Bagaimana Fabio Capello Bimbing AC Milan Menang Serie A Dengan 36 Gol Dalam 34 Perlawanan

Pada tahun 1994, AC Milan menjuarai Serie A dengan menjaringkan 36 gol dan hanya bolos 15 gol dalam 34 perlawanan.

Untuk memberi perspektif betapa sedikitnya jaringan gol Milan itu, Udinese dan Atalanta yang masing-masing menjaringkan 35 gol dalam Serie A pada musim itu terperosok di kedudukan ke-16 dan 17 liga (daripada 18 pasukan bertanding).

Jika anda merasakan skuad AC Milan pada musim itu membosankan, anda sebenarnya tak silap. “Jika sistem Capello nampak membosankan dari tempat duduk penyokong,” kata Jean-Pierre Papin, “bayangkan kami yang main sistem ini.”

Malah gelagat AC Milan yang menjuarai Serie A dengan seni pertahanan pada musim itu telah membuatkan Persatuan Bola Sepak Itali (FIGC) mula tergerak hati untuk memberi insentif lebih kepada pasukan menyerang.

Jadi pada musim 1994/1995, FIGC mula menghadiahkan 3 mata untuk pasukan yang menang. Bukannya 2 mata seperti sebelum ini.

Inspirasi seni pertahanan Capello

Dengan purata bolos 0.441 gol setiap perlawanan, Fabio Capello meletakkan namanya sebaris dengan pakar seni pertahanan bola sepak seantero 4 liga terbaik di Eropah – England, Sepanyol, Itali dan Jerman.

Dalam sejarah, hanya 4 pasukan yang berjaya mencatat rekod purata bolos gol setiap perlawanan yang lebih rendah berbanding Capello:

  • Nereo Rocco (AC Milan musim 1968/1969) – 0.400
  • Jose Mourinho (Chelsea musim 2004/2005) – 0.395
  • Bob Paisley (Liverpool musim 1978/1979) – 0.381
  • Manlio Scopigno (Cagliari musim 1969/1970) – 0.367

Rekod Capello ini sangat mengagumkan sehingga tak mampu dicapai oleh 3 tok guru catenaccio beliau ketika zamannya bermain di AS Roma, Juventus dan AC Milan iaitu:

  • Helenio Herrera
  • Armando Picchi
  • Nereo Rocco

Permulaan karier Capello sebagai jurulatih

Permulaan era 80-an AC Milan tidaklah begitu manis untuk dipandang. Terpalit dengan skandal sindiket perjudian Totonero, Milan dihukum turun ke Serie B pada musim 1980/1981 buat pertama kali dalam sejarah kelab.

Pada ketika ini jugalah Capello mula mengambil diploma kejurulatihan daripada Coverciano dan membuat peralihan daripada karier sebagai pemain kepada jurulatih.

Tugas pertamanya adalah melatih skuad Primavera sebelum ditawarkan jawatan penolong kepada ketua jurulatih Milan pada ketika itu, Niels Liedholm pada 1986.

(AP Photo/Luca Bruno)

Selama 3 musim antara 1980-1984, Milan menghabiskan masa dengan turun naik liga. Apabila kembali bermain di Serie A, mereka sangat tak konsisten sehingga pernah kalah kepada Parma (yang bermain di Serie B dan diurus oleh Arrigo Sacchi) dalam aksi Coppa Italia.

AC Milan dalam bahaya menjadi kelab sederhana. Hutang kelab meningkat. Kelab hampir bankrap. Penyokong mula mengamuk. Malah pernah sekali, penyokong Milan membaling batu dan memecahkan gelas di kawasan bangku simpanan berhampiran dengan tempat duduk Liedholm.

Bagaimanpun semuanya berubah apabila Silvio Berlusconi membeli majoriti syer pemilikan AC Milan pada tahun 1986.

Tindakan pertama Berlusconi di AC Milan adalah membawa masuk bekas penjual kasut, Arrigo Sacchi. Berlusconi turut memberi Sacchi duit untuk membeli Marco van Basten, Ruud Gullit dan Carlo Ancelotti (Frank Rijkaard dibeli pada musim panas 1988).

(Photo by Bob Thomas/Getty Images)

Capello pula diberi tugas mengurus Polisportiva Milan – sebuah badan yang memantau pentadbiran pasukan bola tampar, hoki ais, besbol dan ragbi AC Milan. Di sini Capello belajar cara pengurusan korporat – dari aspek kewangan, pemasaran dan staf.

Apabila Sacchi dipecat pada tahun akhir musim 1990/1991, Berlusconi melihat tiada calon yang lebih layak berbanding Capello. Bermula musim 1991/1992, Capello menjadi ketua jurulatih AC Milan.

7 ayam tambatan Milan

Tidak banyak yang boleh Capello rungut kepada Berlusconi pada tahun pertamanya sebagai pengurus AC Milan. Beliau mewarisi Marco van Basten, Frank Rijkaard, Ruud Gullit dan 4 pertahanan terbaik dalam sejarah Milan.

