Gol dari Harvey Elliott mencuri tumpun ramai pihak dalam kemenangan Liverpool menentang Cardiff City ketika perlawanan pusingan keempat FA Cup di Anfield.
Jaringan tersebut menandakan kembalinya pemain muda berpotensi tinggi itu selepas berehat panjang akibat kecederaan serius yang dialaminya sebelum ini.
Lebih menarik, gol Elliott itu membayangi kemunculan kali pertama Luis Diaz sebagai pemain Liverpool selepas dibeli dari Porto.
Permainan garang
Liverpool menerapkan corak tipikal mereka seawal wisel permulaan apabila menguasai majoriti daripada aksi separuh masa pertama.
Banyak bola-bola berbahaya yang ditujukan ke pintu gol Cardiff tetapi mereka tidak mampu untuk menembusi gawang kelab Wales itu.
Liverpool banyak menguasai bola tetapi mereka tidak mampu untuk tunjukkan ketajaman mereka di depan pintu gol.
Separuh masa kedua menyaksikan Liverpool akhirnya berjaya untuk mendapatkan apa yang dimahukan selepas Diogo Jota membuka tirai jaringan.
Sepakan percuma dari sayap kanan oleh Trent Alexander-Arnold berjaya ditemui pemain Portugal itu yang kemudiannya menanduk masuk ke dalam gawang Cardiff pada minit ke-53.
Bagaimana Anda Boleh Hidupkan ‘Vibe’ Tonton Bola Di Kedai Mamak Bersama sooka
Masuk minit ke-68, Liverpool berjaya menggandakan penguasaan mereka apabila Takumi Minamino menjaringkan gol hasil kesilapan pertahanan Cardiff yang memberikan bola di kawasan bahaya.
Bola tersebut dirampas oleh Diaz yang kemudiannya menuju ke Jota sebelum tiba ke pemain kebangsaan Jepun itu.
Detik terindah penyokong Liverpool hadir pada minit ke-76 apabila Elliott menjaringkan gol ketiga tuan rumah sekali gus menghantar The Reds ke pusingan seterusnya.
Elliott yang berada di dalam kotak penalti menerima hantaran silang Andy Robertson dan kemudiannya mengawal bola itu dengan cukup baik sebelum melepaskan rembatan padu ke dalam gol.
Cardiff bagaimana pun berjaya mencuri satu gol pada minit ke-80 selepas Robin Colwill merembat padu melepasi Caoimhin Kelleher.
Cardiff yang mencuri bola dari tengah padang berjaya mewujudkan situasi 2v3 yang memihak mereka dari segi bilangan pemain.
Apabila bola tiba di kaki Colwill, beliau berjaya merembat dan cukup baik untuk memberikan ribuan penyokong Cardiff yang melawat Anfield berasa gembira.
Secara keseluruhannya, kemenangan komprehensif dari Liverpool itu cukup baik buat mereka dalam misi layak ke pusingan seterusnya FA Cup.
Keputusan penuh, Liverpool 3-1 Cardiff City.