Quantcast

ANALISIS TAKTIKAL

Analisis Taktikal: Bagaimana Pochettino Menangi Pertarungan Sukar Lawan Guardiola

Pochettino seharusnya diberikan pujian kerana struktur taktikal yang beliau terapkan membuatkan Manchester City sukar mendapat ruang.

Perlawanan ini penuh dengan debaran kerana kedua-dua pasukan mencipta beberapa peluang besar dalam perlawanan ini. City gagal memanfaatkan penalti pada awal perlawanan. Sepakan Aguero diselamatkan Hugo Lloris.

Spurs dalam organisasi kompak

Pochettino kali ini lebih fokus kepada menarik Man. City ke zon lebih bawah berbanding dengan cuba melakukan counter pressing segera.

Ini kerana Guardiola ternyata menggunakan pendekatan yang biasa beliau gunakan iaitu, binaan serangan dengan 1 pivot serta menolak segera ramai pemain ke zon serangan.

Guardiola ada banyak set variasi taktikal. Namun kali ini Pochettino berjaya mengagak set taktikal mana yang beliau bakal gunakan.

Spurs bermain dengan sistem 4-2-3-1 yang kompak dengan 2 pemain sayap akan lebih cepat untuk menekan 2 bek sisi Manchester City.

Sementara itu, 2 bek sisi Spurs pula mengawasi ancaman daripada lapisan belakang City yang digerakkan oleh bek sisi Guardiola.

Selepas melihat struktur beliau ditekan teruk, Guardiola mengarahkan Gundongan untuk turun ke bawah sedikit untuk berada sebagai pivot kedua di samping Fernandinho.

Namun selepas itu Pep Guardiola terus cuba untuk membentuk semula asas 4-1-4-1 di dalam taktikal beliau.

City kerapkali tidak terurus

Akibat City yang agak ‘disorganized’ kerana gagal mendapatkan bentuk taktikal terbaik, mereka mengambil masa untuk menjana serangan lebih efektif dan berterusan seperti yang mereka lakukan sebelum ini.

Kesannya, Spurs membuatkan Man. City sukar untuk menaikkan 2 bek sisi mereka kerana Guardiola mengesyaki Pochettino mahu memanipulasi ruang itu.

Akibat daripada bek sisi City yang tidak terlalu ‘super’ aktif ke hadapan, ianya mengurangkan rantaian di antara bek sisi dan pemain sayap serangan.

Setiap kali Man. City cuba membentuk segitiga dan segi empat untuk sokongan, Spurs dengan cepat akan memusnahkan struktur tersebut.

Fluiditi Spurs vs inverted fullback Man. City

Manchester City menggunakan sistem ‘inverted fullback’ dalam permainan ini. Pochettino cuba memanipulasi ruang di half space dan sayap dengan segera. Ia perlu dilakukan cepat kerana Manchester City sangat cepat ‘regroup’.

Kane dan Son Heung Min kerap bertukar peranan apabila perlu. Dele Alli menjadi pemain penting dalam sistem ini untuk memastikan bola boleh dibawa segera ke zon serangan.

Ketika Kane dikeluarkan, Son Heung Min berjaya memainkan peranannya untuk menjadi penjaring gol.

Ketika kehilangan bola, Spurs menggandakan intensiti untuk memenangi semula. Ketika menyerang balas, Spurs memberikan masalah kepada Man. City yang kerap bertahan dengan 5 atau 6 pemain dalam satu serangan.

No.10 City terputus hubungan

Pada separuh masa kedua, Spurs kelihatan beraksi dengan intensiti lebih rendah. Ini kerana, mereka menggunakan banyak tenaga. Namun fokus mereka tetap bertumpu kepada bahagian sayap.

Spurs terus memutuskan rantaian pemain City terutama sekali pivot dengan David Silva. Taktikal Pep Guardiola sangat bergantung kepada pemain no.10 ataupun pemain di ‘hole’ untuk memecahkan zon padat.

Sistem ‘crossing’ City tak berkesan

Masalah Manchester City yang seterusnya adalah mereka mulai banyak mengaktifkan hantaran lintang menerusi Mahrez dan Sterling.

Namun pasukan mereka memerlukan hantaran yang benar-benar ‘membunuh ruang’ untuk mencipta ancaman. Ini kerana bola tinggi sentiasa membuatkan penyerang mereka tiada kelebihan. Manchester City tiada target man klasik.

Tidak cukup dengan itu, City juga mengaktifkan lagi sistem hantaran lintang mereka dengan Walker.

Selepas bolos. Guardiola mengarahkan pasukannya bermaian 4-3-3 yang sangat agresif. Namun mereka tetap berhadapan dengan isu tidak begitu terurus ketika menyerang. Ada tanda-tanda tekanan tambahan pada pemain selepas penalti diselamatkan dan juga dibolosi.

Rumusan

Dalam perlawanan ini Guardiola terlalu percaya pasukannya akan dapat rentak seperti yang beliau mahukan. Oleh sebab itu beliau sangat lama menantikan hasil. Ini kerana City berjaya mencipta beberapa peluang walaupun tidak stabil secara konsisten.

Boleh dikatakan taktikal Guardiola memang hampir membuahkan hasil, tetapi bak kata pepatah Inggeris yang diterjemahkan: “Semakin dekat, tetapi menjadi semakin jauh.”

Kredit kepada Hugo Lloris yang cemerlang menafikan beberapa percubaan lawan. Pochettino berjaya mengarahkan pasukannya berada dalam fokus yang tinggi dalam perlawanan ini. Mereka mencipta lebih banyak peluang gol berbanding dengan City.

Namun pertarungan ini masih jauh daripada selesai. Masih ada 90 minit menanti di Etihad.

Pemain terbaik pilihan SemuanyaBOLA
Hugo Lloris (Tottenham Hotspur)

KEMASKINI TERUS KEPADA ANDA!

Jadi yang pertama mendapatkan kemaskini dari kami melalui emel!