Pemain sayap kebangsaan, Faisal Halim tidak menganggap kritikan keras daripada para penyokong negara sebagai sesuatu akan menjejaskan kem Malaysia kini yang berada di Qatar.
Terdahulu, segelintir besar penyokong bola sepak negara meluahkan rasa kecewa mereka mengenai prestasi Malaysia yang mencipta kekalahan kali kedua berturut-turut untuk aksi peringkat Kumpulan E di saingan Piala Asia 2023.
Apa tidaknya, Malaysia tampil dengan begitu positif sekali sebelum aksi Piala Asia berlangsung menerusi beberapa kemenangan berjaya dicatat mereka.
Namun, segalanya tampak tidak menjadi apabila aksi pertama Kumpulan E berlangsung, dengan Malaysia mencatat kekalahan besar kepada Jordan serta tampil tidak begitu menyakinkan.
Aksi seterusnya juga jelas tampil mengecewakan apabila Malaysia tewas menerusi jaringan minit akhir ketika berdepan Bahrain sehingga kemarahan segelintir penyokong terus meningkat.
Walaupun dikecam dari pelbagai arah, Faisal menyifatkan para penyokong mempunyai hak untuk memberi kritikan mereka tersendiri pada perlawanan lalu.
Namun, apapun perancangan semuanya dibuat oleh jurulatih sendiri bukannya para peminat untuk menentukan apa-apa kepada pasukan kebangsaan.
Malah, pandangan berlebihan daripada beberapa penyokong di media sosial juga dianggap langsung tidak memberi sebarang kesan kepada Harimau Malaya untuk aksi seterusnya.
“Kritikan perkara biasa, apabila kita menang semua bagus dan apabila kita kalah macam-macam (kritikan). Lebih ramai jurulatih di luar sana, tapi sebagai pemain kami kena terima apa orang nak kata.
“Mereka ada hak untuk menilai dan beri pendapat, tapi mereka tak ada hak untuk buat keputusan. Saya harap semua rakan sepasukan dapat mengatasi kritikan,” katanya menerusi laporan dikeluarkan oleh Harian Metro.
Malaysia bakal menghadapi aksi terakhir mereka pada Khamis ini untuk menentang cabaran Korea Selatan dalam misi untuk cuba mencipta kejutan mengatasi pasukan lawan.
Faisal pastinya akan menjadi antara pilihan utama pada perlawanan tersebut untuk membarisi posisi serangan negara berdasarkan prestasi semasa beliau.
Daripada dua perlawanan diharungi, Faisal mungkin belum mencipta sebarang jaringan atau bantuan gol, tetapi kelincahannya sedikit sebanyak berjaya mengkucar kacirkan pertahanan pasukan lawan.