EPL 2017/18: Manchester United Perlukan No.6 Stabil, Tiada Zon Selesa Buat Lukaku!

Musim Liga Perdana Inggeris (EPL) akan bermula tidak lama lagi. Seperti kebiasaan, ia akan mengujakan setiap penyokong bola sepak terutamanya di negara kita.

Kali ini kami akan membawakan kepada anda previu pasukan Manchester United berdasarkan skuad sedia ada.

Pembentukan skuad

Setakat ini Jose Mourinho telah membawa masuk 2 pemain walaupun beliau telah mensasarkan untuk membawa 4 pemain pada jendela perpindahan kali ini.

Manchester United juga sedang berada dalam proses untuk meneruskan saingan tanpa penjaring terbanyak sepanjang zaman kelab itu iaitu Wayne Rooney.

Bagaimanapun, perpindahan Wayne Rooney ke Everton dijangka tidak akan memberi kesan secara langsung kepada taktikal Jose Mourinho.

Keluar:
1. Wayne Rooney (Everton)
2. Josh Harrop (Preston North End)

Masuk:

1. Victor Lindelof (Benfica)
2. Romelu Lukaku (Everton)

Berdasarkan apa yang dikatakan oleh Jose Mourinho ketika jelajah pra musim di Amerika Syarikat, jelas beliau ingin menambah baik 4 posisi.

Sehingga kini, Mourinho sudah mendapatkan Romelu Lukaku (penyerang) dan juga Victor Lindelof (pertahanan tengah).

Romero Lukaku adalah pembelian terus khas untuk menggantikan Zlatan Ibrahimovic.

2 lagi posisi yang menjadi perharian Mourinho ialah posisi sayap kiri dan juga posisi tengah pertahanan.

Beberapa pemain telah dikaitkan dengan Manchester United untuk posisi tersebut. Antaranya adalah Ivan Perisic (Inter Milan), Eric Dier (Totenham Hotspur), Nemanja Matic ( Chelsea) dan juga Fabinho (Monaco)

Jose Mourinho mempunyai masa sehingga penghujung bulan Ogos untuk mendapatkan pemain yang beliau perlukan. Sehingga itu, beliau harus berharap kepada barisan pemain sedia ada.

Squad depth

‘Squad depth’ adalah antara kelebihan yang dimiliki oleh Jose Mourinho pada musim hadapan. Di bangku simpanan, The Red Devils boleh bergantung kepada tenaga muda seperti Timothy Fosu-Mensah atau pun Axel Tuanzebe.

Mourinho telah menjanjikan lebih penglibatan pemain daripada akademi pada musim akan datang.

Skuad Manchester United pada musim hadapan juga tidak kurang khidmat pemain berpengalaman dengan kehadiran pemain seperti Marouane Fellaini, Ashley Young dan Sergio Romero jika diperlukan.

Taktikal

Jose Mourinho gemar untuk bermain dengan formasi 4-3-3. Posisi ini membenarkan Jose Mourinho menggunakan kelebihan teknikal yang dimiliki oleh pemain beliau di dalam skuad Manchester United.

Gandingan Herrera-Pogba, Carrick sebagai pivot tunggal.

Ini adalah salah satu formasi dan pilihan pemain yang boleh digunakan oleh Mourinho.

Formasi 4-3-3 di atas membenarkan Pogba mengeksploitasi bahagian serangan United seperti mana yang kerap kita saksikan pada penghujung musim lalu.

Ketenangan Michael Carrick di posisi pivot akan membantu bahagian pertahanan United.

Hantaran-hantaran Carrick yang bijak dan tenang mencari ruang juga merupakan senjata yang boleh digunakan oleh kesebelasan utama Manchester United ketika melancarkan serangan.

Walaupun Mourinho memiliki Michael Carrick, faktor usia pemain tersebut pasti sesuatu yang perlu diambil kira oleh beliau.

Kerana itulah, Mourinho masih mencari seorang pemain yang boleh beraksi di posisi tersebut secara konsisten (perlawanan demi perlawanan) sepanjang musim.

