Baru-baru ini, kecoh mengenai kelab penyokong Selangor yang mencadangkan agar tugas sebagai ketua pasukan diberikan kepada Amri Yahyah dari penjawat asal iaitu Razman Roslan.
Ia nyata telah pun menimbulkan reaksi berbeza-beza mengenai hal tersebut.
Baca: Presiden ASFC Mahu Amri Yahyah Jadi Kapten Selangor, Ini Respon Razman Roslan
Isu yang hangat di media sosial itu telah pun memperoleh reaksi dari pihak FA Selangor sendiri dan Setiausaha Agung mereka iaitu Rosman Ibrahim.
Bagi Rosman, tindakan tersebut tidak lebih dari sekadar usaha untuk mewujudkan tidak harmoni dalam skuad Selangor.
Bercakap kepada Harian Metro, Rosman berkata yang kumpulan penyokong yang bertindak sedemikian sepertinya telah ditaja oleh pihak tertentu.
“Ada kelab penyokong ini mahu Amri menjadi kapten dan kami tahu mereka ditaja pihak tertentu untuk merosakkan pasukan Selangor.”
Menurut Rosman lagi, Amri sendiri tidak pernah menimbulkan hasrat untuk mengambil alih jawatan sebagai ketua pasukan daripada rakannya iaitu Razman.
“Razman sudah menjadi kapten sejak dari awal manakala Amri tidak pernah menyatakan hasrat untuk menjadi ketua pasukan, jadi isu tidak sepatutnya timbul.”
“Harap mereka yang sengaja memainkan isu ini menghentikannya kerana kami mahu terus fokus dengan misi ditetapkan.”