EPL 2020/21: Liverpool Tolak Tuah, Sekadar Terikat Dengan Fulham

Liverpool Fulham

Liverpool terlepas peluang keemasan untuk memintas kedudukan Tottenham Hotspur di persada Liga Perdana Inggeris (EPL) 2020/21 selepas sekadar terikat 1-1 ketika bertemu Fulham di Craven Cottage, sebentar tadi.

Ketika ramai pemerhati dan penyokong melihat skuad bimbingan Jurgen Klopp itu tidak berdepan masalah untuk mencatatkan kemenangan, Fulham nyata tampil cukup berbeza pada perlawanan ini bagi melakar kejutan.

Ia jelas terbukti apabila tuan rumah menjelmakan peluang terbaik untuk membuka jaringan seawal minit keempat menerusi penyerang kelahiran Portugal, Ivan Cavaleiro setelah beliau menerima umpanan cantik daripada Ruben Loftus-Cheek.

Cavaleiro yang melakukan larian deras ke dalam kawasan penalti, meledakkan rembatan tepat ke arah pintu gol tetapi Alisson Becker bertindak cemerlang menafikan percubaan tersebut.

Alisson yang kembali beraksi selepas mengalami kecederaan hamstring terus menjadi watak utama dalam mengelakkan Liverpool daripada mengalami kekalahan pada perlawanan ini setelah beliau dua kali menyelamatkan serangan berbahaya Fulham.

Penjaga gol kelahiran Brazil itu menafikan percubaan jarak dekat dilakukan Cavaleiro pada minit ke-14 dan berselang 11 minit kemudian, Alisson turut menggagalkan rembatan jarak jauh diledakkan Ademola Lookman.

‘Kubu kebal’ yang dibina Alisson akhirnya runtuh jua pada minit ke-25 apabila beliau tidak mampu untuk menafikan percubaan padu Bobby Decordova-Reid dalam kawasan penalti bagi meletakkan skuad bimbingan Scott Parker itu di hadapan.

Tersentak dengan jaringan tersebut, Liverpool cuba untuk kembali menyamakan kedudukan tetapi percubaan daripada Sadio Mane dan Mohamed Salah ketika aksi separuh masa pertama hanya berbaki lima minit untuk ditamatkan tidak berjaya disempurnakan dengan baik duo tersebut.

Cavaleiro terlepas peluang untuk menambah jaringan pada minit ke-46 apabila kesilapan Andy Robertson yang tidak mengeluarkan bola dari kawasan bahaya gagal disudahkannya dengan baik bagi membolehkan Alisson menyelamatkan keadaan.

Selepas itu, para pemain The Reds menggandakan asakan dengan dua percubaan dari luar kawasan penalti diledakkan oleh Salah dan Curtis Davies tetapi kedua-dua percubaan itu mudah dinafikan penjaga gol Fulham, Alphonse Areola.

Ketua pasukan, Jordan Henderson juga mensia-siakan peluang terhidang apabila percubaannya ketika menerima umpanan menarik dilakukan Roberto Firmino ditepis keluar Areola pada minit ke-61.

Jaringan yang dinantikan juara bertahan itu hadir pada minit ke-79 selepas Salah berjaya menyempurnakan sepakan penalti. Sepakan tersebut dihadiahkan susulan sepakan percuma Georginio Wijnaldum yang terkena tangan Aboubakar Kamara.

Kedudukan 1-1 itu kekal hingga tamat permainan untuk Liverpool terus kekal di tangga kedua dengan 25 mata, hanya kekurangan perbezaan jaringan berbanding pendahulu, Tottenham Hotspur manakala Fulham di kedudukan ke-17 selepas mengumpul lapan mata.

Kredit featured image: Matt Dunham – Pool/Getty Images

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN