Pemain sayap Selangor, Faiz Nasir tiba-tiba menjadi bualan peminat bola sepak tanah air selepas membantu skuad Harimau Malaya menewaskan Afghanistan, 2-1 dalam saingan merebut tempat ketiga dan keempat Piala Airmarine semalam.
Rembatan cantik dari luar kotak penalti pada minit ke 43 menjadi gol pertamanya dalam penampilan sulung bersama skuad kebangsaan dan telah membangkitkan semangatnya untuk terus menyarung jersi skuad Harimau Malaya sekiranya dipanggil kelak.
Meskipun ada pihak mempertikaikan saiz fizikalnya yang bertubuh kecil dengan ketinggian 157 sentimeter (cm), Faiz berkata sindiran mereka bukanlah penghalang utama untuk beraksi dengan lebih cemerlang di atas padang.
“Kalau ikutkan saiz saya yang kecil ini ramai orang tidak percaya yang saya boleh bermain untuk Malaysia. Tetapi itu bukan halangan untuk saya.
“Jika selepas ini saya dipanggil semula (bersama skuad kebangsaan), saya akan bermain,” katanya dalam Bernama
Mengulas mengenai jaringannya, Faiz dengan sifat rendah dirinya berterima kasih kepada rakan sepasukan dan barisan jurulatih di atas kepercayaan terhadap kemampuan dirinya.
“Memang ada sikit tekanan tetapi sebab dah dua minggu berlatih, jadi saya boleh kawal perasaan itu di dalam permainan. Gol pertama dalam aksi pertama itu mungkin ia adalah rezeki saya,” ujarnya.
Tahun lepas, beliau beraksi cemerlang dalam perlawanan akhir Piala Malaysia ketika mewakili Terengganu FC namun peminat bola sepak tempatan hairan kenapa nama beliau tiada dalam panggilan ke skuad Piala AFF.