Momentum pemain sayap Harimau Malaya, Faisal Halim dalam saingan Piala Asia 2023 di Qatar nampaknya tidak terhenti begitu sahaja walaupun kejohanan itu sudah pun tamat.
Faisal secara tiba-tiba mencipta fenomena tersendiri dalam saingan tersebut ada aksi ketiga Harimau Malaya di peringkat kumpulan selepas beliau meledak gol pertama buat Malaysia ketika menentang Korea Selatan.
Unggul sejak aksi kedua menentang Bahrain menerusi kelincahan ditampilkannya, Faisal terus membuktikan dirinya selaku antara pemain Asia paling menonjol menerusi jaringan hebatnya ketika bertemu pasukan gergasi itu.
Ianya terhasil pada separuh masa kedua, selepas tekanan diberikan oleh Darren Lok membuka ruang buat Faisal bergerak solo sebelum beliau memperdayakan pertahanan handalan dunia, Kim Min-jae serta penjaga gol Korea Selatan menerusi sentuhan terakhirnya untuk menyamakan kembali kedudukan semasa.
Gol menarik itu membuatkan skuad kebangsaan untuk tampil lebih bersemangat menentang Korea Selatan sehingga keputusan menyaksikan Malaysia terikat seri bersama pasukan lawan menerusi jaringan 3-3.
Walaupun terkandas di peringkat kumpulan, rata-rata penyokong negara berpuas hati akan aksi ditampilkan Malaysia yang berjaya menampilkan kualiti permainan cukup memberansangkan dan nama Faisal turut disebut sebagai antara paling berkualiti.
Malah pihak AFC Asian Cup juga turut mencalonkan gol Faisal selaku antara jaringan terbaik Piala Asia 2023 di Qatar selain lapan lagi pemain bintang lain.
Selain Faisal, nama bintang sensasi iaitu Son Heung-min, Keito Nakamura, Abdulrahman Ghareeb, Hassan Al Haydos, Supachok Sarachat, Mousa At Tamari, serta Sardar Azmounn turut tersenarai selaku penjaring gol terbaik kejohanan itu.
Ketika ini, ianya jelas memihak kepada Faisal yang sudah menerima lebih daripada 64% jauh mengatasi pesaing lain termasuk Mousa serta Son menerusi laman tersebut.
Pencabar terdekat Faisal iaitu Mousa juga hanya meraih 22% sahaja jumlah undian sementara Son di tangga ketiga menerusi 9% sahaja.
Jika momentum tersebut dikekalkan, Faisal mampu untuk meraih gelaran tersebut dan membuktikan jaringannya jauh lebih hebat berbanding Son atau pemain lain menerusi jumlah undian tertinggi diraih pemain itu.
Malah, ia juga bakal membuka mata ramai pihak untuk melihat wakil dari Asia Tenggara juga kini semakin meningkat daripada segi prestasi mereka dalam dunia bola sepak menerusi kejayaan tersebut.
Apapun, undian kini masih lagi dibuka dan ianya bakal ditutup pada 25 haribulan ini untuk dinoktahkan segalanya jika Faisal mampu untuk meraih kejayaan tersebut atau ada kejutan bakal berlaku.
Untuk undian, para penyokong boleh pergi ke laman rasmi AFC Asian Cup untuk memberi sokongan lebih padu kepada Faisal yang juga akan mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa.