Tottenham Hotspur kembali memanjat puncak Liga Perdana Inggeris (EPL) 2020/21 selepas berjaya menundukkan seteru utama, Arsenal 2-0 pada Derbi London Utara yang berlangsung di Tottenham Hotspur Stadium, sebentar tadi.
Seperti kebiasaan, penguasaan permainan bukanlah keutamaan buat skuad bimbingan Jose Mourinho itu yang menyaksikan Spurs hanya beruapaya memiliki 30 peratus penguasaan bola.
Selain itu, kombinasi dua peledak berbisa, Harry Kane dan Son Heung-min terus menjadi watak utama dalam menghadirkan momentum cemerlang Tottenham bagi saingan liga, di samping disiplin tinggi barisan pertahanan yang diketuai Toby Alderweireld dan Eric Dier.
Kane dan Son masing-masing menjaringkan satu gol dan mencipta satu bantuan jaringan pada separuh masa pertama yang sekali gus menghadiahkan kemenangan ketujuh buat Tottenham selepas mengharungi 11 perlawanan setakat ini.
Tuan rumah tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan apabila percubaan menarik dari luar kawasan penalti diledakkan Son setelah menerima hantaran daripada Kane berjaya menewaskan penjaga gol Arsenal, Bernd Leno pada minit ke-13.
Ia merupakan jaringan ke-10 buat Son dan beliau hanya memerlukan lima gol sahaja lagi untuk merekodkan jumlah jaringan terbanyak buatnya sejak menyertai Tottenham bermula musim 2015/16.
Memasuki minit ke-27, Leno sekali lagi duji apabila Pierre-Emile Kordt Højbjerg meledakkan rembatan dari jarak jauh tetapi penjaga gol berusia 28 tahun itu lebih bersedia untuk menafikan percubaan tersebut.
Ketika pemain kedua-dua pasukan sudah berkira-kira untuk melangkah masuk ke bilik persalinan untuk rehat separuh masa pertama, Kane sekali lagi menggembirakan kem Tottenham pada masa kecederaan.
Bermula daripada satu serangan balas pantas dimulakan Giovani Lo Celso, persefahaman tinggi Son dan Kane jelas terserlah apabila pemain skuad kebangsaan Korea Selatan itu melorongkan bola kepada Kane yang kemudiannya meledakkan rembatan padu menggunakan kaki kirinya yang tidak mampu dihalang Leno.
Ketinggalan dua jaringan, Arsenal berusaha keras untuk bangkit pada separuh masa kedua dan memperoleh peluang terbaik pada minit ke-68. Namun, tandukan Alexandre Lacazette setelah menerima umpanan Hector Bellerin berjaya ditepis keluar penjaga gol Tottenham Hotspur, Hugo Lloris.
Dengan kekalahan keenam yang dialami, Arsenal pada ketika ini menghuni tangga ke-15 dengan 13 mata. Keadaan yang sebenarnya begitu membimbangkan buat The Gunners.
Kredit featured image: Glyn Kirk – Pool/Getty Images