EPL 2020/21: Jaringan Welbeck, March ‘Malukan’ Aston Villa

Aston Villa

Aston Villa terpaksa menelan kepahitan apabila tunduk 1-2 di tangan pasukan tangga bawahan, Brighton & Hove Albion pada aksi kelapan saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) 2020/21 yang berlangsung di Villa Park, sebentar tadi.

Skuad kendalian Dean Smith itu menerima nasib malang seawal minit kelima setelah perancang tengah yang dipinjamkan dari Chelsea, Ross Barkley terpaksa dikeluarkan susulan kecederaan hamstring dialaminya.

Turun dengan moral tinggi selepas menundukkan Arsenal pada aksi terdahulu masih belum cukup untuk Aston Villa yang kelihatan sedikit bergelut untuk mempamerkan aksi menarik mereka seperti aksi di Stadium Emirates, tempoh hari.

Ia dibuktikan apabila Danny Welbeck berjaya membuka tirai jaringan pada minit ke-12 selepas beliau menerima hantaran kemas daripada pemain tengah, Adam Lallana. Welbeck yang meluru pantas ke pantas dalam kawasan penalti, dengan mudah melakukan percubaan lambung sekali gus menewaskan Emiliano Martinez di gawang Aston Villa.

Tersentak dengan jaringan tersebut, para pemain Aston Villa tampil dengan lebih bertenaga sehingga berjaya menjelmakan dua peluang terbaik menerusi Trezeguet dan Bertrand Traore.

Percubaan Tregezuet pada minit-19 dalam situasi kelam-kabut di depan pintu gol Brighton bagaimanapun gagal disudahkan dengan baik pemain kelahiran Mesir itu. Ledakan padu dari luar kawasan penalti oleh Traore pula digagalkan penjaga gol, Matthew Ryan pada minit ke-23.

Seminit kemudian, Welbeck hampir menjadikan kedudukan 2-0 apabila beliau menerima lorongan cantik daripada Neal Maupay. Tetapi Martinez yang melihat tiada rakan sepasukannya yang merantai pergerakan Welbeck bertindak cemerlang untuk keluar dari posisinya bagi menyelamatkan keadaan.

Jaringan penyamaan dinantikan kem Aston Villa hadir pada minit ke-47 selepas hantaran lintang daripada sepakan percuma dilakukan Traore terus ke kaki Ezri Konsa yang kemudiannya menolak masuk bola bagi menewaskan Ryan.

Kegembiraan Villa itu bagaimanapun hanya mampu bertahan selama sembilan minit selepas pemain pertahanan, Solly March melepaskan rembatan dalam kawasan penalti susulan menerima hantaran daripada Pascal Gross yang gagal dihalang Martinez untuk sekali lagi meletakkan Brighton di hadapan.

Aksi selepas itu lebih mendebarkan terutamanya pada lewat permainan apabila pemain Brighton, Tariq Lamptey dilayangkan kad merah selepas menerima kad kuning kedua berikutan kekasarannya terhadap ketua pasukan, Jack Grealish.

Selepas itu, sepakan penalti yang mulanya diberikan kepada Aston Villa pada masa kecederaan terpaksa ‘ditarik balik’ apabila rujukan Video Referee Assistant dilakukan pengadil perlawanan, Micheal Oliver untuk kedudukan 2-1 itu kekal hingga tamat permainan.

Dengan kekalahan tersebut, Aston Villa berada di tangga keenam selepas mengumpul 15 mata hasil lima kemenangan dan tiga kekalahan manakala Brighton pula menghuni tempat ke-16 dengan dua kemenangan, tiga keputusan seri dan empat kekalahan.

Kredit featured image: Tim Keeton – Pool/Getty Images

 

 

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN