Nama Massimiliano Allegri kini telah dikaitkan dengan Bayern Munich selepas gergasi Jerman itu menyingkirkan pengurus kelahiran Croatia, Niko Kovac berikutan prestasi terumbang-ambing sejak beberapa minggu ini terutamanya ketika kekalahan 1-5 ditangan Eintracht Frankfurt.
Menurut pengurus berpengalaman, Fabio Capello, beliau berpendapat Allegri akan mampu melakukan dengan baik tugasan di Jerman sekiranya diterima tetapi menasihatkan supaya rakan senegaranya itu menunggu jawatan kosong di Manchester United.
”Dia akan menjadi baik di Bayern Munich walaupun saya tidak tahu bagaimana mereka mengalu-alukan kehadiran pengurus warga Itali di Jerman selepas [Carlo] Ancelotti.”
”England amat menarik, ada kemungkinan untuk melakukan dengan baik dan Liga Perdana Inggeris merupakan satu kejuaraan yang akan memperkayakan [pengalaman] anda.”
”Sekiranya saya adalah Allegri, saya akan ke Manchester United.”
Manchester United yang kini tidak berada pada prestasi terbaik bagaimanapun dilihat masih belum menekan butang panik dengan khidmat Ole Gunnar Solskjaer masih diperlukan The Red Devils.
Massimiliano Allegri sememangnya antara pilihan pasukan yang mencari pengurus baharu berikutan kecemerlangannya membimbing Juventus bermula 2014 hingga musim lalu.
Sepanjang bersama The Old Lady, Allegri membantu kelab tersebut menjuarai Serie A buat lima musim berturut-turut dan dua kali merasai aksi final Liga Juara-Juara Eropah tetapi kedua-duanya dikecewakan oleh wakil Sepanyol iaitu Barcelona dan Real Madrid.
Beliau bagaimanapun meninggalkan Juventus pada musim lalu dan digantikan dengan Maurizio Sarri.