Liverpool memperoleh kemenangan keenam dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) 2020/21 selepas berjaya mencatatkan kemenangan selesa 3-0 ke atas Leicester City pada aksi yang berlangsung di Anfield, sebentar tadi.
Tiga mata penting yang diraih tersebut menyaksikan juara bertahan itu berkongsi 20 mata [tempat kedua] bersama Tottenham Hotspur tetapi kelab dari London itu berada di tangga teratas apabila memiliki kelebihan perbezaan jaringan berbanding The Reds.
Lebih menarik untuk diperkatakan, ketiga-tiga gol yang terhasil pada perlawanan ini tercetus menerusi tandukan.
Turun tanpa Mohamed Salah, Trent Alexander-Arnold dan Jordan Henderson nyata tidak memberikan sebarang masalah buat Liverpool yang masih mampu untuk menjelmakan permainan meyakinkan.
Ia jelas terbukti apabila skuad kendalian Jurgen Klopp itu mendominasi sebahagian besar permainan sebaik sahaja wisel permulaan ditiup pengadil perlawanan, Chris Kavanagh.
Liverpool memulakan permainan dengan cukup garang apabila hantaran James Milner seawal minit kedua terus mencari Sadio Mane yang berada dalam kawasan penalti. Tandukan dilakukan penyerang kelahiran Senegal itu bagaimanapun sekadar singgah di tepi jaring luar pasukan pelawat.
Curtis Jones turut mendapat peluang terbaik dalam kawasan penalti, tetapi rembatan jarak dekat diledakkannya berjaya dinafikan penjaga gol, Kasper Schmeichel pada minit kesembilan. Penjaga gol utama Leicester City itu terus menjadi penghalang buat Liverpool selepas beliau turut menggaglkan rembatan daripada Diogo Jota dari luar kawasan penalti.
Jaringan yang dinantikan kem tuan rumah hadir pada minit ke-21 apabila pertahanan Leicester City, Jonny Evans tertanduk bola ke gawang sendiri dalam usahanya untuk mengeluarkan bola hasil sepakan sudut Milner.
Berselang 20 minit kemudian, Jota yang bijak menghidu hantaran dilakukan Andy Robertson dalam kawasan penalti berjaya menanduk masuk bola untuk meletakkan namanya selaku penjaring gol kedua perlawanan.
Ketika aksi babak pertama hanya berbaki tiga minit untuk ditamatkan, Youri Tielemans memberikan ancaman ke gawang Liverpool, namun rembatan jarak jauh diledakkannya berjaya dihalang Alisson Becker.
Memasuki separuh masa kedua, Liverpool menggandakan asakan dengan beberapa kali cuba untuk menghadirkan bahaya buat Leicester City. Peluang-peluang yang terhidang itu terutamanya menerusi Sadio Mane, Jota dan Roberto Firmino bagaimanapun dinafikan ketangkasan Schmeichel.
Firmino akhirnya menebus kehampaan tersebut setelah tandukannya pada minit ke-86 setelah menerima hantaran sepakan sudut dari Milner menghadiahkan gol ketiga buat Liverpool. Kedudukan 3-0 itu kekal hingga tamat permainan untuk melebarkan rekod tanpa kalah Liverpool di gelanggang sendiri kepada 64 perlawanan dalam saingan liga.
Ketika Liverpool berada di tangga kedua liga, Leicester City pula kini menghuni tangga keempat dengan 18 mata.
Kredit featured image: Peter Powell – Pool/Getty Images