Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu Esteban Solari menganggap pasukannya bakal berdepan tugas getir untuk mengharungi perlawanan seterusnya dalam saingan AFC Champions League (ACL) musim ini berdepan Ulsan Hyundai.
Setakat ini, JDT boleh dikatakan berada dalam momentum terbaik mereka bagi peringkat Kumpulan I, selepas merekodkan satu kekalahan tipis serta sekali kemenangan untuk berada di kedudukan kedua dengan tiga mata dikumpul.
Selaku satu-satunya wakil Malaysia di pentas ACL, prestasi semasa JDT boleh dianggap sangat menyakinkan selepas pasukan tersebut tidak menjadi mangsa belasahan kepada wakil dari Jepun iaitu Kawasaki Frontale selepas hanya tewas 0-1 di laman sendiri.
Prestasi semasa JDT terus menjadi sebutan ramai, ekoran kejayaan pasukan itu menewaskan salah satu pasukan gergasi dari Thailand iaitu BG Pathum menerusi kemenangan 4-2 di gelanggang lawan.
Pastinya untuk aksi kali ini, ramai penyokong setia Harimau Selatan berharap momentum semasa pasukan tersebut dapat dikekalkan untuk memberi cabaran sengit kepada wakil dari Korea Selatan iaitu Ulsan Hyundai.
Walaupun begitu, Solari melihat aksi seterusnya ini bukan sesuatu yang mudah untuk dihadapi mereka kerana perlawanan tersebut bakal berlangsung di gelanggang lawan iaitu Stadium Bola Sepak Munsu.
Selain menghadapi sorakan padu daripada penyokong pasukan lawan, para pemain JDT juga bakal berhadapan dengan cabaran beraksi dalam cuaca yang sejuk dan mungkin akan mengganggu konsistensi permainan kelab tersebut.
“Ia adalah perlawanan penting buat JDT tatkala terpaksa memberi laluan kepada kalendar perlawanan Persekutuan Bolasepak Antarabanga (Fifa) dan perlu melepaskan beberapa pemain pasukan itu menyertai skuad kebangsaan.
“Persiapan kami tampak begitu padat apabila selepas aksi menentang Perak, kami perlu meneruskan perjalanan ke Korea dan kami berusaha membuat persiapan yang rapi menentang Ulsan.
“Berdepan juara Liga 1 Korea bukan satu yang mudah dan pastinya mereka akan turun habis-habisan selepas tewas baru-baru ini kepada Kawasaki Frontale.
“Tapi kami percaya dengan kredibiliti yang ada dalam pasukan JDT berdasarkan pencapaian ketikan menewaskan kelab dari Thailand, BG Pathum United dan sudah tentu kami bakal tampil dengan corak permainan berintensiti tinggi.
“Kondisi pemain JDT berada di tahap memuaskan dan saya tidak berdepan masalah untuk menyenaraikan barisan terbaik memburu kemenangan kedua selepas menang ke atas Pathum,” kata Solari menerusi laporan Harian Metro.
Untuk rekod pertemuan, kedua pasukan tersebut pernah bertembung sebanyak dua kali bagi kejohanan sama pada tahun lalu dengan masing-masing seimbang memperoleh satu kemenangan dan kekalahan.