Chelsea dan Liverpool terus bergelut di tangga pertengahan Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila kedua-dua pasukan sekadar seri tanpa jaringan adalam aksi yang berlangsung di Anfield.
Dua pasukan tersebut yang telah berbelanja besar pada musim ini buntu mendapatkan jaringan sepanjang 90 minit perlawanan.
Chelsea mungkin lebih kecewa apabila jaringan Kai Havertz di awal permainan dibatalkan oleh pengadil bantuan video (VAR).
Penampilan pemain baharu Mykhailo Mudryk juga nampaknya tidak berhasil untuk memberikan tiga mata buat The Blues meskipun memiliki beberapa peluang untuk meledak gol pertama untuk kelab baharunya itu.
Rekrut baharu Liverpool, Cody Gakpo juga terus dirundung malang apabila penampilan keempatnya untuk kelab tersebut masih tidak menghasilkan sebarang gol atau bantuan jaringan.
Kedua-dua pasukan terikat dengan 29 mata, namun Liverpool menghuni tangga kelapan dengan kelebihan jaringan dan mempunyai satu perlawnaan dalam tangan sementara Chelsea pula kekal di tangga ke-10.
Graham Potter terus kemarau kemenangan untuk enam perlawanan di tempat lawan dalam semua pertandingan. Jurgen Klopp pula mungkin lebih lega untuk keputusan seri selepas tewas dua perlawanan liga.