepak yang terkenal di Bangkok ialah Akademi Bola Sepak Bangkok United. Akademi ini menyediakan latihan yang baik bagi pemain-pemain muda dan telah menghasilkan beberapa pemain yang kini bermain dalam skuad kebangsaan Thailand.
Selain itu, Akademi Bola Sepak Muangthong United juga merupakan salah satu akademi yang cukup terkenal di Bangkok. Akademi ini menyediakan latihan yang berkualiti dan membantu dalam pembangunan sukan ini.
Usaha ini selaras dengan pelan pembangunan sukan kebangsaan dengan visi menjadikan Thailand sebagai sebuah negara di mana setiap individu mengambil berat tentang sukan yang dapat menyumbang kepada pembangunan sosial dan ekonomi.
Keberkesanan sistem pembangunan akar umbi di Bangkok ini telah pun terbukti. Kebanyakan bintang utama Thailand lahir dan digilap bakat mereka di wilayah ini seperti Theerathon Bunmathan, Teerasil Dangda, Chanatip Songkrasin, Kawin Thamsatchanan dan ramai lagi.
Dalam hal tentang akademi dan pembangunan akar umbi, mungkin Kuala Lumpur tidak jauh ketinggalan memandangkan di sini juga subur dengan penubuhan akademi-akademi persendirian dan swasta.
Di samping itu akademi Tunas (AT) dan Pusat Latihan Daerah (PLD) di bawah Program Pembangunan Bola Sepak (NFDP) juga berjalan secara aktif sepanjang tahun dalam melahirkan bakat-bakat baharu di ibu kota.
Kesimpulan
Semua fakta dan statistik ini jelas menunjukkan bahawa Bangkok adalah ‘pasak utama’ kepada pembangunan bola sepak di Thailand.
Apabila wilayah tersebut menjadi pusat tumpuan ekonomi, lantas ia digunakan sepenuhnya dalam memastikan industri sukan khususnya bola sepak turut mendapat manfaat daripadanya.
Mungkin tidak keterlaluan untuk mengatakan standard bola sepak Thailand ini dari segi pengurusan liga dan mentaliti penyokongnya jauh lebih baik daripada Malaysia.
Maka sewajarnya negara kita mencontohi dan mengambil pelajaran daripada pembangunan bola sepak di negara jiran ini yang mamu diuruskan secara sistematik sehingga mampu menjadi ‘kuasa besar’ di rantau Asia Tenggara.