Quantcast

BERITA

FA Selangor Antara Pemohon Program Tingkatkan Kualiti Padang MFL

Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) akan mengikut jejak langkah Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) yang telah memulakan projek naik taraf padang di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.

Itulah yang diakui Setiausaha Agung FAS, Dr. Johan Kamal Hamidon yang mengesahkan badan induk persatuan negeri itu telah mengemukakan permohonan kepada Malaysian Football League (MFL) dalam usaha meningkatkan fasiliti pasukan Gergasi Merah bermula tahun depan.

Isnin lalu, MFL telah melancarkan program meningkatkan kualiti padang yang menyaksikan PBSNT menjadi perintis projek itu di mana kerja pembaikan padang tersebut dijangka selesai dalam tempoh empat bulan.

Mengulas lanjut, Johan memuji pendekatan MFL dalam menitikberatkan kesedaran untuk meningkatkan kualiti fasiliti kepada semua pasukan bertanding di Liga Malaysia.

“Satu tindakan yang baik daripada Terengganu (PBSNT) dan kami di pihak FAS sangat menyokong penuh kerana MFL berusaha keras untuk menaikkan kualiti padang semua pasukan-pasukan.

“Inisiatif yang diberikan oleh MFL seperti menaik taraf padang dan berkongsi kepakaran itu sangat penting terutama kepada semua pasukan di Liga Malaysia.

“Sebenarnya perkara ini telah dikongsikan oleh MFL sejak beberapa bulan lalu dan FAS telah pun mengutuskan surat permohonan kepada MFL untuk menjadikan Selangor sebagai salah satu pasukan bekerjasama dengan MFL pada tahun hadapan.

CEO MFL, Kevin Ramalingam diberikan taklimat oleh pegawai PBSNT.

“Tahun ini, Terengganu menjadi pasukan awal dan bertujuan untuk menguji program naiktaraf kualiti padang bolasepak tetapi FAS telah memohon tahun depan untuk bersama MFL dalam usaha naiktaraf padang demi kebaikan bersama,” katanya ketika ditemui selepas Bengkal Blueprint 50 Tahun MFL di Menara OBYU, Damansara Perdana hari ini.

Dalam perkembangan sama, Johan turut mendedahkan FAS dalam perancangan meningkatkan fasiliti-fasiliti lain antaranya pusat latihan, gimnasium dan ibu pejabat FAS selain padang bola sepak bersama penaja rasmi mereka, Vizione Holding Berhad.

“Bagi pihak FAS, kami sedang bekerjasama dengan penaja kami melaburkan wang sebanyak RM1 juta ringgit untuk pusat latihan Selangor.

“InsyaAllah pusat latihan dan pejabat baharu FAS itu akan berpusat di Padang SUK (seksyen 5 Shah Alam) dan kami menyahut baik saranan MFL untuk mepertingkatkan fasiliti bola sepak di mana ini adalah asas untuk pasukan bolasepak,” ujarnya.

KEMASKINI TERUS KEPADA ANDA!

Jadi yang pertama mendapatkan kemaskini dari kami melalui emel!