Cristiano Ronaldo menjaringkan hatrik yang dianggap ‘spektakular’ untuk membantu Manchester United kembali menghuni tangga keempat Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas kemenangan 3-2 ke atas Tottenham di Old Trafford.
Selepas tidak beraksi di derbi Manchester sebelum ini, Ronaldo memastikan United sentiasa di hadapan dalam perlawanan ini sebanyak tiga kali sejali gus menghasilkan hatrik pertamanya sejak kembali menyertai United.
Tottenham juga beraksi cemerlang dalam perlawanan ini, dan berjaya menyamakan kedudukan sebanyak dua kali melalui penalti yang disempurnakan Harry Kane dan gol sendiri Harry Maguire. Jelas Ronaldo adalah faktor yang membezakan kedua-dua pasukan.
Sensasi Ronaldo julang United
Gol pertama Ronaldo dihasilkan dengan menarik sekali. Memiliki penguasaan bola di luar kotak penalti, rembatan yang ditujukan pemain itu ke penjuru kanan penjaga gol menerjah jaring untuk membangkitkan atmosfera di Old Trafford.
Jaringan tersebut juga seolah-olah seperti sebuah mesej kepada lawan dan pengkritik yang tidak habis-habis mempersoalkan sumbangannya untuk United.
Gol tersebut bagaimana pun tidak memberi kesan kepada Spurs yang terus memberikan tekanan. Spurs menuju ke perlawanan ini pada prestasi terbaik mereka selepas beberapa keputusan positif, termasuk kejayaan menewaskan Manchester City 4-2, membelasah Leeds 4-0, dan menewaskan Everton 5-0.
Ben Davies menyaksikan jaringan beliau dibatalkan selepas menerima hantaran Son Heung-min dan tandukan Eric Dier pula diselamatkan oleh Diogo Dalot di garisan gol.
Gol penyamaan Spurs hanya tiba selepas hantaran Dejan Kulusevski mengena tangan Alex Telles di dalam kotak penalti. Kane tanpa sebarang keraguan menewaskan David de Gea untuk menyamakan kedudukan.
Kebangkitan yang cuba dijelmakan Spurs bagaimana pun tidak kekal lama apabila Jadon Sanco berjaya melepasi kawalan pertahanan lawan sebelum melintangkan bola untuk disempurnakan Ronaldo dari jarak dekat.
Ronaldo punahkan harapan Spurs
Spurs tidak berdiam diri pada babak kedua perlawanan dan sangat jelas mahukan sesuatu daripada perlawanan ini, tatkala United pula lebih selesa bermain melalui serangan balas pantas.
Skuad kendalian Conte akhirnya berjaya menyamakan kedudukan apabila Son cuba mengumpan bola kepada Sergio Reguilon, tetapi hantaran tersebut dihadang oleh Maguire sehingga bola menerjah ke gawang sendiri.
Cristiano Ronaldo broke the all time goalscoring record with a hat trick 🐐https://t.co/yFfK1QtKmT pic.twitter.com/gVbv9cyMA7
— SPORTbible (@sportbible) March 12, 2022
Tetapi Ronaldo jelas belum selesai – sekali lagi mencetak nama sebagai penjaring dengan lonjakan tinggi menyambut hantaran Telles sebelum menanduk masuk gol kemenangan Manchester United.
Hatrik Ronaldo dalam perlawanan ini juga menjadikan dirinya sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman.