EPL 2020/21: Aksi Kemas Babak Kedua Bantu Manchester United Tundukkan West Ham

Manchester United

Manchester United sekali lagi mempamerkan kebangkitan dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) 2020/21 apabila tiga jaringan pada babak kedua membantu The Red Devils mencatatkan kemenangan 3-1 ke atas West Ham United, sebentar tadi.

Situasi hampir serupa seperti perlawanan bertemu Southampton pada minggu lalu apabila skuad kendalian Ole Gunnar Solskjaer itu ketinggalan pada separuh masa pertama dan aksi di Stadium Olimpik, London itu memperlihatkan tuan rumah lebih menekan Manchester United.

Ia jelas terbukti selepas Jarred Bowen berjaya menjaringkan gol pada minit kesembilan tetapi pemain berusia 23 tahun itu terlebih dahulu berada dalam keadaan ofsaid. Memasuki minit ke-32, Pablo Fornals pula terlepas peluang terbaik hasil tandukan selepas menerima hantaran kemas dilakukan Bowen gagal disudahkan dengan baik pemain tengah tersebut.

Berselang tiga minit kemudian, Fornals sekali lagi kecewa setelah bola tolakan leretnya menggunakan hujung kaki sekadar singgah di tiang gol.

Kehampaan itu ditebus pada minit ke-38 apabila Tomas Soucek yang tidak dikawal ketika situasi sepakan penjuru berjaya menolak masuk bola hasil tandukan daripada ketua pasukan, Declan Rice bagi meletakkan The Hammers di hadapan.

Melihat aksi hambar ditampilkan anak buahnya, Solskjaer melakukan dua pertukaran dengan membawa masuk Bruno Fernandes dan Marcus Rashford sebelum sepak mula aksi separuh masa kedua bagi menggantikan Donny van de Beek dan Edinson Cavani.

Ia juga menjadi titik tolak kepada aksi yang lebih kemas dipamerkan skuad juara 13 kali EPL itu dengan menjelmakan beberapa serangan berbahaya ke kubu skuad kendalian David Moyes itu.

Kemasukan itu jelas membuahkan hasil buat Manchester United selepas hantaran lintang daripada Fernandes disudahkan dengan baik oleh Paul Pogba menerusi satu sepakan ‘placing’ yang cukup padu dari luar kawasan penalti sekali gus menewaskan penjaga gol, Lukasz Fabianski pada minit ke-65.

Jaringan itu jelas menyemarakkan lagi semangat para pemain United untuk menambah jaringan dan gol kedua menjelma hanya berselang tiga minit kemudian setelah Mason Greenwood meledakkan rembatan dari jarak dekat setelah menerima umpanan daripada Alex Telles.

Lorongan cantik daripada Fernandes yang mencari Rashford gagal disudahkan dengan baik penyerang skuad kebangsaan England itu apabila percubaannya singgah di tiang gol ketika Fabianski sudah pun tertewas.

Tetapi, peluang kedua yang diperolehi tidak disia-siakan apabila percubaan lambung pada minit ke-78 setelah menerima hantaran cantik daripada Juan Mata mengukuhkan lagi kedudukan. Gol itu juga merupakan jaringan peribadi ketiga buat Rashford dalam saingan liga.

Ketinggalan dengan dua gol, West Ham cuba untuk merapatkan defisit jaringan tetapi percubaan menarik hasil sepakan percuma diledakkan Aaron Creswell berjaya ditepis keluar penjaga gol, Dean Henderson.

Keputusan 3-1 itu kekal hingga tamat permainan untuk melonjakkan Manchester United ke tangga keempat selepas mengumpul 19 mata hasil enam kemenangan, satu keputusan seri dan tiga kekalahan manakala West Ham pula di tempat ketujuh dengan 17 mata.

Kredit featured image: Justin Setterfield/Getty Images

 

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN