Liverpool hanya memerlukan dua mata sahaja lagi untuk menjulang trofi Liga Perdana Inggeris (EPL) 2019/20 selepas mencatatkan kemenangan selesa 4-0 ke atas Crystal Palace pada aksi yang berlangsung di Anfield, sebentar tadi.
Liverpool yang tidak berdepan masalah untuk menguasai keseluruhan permainan kembali diperkuatkan dengan kehadiran tonggak utama kelahiran Mesir, Mohamed Salah selepas beliau langsung tidak beraksi ketika bertemu Everton tempoh hari.
Roberto Firmino terlebih dahulu menguji gawang Crystal Palace yang dikawal Wayne Hennessey apabila percubaannya dalam kawasan penalti pada minit ke-16 ditangkap kemas penjaga gol berusia 33 tahun itu.
Memasuki minit ke-23, Hennessey tidak mampu lagi untuk menghalang pintu golnya dari dibolosi setelah sepakan percuma yang diambil Trent Alexander-Arnold melencong dengan begitu cantik bagi menerjah gawang skuad pelawat.
Pemain tengah, Georginio Wijnaldum terlepas peluang untuk turut meletakkan nama selaku penjaring setelah percubaan keemasan dimilikinya ketika beliau tidak dikawal pertahanan lawan, sedikit tersasar di sebelah kanan pintu gol Crystal Palace pada minit ke-37.
GET IN, REDS! ??
— Liverpool FC (at ?) (@LFC) June 24, 2020
Salah yang menerima hantaran jauh menarik dari Fabinho, dengan tenang melepasi kawalan Patrick Van Aanholt dan mudah menjaringkan gol kedua ketika masa sebenar babak pertama hanya berbaki seminit sahaja.
Fabinho terus memainkan peranan yang cukup penting pada perlawanan ini apabila rembatan padu dari luar kawasan penalti diledakkannya gagal dihalang Hennessey untuk menjadikan kedudukan 3-0 pada minit ke-55.
Kelebihan tiga gol yang dimiliki nyata masih belum cukup buat skuad bimbingan Jurgen Klopp itu apabila Sadio Mane melengkapkan kemenangan 4-0 selepas beliau menyempurnakan peluang setelah menerima lorongan ‘secukup rasa’ dari Salah di minit ke-69.
Sedar kemenangan sudah dalam genggaman, Klopp memberikan peluang buat pemain muda seperti Harvey Elliot dan Neco Williams untuk memperagakan kualiti mereka.
Keputusan tersebut kekal hingga tamat permainan untuk menghadiahkan mata ke-86 buat Liverpool dan sekiranya Manchester City gagal untuk menewaskan Chelsea esok, The Reds bakal dinobatkan selaku juara bagi menamatkan penantian selama 30 tahun.