Serie A 2020/21: AC Milan Kecewakan Napoli, Ibrahimovic Terus Meledak

AC Milan

Penyerang berpengalaman, Zlatan Ibrahimovic terus menjadi watak utama dalam merintis permulaan cemerlang buat AC Milan dalam saingan Serie A 2020/21 apabila dua jaringannya membantu pendahulu kempen liga itu mencatatkan kemenangan 3-1 ke atas SS Napoli, sebentar tadi.

Satu lagi jaringan skuad Rossoneri itu disumbangkan oleh pemain muda, Jens Petter Hauge pada masa kecederaan yang sekali gus merupakan jaringan sulungnya bersama kelab tersebut dalam kempen liga.

Bertandang ke San Paolo tidak memberikan sebarang masalah buat barisan pemain AC Milan untuk mempamerkan corak permainan baik terutamanya pada separuh masa pertama apabila berjaya mendapatkan dua percubaan tepat ke arah gol pada 15 minit awal.

AC Milan yang dibimbing sementara oleh Daniele Bonera selepas Stefano Pioli terpaksa dikuarantin susulan wabak COVID-19 berjaya membuka tirai jaringan pada minit ke-20 menerusi Ibrahimovic.

Berpunca daripada hantaran lintang menarik dilakukan Theo Hernandez dari sebelah kanan pintu gol Napoli, Ibrahimovic tidak berdepan masalah untuk melonjak tinggi dan kemudiannya melakukan tandukan bagi memisahkan kedua-dua pasukan.

Pasukan tuan rumah selepas itu memberikan tekanan hebat ke kubu AC Milan pada minit ke-27 tetapi dua percubaan berturut-turut daripada Dries Mertens dan Tiemoue Bakayoko digagalkan penjaga gol, Gianluigi Donnarumma. Berselang lapan minit kemudian, Matteo Politano pula kecewa apabila percubaannya dari luar kawasan penalti sedikit tersasar di sebelah kanan pintu gol.

Ibrahimovic melebarkan kedudukan pada minit ke-54 setelah serangan balas pantas dimulakan oleh Ismael Bennacer mencari Ante Rebic yang meluru pantas ke kawasan penalti Napoli.

Rebic kemudiannya mengumpan bola dengan begitu baik di hadapan pintu gol untuk memberikan peluang buat penyerang berusia 39 tahun itu menolak masuk bola dengan mudah untuk jaringan kedua. Ia merupakan koleksi jaringan ke-10 buat Ibrahimovic selepas mengharungi lapan perlawanan liga.

Beliau kemudiannya hampir meledakkan hatrik pada minit ke-60 tetapi pemain tinggi lampai kelahiran Sweden itu terlebih dahulu dikesan berada dalam kedudukan ofsaid.

Tiga minit kemudian, Dries Mertens berjaya mengurangkan defisit jaringan apabila rembatannya dari jarak dekat membolosi gawang AC Milan setelah beliau menerima ‘cutback’ daripada Mario Rui.

Jaringan itu jelas menyemarakkan lagi semangat Napoli untuk terus bangkit. Usaha itu bagaimanapun sedikit direncatkan dengan layangan kad merah buat Bakayoko susulan kad kuning kedua yang diterimanya pada minit ke-65.

Ketika beberapa percubaan Napoli selepas itu dinafikan Donnarumma dan kelemahan penyudah barisan hadapan, Hauge mematikan api perjuangan skuad bimbingan Gennaro Gattuso itu susulan jaringan ketiga yang dihasilkannya pada minit ke-95.

Kemenangan itu menyaksikan AC Milan masih mengekalkan rekod tanpa kalah suntuk menduduki tangga teratas dengan 20 mata hasil enam kemenangan dan dua keputusan seri. Sassuolo yang turut masih belum tewas berada di tempat kedua dengan 18 mata manakala AS Roma di kedudukan ketiga.

Kredit featured image: Francesco Pecoraro/Getty Images

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN