Manchester United mempamerkan kejaguhan pada aksi ‘Roses Derby’ selepas berjaya membelasah Leeds United 6-1 dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) 2020/21 yang berlangsung di Old Trafford, sebentar tadi.
Dengan kemenangan berharga dicatatkan itu, United yang kekurangan satu perlawanan berjaya melonjak ke tangga ketiga selepas mengumpul 26 mata, kekurangan lima mata dibelakang pendahulu liga setakat ini, Liverpool.
Beraksi di laman sendiri, skuad bimbingan Ole Gunnar Solskjaer itu tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan apabila Scott McTominay meledakkan rembatan dari luar kawasan penalti seawal minit kedua bagi menewaskan penjaga gol, Illian Meslier.
McTominay terus mencuri tumpuan berselang seminit kemudian apabila beliau yang menerima umpanan kemas dari Anthony Martial, dengan tenang menolak masuk bola memberikan gol kedua buat The Red Devils.
Leeds United berpeluang merapatkan jurang gol pada minit kelapan tetapi percubaan Patrick Bamford yang hanya berhadapan David De Gea sedikit tersasar. Manakala, jaringannya ketika permainan memasuki minit ke-19 pula dibatalkan pembantu pengadil selepas beliau terlebih dahulu berada dalam keadaan ofsaid.
Seminit kemudian, Bruno Fernandes melebarkan kedudukan menjadi 3-0 setelah rembatannya dalam kawasan penalti hasil serangan balas pantas tidak mampu dihalang Meslier.
Tidak cukup dengan tiga jaringan itu, Manchester United semakin bernafsu menambah satu lagi jaringan dan kali ini giliran Victor Lindelof meletakkan nama selaku penjaring pada minit ke-37. Jaringan itu berpunca daripada sepakan penjuru Luke Shaw ditanduk Martial yang memberikan peluang buat Lindelof untuk menyempurnakan peluang terhidang.
Ketika aksi separuh masa pertama hanya berbaki tiga minit untuk ditamatkan, ketua pasukan, Liam Cooper sedikit menceriakan kem Leeds United dengan menanduk masuk bola hasil hantaran sepakan sudut yang diambil Raphinha.
Leeds United tampil dengan lebih garang pada awal aksi babak kedua dengan menjelmakan dua peluang terbaik menerusi Raphinha tetapi dua percubaan menarik pemain kelahiran Brazil itu pada minit ke-50 dan 65 dinafikan dengan cemerlang De Gea bagi menyelamatkan gawangnya.
Dua lagi jaringan Manchester United terhasil menerusi Daniel James pada minit ke-66 dan sepakan penalti yang disempurnakan Fernandes berselang empat minit kemudian sebelum Stuart Dallas menghadirkan gol kedua buat Leeds United pada minit ke-73.
Jika Manchester United menaiki tangga ketiga, Leeds United pula kini menghuni tangga ke-14 dengan 17 mata yang diraih hasil lima kemenangan, dua keputusan seri dan tujuh kekalahan.
Kredit featured image: Michael Regan/Getty Images