Chelsea melonjak ke tangga teratas saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) 2020/21 selepas berjaya menundukkan Leeds United 3-1 pada perlawanan ke-11 yang berlangsung di Stamford Bridge, sebentar tadi.
Kemenangan itu menyaksikan Chelsea tidak tewas pada 16 perlawanan dalam semua pertandingan disertai dan kesembilan bagi kempen liga sekali gus melonjak ke tangga teratas dengan 22 mata. Kedudukan tersebut bakal kembali berubah sekiranya Tottenham Hotspur dan Liverpool mencatatkan kemenangan pada pagi Isnin nanti.
Beraksi di hadapan 2,000 penyokong yang sudah dibenarkan hadir ke stadium menyaksikan Chelsea bermula dengan cukup garang apabila mendapat dua peluang keemasan sebaik sahaja wisel permulaan ditiup pengadil perlawanan, Kevin Friend.
Bermula daripada hantaran jauh dilakukan Thiago Silva yang terus mencari Hakim Ziyech, pemain sayap lincah itu melepaskan rembatan dari sudut sukar seawal minit pertama tetapi penjaga gol pelawat, Illan Meslier menafikan percubaan tersebut.
Seminit kemudian, tandukan Olivier Giroud hasil sepakan sudut Mason Mount pula sedikit tersasar di sebelah kanan pintu gol Leeds United.
Tuan rumah bagaimanapun tersentak pada minit keempat apabila bekas pemain mereka, Patrick Bamford yang menerima lorongan cantik daripada Kalvin Phillips berjaya melepasi kawalan Kurt Zouma dan kemudiannya menewaskan penjaga gol, Edouard Mendy untuk membuka tirai jaringan.
Memperkemaskan kembali aksi dalam usaha untuk kembali mengikat kedudukan, Chelsea terlepas peluang tersebut pada minit kesembilan apabila tandukan Giroud yang semakin hampir untuk menerjah gawang Leeds United dikuis Timo Werner ketika pintu gol sudah pun terbuka luas.
Kuisan daripada pemain skuad kebangsaan Jerman tersebut dalam keadaan kelam-kabut bagaimanapun sekadar singgah di palang gol bagi mengagalkan usaha skuad bimbingan Frank Lampard itu.
Giroud terus hampa setelah cubaannya ketika beliau sudah pun berjaya merampas bola dari kaki pertahanan di hadapan pintu gol susulan kesilapan hantaran daripada Meslier pada minit ke-22 tersasar ke sebelah kiri pintu gol Leeds.
Penyerang kelahiran Perancis itu berjaya menebus kesilapan tersebut berselang lima minit kemudian apabila beliau menyambar hantaran lintang yang menarik diberikan Reece James bagi menyamakan kedudukan. Jaringan yang menjadi gol kelima buat Giroud dalam dua perlawanan.
Memasuki babak kedua, Leeds United lebih mendominasi permainan dengan penguasaan bola sebanyak 62 peratus tetapi keadaan itu tidak banyak membantu berikutan kekentalan jentera pertahanan yang diketuai Silva dan Zouma.
Chelsea sebaliknya lebih banyak mencipta serangan tepat dengan dua daripadanya berjaya menghasilkan jaringan menerusi Zouma dan pemain gantian, Christian Pulisic.
Zouma menanduk masuk bola hasil sepakan sudut daripada Mount pada minit ke-61 manakala serangan balas pantas dimulakan Kovacic ketika permainan memasuki masa kecederaan membolehkan Werner menggunakan kepantasan lariannya untuk melakukan hantaran kepada Pulisic yang tenang menolak masuk bola bagi melengkapkan kemenangan 3-1 buat Chelsea.
Kredit featured image: Mike Hewitt/Getty Images