Legenda Manchester United, Eric Cantona kini amat bersimpati akan nasib dan masa depan Karim Benzema dalam karier antarabangsa.
Cantona mengaku ingin melihat nama Benzema kembali semula tersenarai untuk memperkuatkan Les Bleus dalam setiap perlawanan yang dihadapi skuad itu.
Penyerang Real Madrid itu telah keluar dari senarai pemilihan sejak 2015. Tetapi bagi Cantona hal ini adalah satu kerugian besar buat Perancis jika tidak menyenaraikan Benzema dalam skuad utama.
Cantona dipetik sebagai berkata:
“Semua tentu ingin melihat pemain terhebat beraksi untuk Les Bleus. Malah sudah tentu, kita juga ingin melihat Karim Benzema kembali semula bersama skuad Perancis.”
“Saya bukanlah orang pertama yang memikirkan hal tersebut,” ujar Cantona semasa temubual bersama station radio France Inter.
Sejak debut pertama di peringkat antarabangsa, aksi Benzema sering kali mendapat pujian ramai. Malah peminat bolasepak Perancis turut melabelkan Benzema sebagai penyerang berbisa yang layak mengepalai bahagian serangan pasukan.
Namun situasi itu berubah sama sekali setelah bekas pemain Olympique Lyon itu terlibat dalam satu kontroversi skandal video porno yang juga turut melibatkan rakan senegaranya, Mathieu Valbuena pada tahun 2015.
Sejak dari itu, Karim Benzema tidak lagi menyarung jersi skuad kebangsaan Perancis dan paling mengecewakan, nama beliau juga dikecualikan dari pemilihan untuk Euro 2016.
Pengurus Perancis, Didier Deschamps tidak pernah memanggil Benzema untuk memperkuatkan Perancis hingga ke saat ini. Walhal pemain berusia 29 tahun itu merupakan penyerang berbisa di Real Madrid.
Penampilan terakhir Karim Benzema untuk Les Bleus adalah dalam perlawanan persahabatan menentang Armenia pada 8 Oktober 2015.
Dalam perlawanan tersebut, Benzema berjaya menjaringkan 2 gol dan menghasilkan 1 bantuan gol yang memberi kemenangan 4-0 kepada Perancis di Allianz Riviera.
Untuk Karim Benzema kembali bersama Les Bleus dalam masa terdekat, adalah satu perkara yang sukar untuk dilihat. Tanggapan sedemikian dibuat selepas Deschamps memaklumkan bahawa dirinya tidak begitu selesa ketika ditanyakan persoalanan tersebut.
Setiap kali sebelum atau selepas sepak mula perlawanan melibatkan Perancis, Deschamps sering kali dipersoalkan oleh pihak media tentang masa depan Benzema bersama Les Bleus.
Tetapi Deschamps seperti enggan menjawab dan tidak berminat untuk membicarakan tentang pemain itu.
“Saya bosan untuk berbicara hal ini. Setiap kali perlawanan melibatkan Perancis, media pasti akan mempersoalkan kepada saya tentang Karim Benzema.” ujar pengurus berusia 49 tahun itu.
Bagi Benzema, beliau masih mengharapkan untuk kembali menyarung jersi skuad kebangsaan Perancis. Meskipun tidak pernah dipanggil sejak 2015, Benzema masih tidak berputus asa, malah beliau yakin namanya akan dipanggil semula satu hari nanti.
Benzema pernah berkata bahawa beliau akan sentiasa bersiap sedia jika mendapat panggilan dan peluang kedua untuk menyertai Les Bleus.
Rekod Benzema bersama Perancis tidak menghampakan. Beliau telah beraksi selama 5136 minit perlawanan melalui 81 penampilan bersama Le Bleus dan berjaya menghasilkan sejumlah 27 gol di peringkat antarabangsa.
Malah Benzema turut pernah memenangi anugerah pemain terbaik tahunan Perancis pada tahun 2011,2012 dan 2014.