Capello kenal semua ayam tambatan pertahanannya.

Paolo Maldini dan Alessandro Costacurta merupakan bekas anak didiknya di skuad Primavera pada awal 80-an. Capello sendiri pernah bermain dengan Franco Baresi. Mauro Tasotti pula sudah bermain dengan Milan sejak datang dari Lazio pada 1980.

Sudahlah 4 pertahanan ini hebat, mereka dilatih pula oleh Sacchi melalui ribuan jam latihan shadow play dan ceramah taktik.

“Latihan kami sedikit gila,” kata Maldini kepada akhbar Daily Mail. “Sacchi akan suruh anda ulang benda sama berkali-kali. Lebih-lebih lagi dengan pertahanan. Jika saya, Baresi, Costacurta dan Tassotti bermain sekarang, kami tetap boleh main macam era awal 90-an.”

Rekod tanpa kalah di Serie A

Musim pertama Capello bermula dengan baik apabila AC Milan menjuarai Serie A 1991/1992 tanpa kalah. Dengan van Basten di puncak kariernya, AC Milan tiada masalah menyerang dan menjaringkan 74 gol – paling banyak dalam liga.

Pada musim 1992/1993, Berlusconi ‘menghadiahkan’ Capello dengan beberapa pemain mahal yang baru.

Milan memecahkan rekod yuran perpindahan dengan membeli Gianluigi Lentini. Berlusconi turut membeli Jean-Pierre Papin (gambar bawah), Dejan Savićević dan memanggil semula Zvonimir Boban yang sebelum ini dipinjam ke Bari.

(Photo by Christian Liewig/TempSport/Corbis via Getty Images)

Perlu diingat pada ketika ini, Milan masih mempunyai van Basten, Rijkaard dan Gullit! Sedangkan peraturan Serie A pada ketika itu menetapkan hanya 3 pemain luar Itali yang boleh bermain pada satu-satu masa.

Dalam banyak-banyak pemain baru ini, Capello tak berkenan dengan Dejan Savićević. Penyerang Croatia ini mungkin pemain paling berskil dan disukai Berlusconi di Milan. Tetapi juga mempunyai disiplin yang teruk.

(Photo credit: PATRICK HERTZOG/AFP/Getty Images)

“Tak dapat dinafikan lagi, Sav adalah pemain yang saya paling banyak marah,” kata Capello dalam biografinya. “Dia tak berlatih betul-betul dan pemalas. Bila dia bermain, semua orang kena bekerja 2 kali lebih keras untuk dia.”

Tetapi seperti dijangka Milan tiada masalah menjuarai Serie A. Di saingan Champions League, Milan tewas 0-1 kepada Marseille.

Bala musim 1993/1994

Musim 1993/1994 bermula dengan kemasukan Brian Laudrup, Christian Panucci dan Florin Răducioiu. Capello juga bertindak menjual Frank Rijkaard kepada Ajax Amsterdam dan meminjamkan Ruud Gullit ke Sampdoria.

Jika musim 1992/1993 adalah ‘musim mewah’ bagi Capello, musim 1993/1994 adalah musim paling sukar buatnya di AC Milan.

Papin mula kerap cedera. Marco Simone mahu keluar. Savićević pula tak konsisten. Lentini pula mengalami kemalangan jalan raya. Dan paling merisaukan, kecederaan pergelangan kaki van Basten pula semakin melarat.

(Photo by Neal Simpson/EMPICS via Getty Images)

Anda perlu faham. Capello dan penyokong Milan boleh hadapi kehilangan pemain lain.

Tetapi kehilangan van Basten adalah sesuatu yang bisa membuatkan Milan berkabung. Seorang penyokong muda Milan, Paolo Simonetti pernah menawarkan tulang rawan pergelangan kakinya untuk diderma kepada van Basten.

Satu-satunya penyerang Milan yang boleh Capello percaya adalah Daniele Massaro yang hanya menjaringkan 5 gol pada musim sebelumnya.

Tukar taktikal

Memulakan musim dengan 5 kemenangan dan 2 seri, AC Milan mula menghadapi masalah ketika seri 1-1 menentang Foggia (kendalian Zdeněk Zeman) dan kalah 2-3 menentang Sampdoria (Ruud Gullit menjaringkan gol kemenangan Sampdoria).

Jika itu belum cukup teruk, Capello mendapat berita Zvonimir Boban pula cedera 3 bulan.

Ini berita buruk kerana Capello mengharapkan Boban untuk menggantikan Rijkaard sebagai pasangan Demetrio Albertini di tengah dalam formasi 4-4-2. Jendela perpindahan pula akan tutup 2 hari lagi.

Terdesak mencari pengganti, Capello meminta CEO kelab Adriano Galliani untuk menelefon Marseille. Hajat Capello adalah satu – mendapatkan pertahanan tengah Marcel Desailly. Hajat Capello tertunai. Desailly menjadi milik Milan.

(Photo by Tony Marshall/EMPICS via Getty Images)

Ketika jurulatih lain melihat Desailly sebagai pertahanan tengah, Capello melihatnya sebagai mediano atau pemain tengah bertahan.

Capello kemudiannya meletakkan Desailly di depan Baresi dan Costacurta. Milan beralih daripada sistem 4-4-2 kepada 4-1-4-1.

Pengurus pasukan, Silvano Ramaccioni pernah berkata:

“Desailly tidak diberikan tugas marking spesifik. Kerjanya cuma memenangi bola di kawasannya. Itu sahaja. Pemain lawan mula menyerang melalui kawasan sayap. Tiada siapa mahu melalui kawasan Desailly. Pertahanan kami tidur nyenyak pada waktu malam disebabkan Desailly.”

Dalam aksi Serie A, Milan mencipta rekod 9 perlawanan berturut-turut tanpa bolos (sebelum Gianluigi Buffon dan pertahanan Juventus memecahkannya pada Mac 2016).

Konsistensi ini diteruskan sehinggalah Milan berjaya menjuarai Serie A buat kali ke-3 berturut-turut. Kejayaan ini kali terakhir berlaku ketika il Grande Torino melakukanya pada era 40-an.

Di luar Itali, ramai peminat bola sepak mengkritik taktikal Capello yang defensif dan digelar ‘anti-bola sepak’. Tetapi Capello tenang menjawab:

“Kemenangan 1-0 mengandungi 3 kenyataan. Pertama, anda menang. Kedua, anda tak bolos. Ketiga, anda bekerja keras untuk melindungi gol.”

Hancurkan ego Barcelona

Dalam saingan Eropah di Champions League, AC Milan menang 2, seri 4 perlawanan dan hanya bolos 2 gol dalam peringkat kumpulan yang turut dihuni Porto, Werder Bremen dan Anderlecht.

Di peringkat separuh akhir, Milan bertemu dengan AS Monaco yang pada ketika itu diurus oleh Arsene Wenger. Meskipun Costacurta dibuang padang seawal minit 40, Milan mudah menewaskan Monaco 3-0.

Lawan mereka di final adalah Barcelona yang dikendali oleh Johan Cruyff. Dengan kehadiran Pep Guardiola, Ronald Koeman, Hristo Stoichkov, Michael Laudrup dan Romário, media Sepanyol yakin Milan bukan saingan kelas sama untuk Barcelona.

Akhbar Mundo Deportivo menulis ‘final ini adalah masa paling manis bagi Barcelona untuk menentang pasukan paling lemah dalam era Berlusconi.’

Johan Cruyff juga tak ketinggalan untuk berlagak. Sebelum perlawanan, beliau awal-awal lagi sudah bergambar dengan trofi Champions League. “Barcelona adalah pilihan utama,” kata Cruyff.

Beliau kemudiannya membanding-bandingkan pemainnya dengan Milan, “Romario sahaja dah menjaringkan 30 gol dalam 33 perlawanan. Milan belanjakan jumlah sama (dengan yuran perpindahan Romario) untuk membeli Desailly.”

(Photo by Tony Marshall/EMPICS via Getty Images)

Capello nyata berang dengan kenyataan Cruyff. Beliau mahu membalas dendam. Tetapi tugasnya sukar. Ini kerana Baresi dan Costacurta akan digantung perlawanan. Van Basten pula cedera.

Jadi Capello memindahkan Paolo Maldini ke pertahanan tengah bersama Filippo Galli. Tasotti di bek kanan. Panucci di bek kiri. Desailly pula berpasangan dengan Albertini. Boban dan Donadoni di bahagian sayap.

Kemudian di bahagian serangan, Capello bergelut. Pilih Savićević yang tak konsisten tapi berskil atau Marco Simone yang mahu keluar AC Milan?

Akhirnya pada malam perlawanan akhir di Anthens itu, Capello memilih Savićević. Sebelum sepak mula malam itu, Berlusconi memberitahu Savićević, “Dejan, awak pemain genius kita. Jangan kecewakan kami malam ini.”

Dan malam itu Savićević betul-betul tidak mengecewakan Berlusconi, Capello dan penyokong AC Milan. Beliau menyumbang gol pertama jaringan Massaro sebelum menjaringkan sendiri gol ke-3 Milan.

(Photo by Bob Thomas/Getty Images)

AC Milan menang 4-0 ke atas Barcelona pada malam bersejarah itu. Ia ‘bertentangan’ dengan falsafah bola sepak defensif Capello. Tak pernah sekalipun dalam aksi Serie A pada musim itu di mana Milan menjaringkan lebih 2 gol.

Inilah kisah Fabio Capello yang memenangi hatrik Serie A dan gelaran juara Champions League dengan seni pertahanan bola sepak. Benarlah kata Sir Alex Ferguson, “Attack wins you games, defence wins you titles.”

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN