Essam El-Hadary: Kisah Dongeng Jadi Realiti ‘Adiwira Mesir’ Ke Piala Dunia 2018

Bagi Essam El-Hadary, ia merupakan satu perkara yang sangat istimewa ketika Mesir kembali mengesahkan akan bersaing secara merit dalam pertandingan bola sepak paling berprestij di dunia.

Apatah lagi penyertaan pada kali ini adalah selepas satu tempoh yang agak lama Mesir terasing daripada bola sepak antarabangsa.

Ia tidak sekadar menyatukan Mesir. Malah mereka yang berada di luar negara yang berasal dari asal usul dan salasilah yang sama turut sama-sama bangga akan pencapaian tersebut.

Itulah yang kita saksikan apabila Mohamed Salah menyempurnakan sepakan penalti pada minit akhir perlawanaan bagi memastikan kemenangan 2-1 ke atas Congo, sekaligus mengesahkan Mesir akan ke Piala Dunia Rusia pada musim panas tahun hadapan.

Revolusi Arab dan bola sepak Mesir

Mesir telah berusaha kembali ke Piala Dunia sejak kali terakhir melakukannya 27 tahun yang lalu. Senario bola sepak di negara berpopulasi 95,924,400 itu mungkin berbeza dengan negara-negara Afrika yang lain.

Mesir tidak pernah ketandusan pemain berbakat dan berkebolehan. Untuk rekod, Mesir telah muncul juara Africa Cup of Nations (AFCON) sebanyak 4 kali sejak kali terakhir melayakkan diri ke Piala Dunia 1990 di Itali.

(Photo by Peter Robinson/EMPICS via Getty Images)

Tetapi kegagalan bola sepak di Mesir dalam tempoh itu lebih banyak berkait dengan masalah politik di negara berkenaan. Memburukkan keadaan, liga domestik di Mesir pernah ditangguhkan di antara 2011 sehingga 2013 akibat daripada tragedi di Stadium Port Said.

Malah AFCON 2017 adalah penampilan pertama Mesir di dalam pertandingan tersebut sejak tercetusnya Revolusi Arab- sebuah gerakan protes besar-besaran yang mulai terjadi merentasi Negara Arab pada akhir tahun 2010 serta berjaya menggulingkan beberapa rejim pemerintahan di Libya, Syria, Yemen, Bahrain dan juga Mesir sendiri.

(Photo credit should read GIANLUIGI GUERCIA/AFP/Getty Images)

Semua ini menyumbang kepada terbantutnya bola sepak Mesir secara keseluruhan. Tidak ramai yang boleh kekal lama dan sanggup berjuang demi bola sepak.

Senario ini menyebabkan jurulatih dan pemain datang dan pergi, pasukan dan kelab yang bertanding secara domestik dan antarabangsa, ada kalanya tidak mengambil bahagian. Bagaimana untuk membangunkan bola sepak jika seluruh negara pada ketika itu seolah berada di ambang kehancuran?

(Photo credit should read GIANLUIGI GUERCIA/AFP/Getty Images)

Namun di sebalik kekacauan dan rintangan, hadir seorang pemain yang sentiasa bersedia untuk apa sahaja keadaan. Seorang lelaki yang sentiasa memastikan sarung tangannya sentiasa disarung untuk menerima dan menepis cabaran berikutnya.

Beliau yang dimaksudkan ialah penjaga gol berusia 44 tahun, Essam El-Hadary.

Essam El-Hadary pra-Arab Spring

El-Hadary telah menyaksikan segala-galanya berkaitan bola sepak Mesir. Beliau telah melihat bagaimana bola sepak Mesir mulai bangkit pada pertengahan 1990an sehingga awal 2000.

El-Hadary juga merupakan saksi bagaimana bola sepak Mesir jatuh sehingga menjejaskan prospek bola sepak negara berkenaan di peringkat antarabangsa, sedekad selepas itu.

(Photo by Adam Davy/EMPICS via Getty Images)

Karier El-Hadary bersama Mesir bermula pada 1998, ketika beliau adalah sebahagian daripada skuad Mesir yang menjuarai AFCON. Pada 2001, El-Hadary sekali lagi dipanggil ke skuad untuk AFCON, juga sebagai pemain simpanan.

Namun pada 2002, El-Hadary adalah penjaga gol utama Mesir. Malangnya mereka tewas di peringkat suku akhir kepada juara kejohanan AFCON edisi tersebut, Cameroon.

El-Hadary akhirnya menjuarai AFCON sebagai penjaga gol utama Mesir pada edisi 2006, diikuti dengan kejuaraan pada pertandingan yang sama pada 2010.

(Photo credit should read KARIM JAAFAR/AFP/Getty Images)

2010 menampilkan antara skuad terbaik yang pernah dimiliki oleh Mesir. Pemerhati bola sepak menjangkakan tahun tersebut adalah peluang terbaik untuk Mesir melayakkan diri ke Piala Dunia 2010. Namun demikian, mereka dikecewakan oleh Algeria apabila tewas 1-0 di peringkat ‘playoff’, selepas terikat mata di peringkat kumpulan.

Malang sekali buat skuad Mesir pada era itu kerana Piala Dunia 2010 adalah peluang terakhir untuk mereka melakukan impak sebelum Revolusi Arab mengambil alih segalanya daripada bola sepak Mesir.

‘Kebangkitan Essam El-Hadary’

Ketika usia El-Hadary mencecah angka 40 pada Januari 2013, tidak ramai yang menjangkakan beliau akan kembali menjadi tongak utama skuad kebangsaan Mesir. Apatah lagi untuk menjadi tulang belakang Mesir untuk memburu slot ke Rusia.

Tetapi itulah yang El-Hadary lakukan. Selepas segala kemurungan yang meliputi bola sepak Mesir lebih daripada sedekad, El-Hadary sedar beliau harus bermula dari bawah.

(Photo credit should read GABRIEL BOUYS/AFP/Getty Images)

Untuk layak mewakili sesebuah negara dalam bola sepak, anda tidak akan mendapat panggilan secara automatik. Reputasi bukan ukuran semata-mata.

Anda harus bekerja keras dan membuktikan kemampuan sebenar untuk melayakkan diri tersenarai di dalam skuad kebangsaan, dan itulah yang dibuktikan oleh El-Hadary dalam tempoh itu.- pengajaran yang layak diambil kira oleh pemain skuad kebangsaan Harimau Malaya!

(Photo credit should read ISSOUF SANOGO/AFP/Getty Images)

Selepas hanya tampil 5 kali untuk 3 tahun sebelumnnya, El-Hadary dipanggil semula pada 2016, namun sebagai penjaga gol simpanan pada mulanya. Namun kerana kesungguhan dan disiplin, posisi penjaga gol Mesir bertukar menjadi milik mutlak El-Hadary pada usia 43 tahun.

Beliau beraksi cemerlang dalam 2 perlawanan kelayakkan Piala Dunia pada Oktober dan November 2016, menentang Congo dan Ghana, Mesir mencatat kemenangan dan memperolehi mata penting dalam 2 perlawanan tersebut.

El Hadary: Adiwira Mesir

Kisah El-Hadary tidak berakhir di situ. Prestasinya semakin meyakinkan dan kini beliau bersedida untuk AFCON 2017. Pada kejohanan tersebut, El-Hadary adalah pemain tertua di dalam pertandingan tersebut pada usia 44 tahun.

Sebelum kejohanan, El-Hadary tiba dengan reputasi tidak melepaskan sebarang gol dalam pertandingan tersebut sejak 2010.

(Photo by Ulrik Pedersen/Icon Sport via Getty Images)

Kecemerlangan tersebut diteruskan oleh El-Hadary di peringkat kumpulan, seterusnya suku akhir dan sebelum dibolosi oleh Aristide Bance dari Burkino Faso di peringkat separuh akhir.

Perlawanan separuh akhir AFCON 2017 menyaksikan El-Hadary menjadi wira Mesir apabila menyelamatkan penentuan sepakan penalti Burkino Faso untuk melayakkan Mesir ke perlawanan akhir bertemu Cameroon.

(Photo credit should read ISSOUF SANOGO/AFP/Getty Images)

Secara total, El-Hadary memegang rekod 653 minit tidak dibocori dalam pertandingan AFCON sepanjang 7 tahun.

Walaupun tewas di tangan Cameroon kemudiannya, El-Hadary sedar bahawa Mesir ada sesuatu yang lebih besar menanti, dengan tiket ke Piala Dunia 2018 menjadi taruhan.

Mesir mln Congo, 8 Oktober 2017

Sukar untuk membayangkan bagaimana El-Hadary memikirkan perkara sedemikian tatkala beliau tampil di hadapan 90,000 penonton di Stadium Borg El-Arab, di Iskandariah, Mesir pada 8 Oktober lalu.

. (Photo by Islam Safwat/NurPhoto via Getty Images)

Jaringan penyamaan minit ke-86 Arnold Bouka Moutou hampir merampas segala impian yang telah dipasang oleh El-Hadary, rakan sepasukan, dan seluruh rakyat Mesir.

Congo adalah halangan terakhir untuk impian El-Hadary dan seluruh Mesir untuk ke Piala Dunia pada masa itu.

(Photo by Islam Safwat/NurPhoto via Getty Images)

Sehinggalah ke saat Mohamed Salah mendepakan tangan sambil dikejar oleh rakan sepasukan yang lain untuk meraikan gol kemenangan minit akhir, anda bayangkan sendiri tegangnya suasana perlawanan.

El-Hadary dan Mesir hanya mahu memastikan segala senarai semak dilengkapkan untuk memastikan tiket ke Piala Dunia itu menjadi pasti, sekaligus membuktikan kepada seluruh negara mengapa beliau adalah penjaga gol No.1 Mesir.

Rumusan

“Pergi mampus dengan politik!”- mungkin itu ungkapan El-Hadary yang penulis bayangkan. Satu perkara yang jelas ialah El-Hadary tidak akan membenarkan sesiapa pun untuk mengambil bola sepak Mesir daripadanya pada kali ini.

Kisah Essam El-Hadary bersama Mesir bagaikan satu kisah dongeng. Namun ia adalah realiti kegigihan, dan menjadi inspirasi yang menyatukan Mesir pada hari ini.

Pergilah ke Kaherah, Iskandariah atau ke Giza yang terletaknya Piramid Khufu; ke setiap ceruk pedalaman Mesir waima di Gurun Sahara yang menjadi sebahagian daripada Mesir sekalipun, setiap yang bernyawa dan manusia itu akan memperkatakan Piala Dunia 2018.

Bukan sahaja sebagai pemain paling berusia pada usia 45 tahun ketika Piala Dunia 2018 akan bermula di Rusia pada tahun hadapan, El-Hadary dan Mesir sudah bersedia untuk menunjukkan kepada dunia bahawa bola sepak Mesir kekal utuh dan bersedia untuk bersaing dengan gergasi bola sepak dunia yang lain.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN