EPL 2020/21: Leicester City Tambah Luka Tottenham Hotspur

Leicester City

Leicester City menambah luka Tottenham Hotspur apabila mencatatkan kemenangan 2-0 pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) 2020/21 yang berlangsung di Tottenham Hotspur Stadium, sebentar tadi.

Ia merupakan kekalahan kedua berturut-turut buat skuad kendalian Jose Mourinho itu dalam saingan liga selepas sebelum ini mereka tunduk kepada Liverpool yang sekali gus kehilangan cengkaman selaku pendahulu.

Dengan kekalahan tersebut, Tottenham tergelincir ke tangga keempat manakala Leicester City melonjak ke kedudukan kedua apabila mengumpul 27 mata, hanya kekurangan empat mata di belakang pasukan tangga teratas, Liverpool.

Tottenham bagaimanapun mendapat dua peluang terbaik pada lewat permainan setelah sepakan percuma diledakkannya berjaya ditepis keluar penjaga gol, Kasper Schmeichel manakala tandukannya selepas menerima umpanan cantik menerusi sepakan penjuru Son Heung-min sekadar melewati palang gol.

Ketika aksi separuh masa pertama memasuki masa kecederaan, pasukan pelawat dihadiahkan sepakan penalti susulan kekasaran dilakukan Serge Aurier terhadap Wesley Fofana dalam kawasan penalti.

Sepakan penalti itu diberikan selepas pengadil perlawanan, Craig Pawson merujuk Video Assistant Referee dan Jamie Vardy tidak mensia-siakan peluang untuk membuka tirai jaringan bagi memisahkan kedudukan kedua-dua pasukan.

Leicester City terlepas peluang untuk melebarkan kedudukan pada minit ke-48 apabila VAR mengesahkan jaringan James Maddison ketika beliau menerima hantaran jauh daripada James Justin terpaksa dibatalkan susulan beliau dikesan berada dalam kedudukan ofsaid.

Kekecewaan anak buah Brendan Rodgers itu ditebus pada minit ke-59 setelah tandukan Vardy dalam kawasan penalti membias terkena Toby Alderweireld lalu bola menerjah ke gawangnya sendiri tanpa mampu dihalang penjaga gol, Hugo Lloris.

Sedar tugas berat dihadapi susulan ketinggalan dua gol, para pemain Tottenham memperkemaskan aksi untuk merapatkan defisit jaringan tetapi rembatan kaki kiri Kane dari luar kawasan penalti berjaya ditangkap kemas Schmeichel pada minit ke-61.

Penjaga gol kelahiran Denmark itu juga cemerlang berselang 10 minit kemudian apabila beliau menepis percubaan jarak dekat daripada Son untuk sekali lagi menggagalkan usaha pasukan tuan rumah.

Keputusan 2-0 itu kekal hingga tamat permainan untuk menghadiahkan kemenangan kesembilan buat The Foxes selepas mengharungi 14 perlawanan.

Kredit featured image: Julian Finney/Getty Images

 

 

Leave a Reply