Tottenham Hotspur mencatatkan kemenangan bergaya bagi membolehkan kelab tersebut menduduki tangga teratas Liga Perdana Inggeris (EPL) 2020/21 selepas berjaya menundukkan Manchester City 2-0 pada aksi yang berlangsung sebentar tadi.
Kejayaan meraih tiga mata di Stadium Tottenham Hotspur itu juga menyaksikan skuad bimbingan Jose Mourinho tersebut telah melakarkan kemenangan keenam pada musim ini.
Lebih menarik untuk diperkatakan, pasukan tuan rumah hanya memiliki 34 peratus penguasaan bola pada keseluruhan perlawanan tetapi penyudah tenang dimiliki Son Heung-min dan Giovani Lo Celso pada setiap babak sudah cukup untuk menceritakan segalanya.
Ferran Torres bagaimanapun terlebih dahulu menguji gawang Tottenham apabila pemain berusia 20 tahun itu meledakkan rembatan padu dari luar kawasan penalti. Hugo Lloris yang diturunkan pada perlawanan ini dilihat tidak berdepan masalah untuk menangkap kemas percubaan tersebut.
Berselang tiga minit kemudian, Son menceriakan kem tuan rumah apabila percubaannya selepas menerima umpanan cantik daripada Tanguy Ndombele dari kawasan tengah padang berjaya melepasi celah kaki penjaga gol Manchester City, Ederson Moraes.
Harry Kane hampir menggandakan kedudukan pada minit ke-13 setelah berjaya menolak mudah bola hasil hantaran daripada Son, tetapi jaringan penyerang berbisa itu dibatalkan selepas beliau dikesan berada dalam kedudukan ofsaid.
The Cityzens yang mendominasi aksi sejak dari awal permainan mendapat dua peluang untuk kembali mengikat kedudukan menerusi pemain pertahanan, Ruben Dias dan Aymeric Laporte.
Bermula dengan tandukan Laporte hasil sepakan percuma Kevin De Bruyne pada minit ke-15 dan kemudiannya Laporte berjaya menjaringkan gol ketika perlawanan memasuki minit ke-27.
Jaringan itu bagaimanapun tidak disahkan selepas rujukan Video Assistant Referee (VAR) mendakwa bola terlebih dahulu terkena tangan Gabriel Jesus dalam kawasan penalti sebelum beliau melakukan hantaran kepada Laporte.
Anak buah Pep Guardiola tidak berputus asa untuk mendapatkan jaringan penyamaan dan ia hampir menjelmakan jaringan yang diharapkan pada minit ke-51 menerusi De Bruyne. Namun, percubaan leret susulan gerakan solo dilakukan De Bruyne sedikit tersasar di sebelah kiri pintu gol Tottenham.
Langkah Mourinho membawa masuk Lo Celso bagi menggantikan Ndombele nyata membuahkan hasil apabila tidak sampai seminit pemain kelahiran Argentina itu dimasukkan, beliau berjaya menyudahkan dengan baik hantaran Kane untuk menjadikan kedudukan 2-0.
Sama seperti gol pertama yang dihasilkan Son, gol daripada Lo Celso ini juga hadir menerusi serangan balas pantas yang kemudiannya melepasi celah kaki Ederson.
Kemenangan bermakna yang dikecapi Spurs itu telah meletakkan mereka pada ketika ini di tangga teratas saingan liga dengan mengumpul 20 mata, meninggalkan Manchester City dengan kelebihan lapan mata untuk menduduki tangga ke-10.
Kredit featured image: Clive Rose/Getty Images