Pengurus Barcelona, Ernesto Valverde tidak mahu anak buahnya terlalu selesa dengan kelebihan tiga jaringan yang dimiliki menjelang aksi separuh akhir kedua Liga Juara-Juara Eropah (UCL) 2018/19 menentang Liverpool di Anfield, awal pagi nanti.
Hal ini kerana The Blaugrana pernah kecewa pada musim lalu walaupun bertandang ke tempat lawan dengan kelebihan tiga jaringan ketika bertemu AS Roma.
Barcelona mencatatkan kemenangan 3-0 di Nou Camp hasil jaringan pembukaan oleh Luis Suarez dan Lionel Messi kemudiannya menambah dua jaringan pada babak kedua.
Bagi pengendali berusia 55 tahun itu, beliau tidak mahu tragedi di Rome pada aksi suku akhir UCL musim lalu sekali lagi membelenggu anak buahnya.
”Ia satu pengalaman yang perlu kita pelajari daripadanya tetapi perkara baik mengenai bola sepak adalah anda sentiasa mendapat peluang lain,” ulas Valverde ketika ditanya wartawan mengenai kekecewaan musim lalu.
”Tiada apa-apa dalam bola sepak yang ditulis, anda perlu turun ke padang dan melakukannya.”
”Menentang PSG (peringkat 16 terbaik UCL 2016/17) – orang mengatakan sekiranya mereka menjaringkan gol, semuanya akan berakhir – tetapi kami berjaya menjaringkan enam gol.”
”Melihat kepada sidang media yang penuh ini dan semua tiket perlawanan telah terjual, saya tidak melihat sebarang bahaya (rasa berpuas hati) akan berlaku.”
”Tetapi Liverpool adalah sebuah pasukan yang baik, jadi siapa tahu sesuatu boleh berlaku.”
Pada musim lalu, Barcelona berjaya menundukkan AS Roma 4-1 di Nou Camp tetapi akhirnya mereka kecewa di Rome apabila tunduk 0-3 menyaksikan skuad yang ketika itu dibimbing Eusebio Di Francesco layak ke separuh akhir berikutan kelebihan jaringan di tempat lawan.