Arsenal terus dirundung nasib malang dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) 2020/21 selepas tunduk 0-1 di tangan Burnley pada aksi yang berlangsung di Emirates Stadium, sebentar tadi.
Begitu banyak kisah sedih yang dirasai peminat Arsenal pasca perlawanan ini apabila jaringan tunggal Burnley dihadiahkan oleh ketua pasukan, Pierre-Emerick Aubameyang. Selain itu, ini juga merupakan kekalahan ketiga berturut-turut buat Arsenal dalam saingan liga.
Lebih perit untuk diperkatakan, Arsenal telah mengalami empat kekalahan berturut-turut dalam kempen liga di gelanggang sendiri setelah sebelum ini mereka tunduk kepada Leicester City, Aston Villa dan Wolverhampton Wanderers. Pencapaian buruk yang dikecapi buat pertama kali selepas mereka melaluinya pada Disember 1959.
Arsenal juga terpaksa beraksi dengan 10 pemain hampir setengah jam apabila pemain tengah, Granit Xhaka dilayangkan kad merah berikutan pergeserannya bersama Dwight McNeil.
Turun dengan misi untuk kembali mencatatkan kemenangan, Arsenal dilihat mempamerkan corak permainan baik dengan menjelmakan lebih banyak serangan ke kubu Burnley dan turut menguasai sebahagian besar permainan.
Tetapi segala usaha dicurahkan barisan pemain The Gunners digagalkan kekentalan jentera pertahanan dan kecemerlangan penjaga gol Burnley, Nick Pope yang tangkas menghalang gawangnya dari dibolosi.
Pope berjaya menafikan percubaan dilakukan Alexandre Lacazette dalam kawasan penalti setelah pemain skuad kebangsaan Perancis itu menerima hantaran lintang daripada Kieran Tierney pada minit ke-28.
Penjaga gol berusia 28 tahun itu terus menjadi penghalang kepada usaha Arsenal untuk memburu jaringan setelah beliau menafikan tiga percubaan dalam tempoh tiga minit dilakukan oleh Tierney, Aubameyang dan Bukayo Saka bermula minit ke-50.
Ketika Arsenal giat mengatur gerakan, kem Burnley melonjak kegembiraan pada minit ke-73 apabila cubaan Aubameyang untuk membantu jentera pertahanan ketika sepakan penjuru yang diambil Ashley Westwood nyata memakan diri.
Hal ini kerana beliau tertanduk bola ke gawangnya sendiri sekali gus memisahkan kedua-dua pasukan dan membuatkan Arsenal berada dalam keadaan tekanan susulan jaringan tersebut.
Usaha yang cuba dilakukan Arsenal untuk mengikat kembali kedudukan tidak mampu membuahkan hasil bagi menghadiahkan kemenangan kedua buat Burnley manakala kelab dari London Utara itu terus kecewa dengan kekalahan ketujuh musim ini.
Dengan kekalahan tersebut, Arsenal mengumpul 13 mata untuk menduduki tangga ke-15, hanya berkelebihan lima mata di hadapan pasukan zon penyingkiran, Fulham [kedudukan ke-18]. Sementara itu, Burnley di tangga ke-17 selepas mencatatkan sembilan mata.
Kredit featured image: Nick Potts – Pool/Getty Images