Mata-Herrera. Pogba sebagai pivot.

Oleh itu, Mourinho perlu tampil dengan Pelan B dalam formasi 4-3-3. Herrera boleh digandingkan dengan Mata.

Pogba boleh beraksi sebagai pemain tengah pertahanan kerana kelebihan fizikal beliau. Bagaimanapun, Mourinho akan hilang produktiviti pemain Perancis tersebut di bahagian serangan.

Musim lalu, Manchester United tampil sebanyak 2 kali dengan formasi 3-5-2 ketika menentang Rostov. Formasi 3-5-2 turut digunakan ketika menentang L.A Galaxy dalam perlawanan pra musim.

Sistem double pivot, 3 bek.

Mengambil kira beberapa pasukan seperti Chelsea yang berjaya menggunakan formasi ini pada musim lalu, tidak hairanlah jika Mourinho turut akan menggunakan formasi ini sebagai variasi dalam taktikal beliau.

Formasi ini mempunyai kelebihan dan kekurangan tersendiri. Kelebihan utamanya ialah sistem 2 penyerang. Rashford mempunyai kepantasan, manakala Lukaku memiliki kelebihan fizikal.

Ditambah dengan kehadiran Pogba di belakang kedua-dua penyerang tersebut, gandingan ketiga-tiganya mampu memberikan masalah kepada mana-mana pemain pertahanan di dalam EPL.

Kekurangannya ialah Manchester United tidak mempunyai pemain tengah pertahanan berskil dengan bola yang tinggi.

Chelsea berjaya menggunakan pada musim lalu kerana adanya David Luiz. Luiz merupakan seorang ball playing defender yang bagus.

Untuk seorang ball playing defender, pemain tersebut turut harus mempunyai visi yang tinggi untuk memulakan serangan.

Selain daripada itu, Manchester United turut tidak mempunyai pemain sayap bertahan di sebelah kiri. Luke Shaw dicanang sebagai pemain yang mempunyai potensi untuk posisi tersebut.

Berdasarkan persembahan pada musim lalu, Shaw harus bekerja keras untuk meyakinkan Mourinho.

Kualiti Skuad

Ini adalah kumpulan pemain terbaik yang dimiliki oleh Manchester United sejak persaraan Sir Alex Ferguson.

Keupayaan mereka mengekalkan David De Gea pada musim panas ini adalah satu perkara yang melegakan buat penyokong United dan Jose Mourinho.

Pasukan ini juga mempunyai ramai pemain muda yang mampu menyinar.

(Photo by Gareth Copley/Getty Images)

Kami tertarik dengan perkembangan Marcus Rashford. Jika Mourinho kekal menggunakan sistem penyerang tunggal, maka Rashford merupakan ancaman kepada Lukaku jika gagal bermain seperti yang dikehendaki.

Kelemahan musim lalu pasukan ini adalah pada jentera penyudah. Mereka terlalu mengharapkan Zlatan Ibrahimovic untuk menjaringkan gol.

Pemain seperti Anthony Martial dan Henrik Mkhitaryan perlu lebih efektif dalam jumlah jaringan.

Apa yang kami jangkakan

Jika Jose Mourinho mampu mendapatkan seorang pemain tengah bertahan (pemain No.6), maka skuad ini boleh dianggap lengkap.

Musim lalu, isu jaringan juga sering menyebabkan Manchester United sering mencatat keputusan seri.

Konsistensi Lukaku di dalam menjaringkan gol pasti ditagih dan Rashford akan menjadi pesaing untuk berada di jentera depan pasukan Manchester United pada musim hadapan.

Jika Manchester United mampu menjaringkan gol seperti yang diharapkan, maka mereka akan tampil sebagai pesaing kepada kejuaraan EPL.

Bagaimanapun, kami menjangkakan Manchester United perlu tampil lebih baik untuk mara jauh di dalam pertandingan UEFA Champions League musim hadapan.

Ia pasti sesuatu yang menarik untuk melihat musim kedua Jose Mourinho di Old Trafford.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN