Bagaimana anda memandang liga yang bernama Serie A?
Bagi peminat mereka, Serie A dianggap sebagai liga yang cukup berseni kerana pertarungan taktikal yang cukup hebat selain seni pertahanan yang cukup mantap.
Tetapi bagi mereka yang kurang gemarkan Serie A, mereka menganggap liga itu sebagai membosankan dan hanya didominasi dengan 1 pasukan sahaja iaitu Juventus.
Akan tetapi, bagi Fabio Capello beliau menganggap Serie A kali ini cukup sengit dari segi saingannya.
Beliau menganggap musim ini Serie A merupakan liga yang melibatkan saingan 4 penjuru untuk mencari pasukan yang bakal bergelar juara di akhir musim.
Napoli, Juventus, Internazionale dan juga AS Roma adalah pasukan yang diramal Capello akan mencabar kejuaraan Serie A musim ini.
“Sejak kebelakangan ini, hanya Juventus sahaja yang menguasai Serie A. Itu tidak dapat dinafikan oleh kita semua.”
“Namun pada musim ini, terdapat 4 pasukan yang akan mencabar kejuarana Scudetto.”
“Kalau kita lihat sekarang, Napoli sedang menguasai carta. Selepas itu kita ada Juventus yang sedang mencabar kejuaraan, kerana mereka adalah Juventus.”
“Internazionale pula pasukan yang tiada komitmen Eropah jadi mereka boleh fokus untuk mencabar kejuaraan. Sementara AS Roma pula pasukan yang kuat.”
Capello bagaimana pun sedikit berat sebelah dalam hal ini. Hal ini kerana beliau memilih AS Roma yang merupakan bekas pasukannya untuk muncul juara.
“AS Roma merupakan pasukan yang cukup kuat dari segala segi. Saya juga kagum dengan hasil kerja yang dilakukan oleh Eusebio Di Francesco.”
Beliau nyata kagum dengan hasil kerja Di Francesco kerana beliau sedar tugas menjadi pengurus AS Roma sungguh sukar kerana jangkaan tinggi yang diberikan.
Untuk rekod, gelaran terakhir Scudetto yang dimenangi oleh AS Roma hadir pada tahun 2001. Ketika itu, Capello merupakan pengurus pasukan.
Siapakah pilihan anda untuk menenangi Serie A musim ini?