Era Baharu Chelsea Kini Semakin Hampir, Tapi Siapakah Todd Boehly?

Todd Boehly

Sabtu lepas, konsortium yang diketuai oleh Todd Boehly diumumkan sebagai pembida yang berjaya membeli Chelsea.

Pengumuman bidaan yang berjaya itu merupakan berita yang sangat dinanti-nantikan oleh peminat dan penyokong The Blues. 

Sejak serangan Russia ke atas Ukraine, Roman Abramovich berada di dalam keadaan terdesak untuk menjual Chelsea.

Konsortium yang diketuai oleh Todd Boehly ini dikatakan antara yang terawal membuat tawaran kepada bilionair Russia tersebut. 

Pembekuan sepenuhnya hubungan diplomatik antara kerajaan UK dan Russia menyebabkan Abramovich dilihat terpaksa melepaskan pegangannya.

Sekatan demi sekatan perniagaan menyebabkan Chelsea sukar untuk bergerak dan beroperasi seperti biasa. 

Beberapa orang pemain senior seperti Antonio Rudiger dan Andreas Christensen juga tidak mahu menandatangani kontrak baharu; kesan daripada masalah sekatan ini.

Begitu juga dengan Marcos Alonso yang mahu segera pulang ke Sepanyol dan bermain bersama Barcelona. 

Maka, kejayan bidaan oleh bilionair Amerika Syarikat ini menjadi titik penting bagi Chelsea dan masa depan pemain-pemain di Stamford Bridge.

Chelsea menerusi kenyataan rasmi mereka memaklumkan kelab tersebut berjaya dibida dengan nilai £4.25 bilion. 

Namun begitu, sekatan yang dikenakan ke atas entiti perniagaan milik oligarki Russia seperti Chelsea menyebabkan kelulusan pembelian ini masih lagi tertakluk kepada keputusan kerajaan UK.

Siapakah gerangannya Todd Boehly?

Biarpun berasal dari Amerika Syarikat, Todd Boehly bukanlah seorang yang asing dengan ibu kota London. LA Business Journal menyenaraikan Boehly sebagai seorang graduan dari London School of Economics.

Ahli perniagaan, pelabur dan dermawan ini merupakan Pengerusi dan CEO syarikat Eldridge Industries. Ditubuhkan oleh beliau sendiri pada tahun 2015, Eldridge Industries memiliki pelaburan di dalam pelbagai industri.

Melalui Eldridge, Boehly melabur di dalam firma insurans, hartanah dan syarikat teknologi. Eldridge juga memiliki pegangan unik seperti hak cipta lagu Bruce Springsteen dan juga syarikat perjudian sukan DraftKings.

Boehly juga pernah memainkan peranan penting bagi menjayakan perjanjian antara Time Warner Cable dan juga Los Angeles Dodgers.

Menerusi perjanjian tersebut, maka terhasil sebuah syarikat yang dinamakan sebagai SportsNet LA. Syarikat ini kemudiannya menjadi penyiar rasmi bagi acara-acara yang membabitkan sukan besbol.

Memiliki dan menguruskan kelab sukan bukanlah sesuatu perniagaan yang asing kepada Boehly. Ketika ini, beliau merupakan salah seorang daripada pemilik kelab besbol Los Angeles Dodgers dengan pegangan sebanyak 20%.

Selain itu juga, Boehly turut memiliki pegangan sebanyak 27% di dalam kelab bola keranjang Los Angeles Lakers.

Kekayaan Todd Boehly dan cabaran Chelsea yang seterusnya

Menurut laporan Forbes, Todd Boehly memiliki nilai kekayaan berjumlah £3.6 bilion. Pasukan Los Angeles Dodgers yang dimilikinya merupakan juara MLB World Series sebanyak tujuh kali.

Pembelian ini, biarpun masih menunggu kelulusan pihak berkuasa di UK, bukanlah percubaan pertama oleh Boehly.

Beliau dilaporkan pernah menyatakan minat untuk membeli Chelsea seawal tahun 2019 dengan nilai $3 bilion. Namun, ketika itu Abramovich tidak berminat untuk menjual kelab kesayangannya ini.

Ketika Abramovich membeli Chelsea pada tahun 2003, dilaporkan pemilik sebelum itu iaitu Ken Bates menjualnya pada harga £140 juta. Musim pertama 2003/2004 melihatkan kuasa pembelian Chelsea dengan £100 juta dibelanjakan.

Pemain-pemain seperti Juan Sebastian Veron, Hernan Crespo dan Claude Makelele berjaya dipancing oleh Claudio Ranieri. Chelsea mengakhiri saingan Premier League pada era Abramovich dengan kedudukan kedua di belakang Arsenal.

Selain itu juga, pasukan mereka berjaya mara ke separuh akhir UEFA Champions League.

Maka, sudah tentu sekali peminat dan penyokong The Blues mengharapkan kejayaan yang lebih baik dengan pembelian oleh Boehly ini.

Cabaran terbesar bagi Boehly dan juga pengurusan Chelsea adalah bagi meyakinkan pemain untuk terus bersama Chelsea bagi era baharu ini.

Leave a Reply