Manchester United terlepas peluang untuk lebih selesa meninggalkan dua pesaing terdekat, Chelsea dan Leicester City apabila sekadar terikat 1-1 ketika bertemu West Ham United pada aksi ke-37 saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) 2019/20, sebentar tadi.
Keputusan di Old Trafford tersebut bagaimanapun masih mampu untuk melonjakkan skuad bimbingan Ole Gunnar Solskjaer itu ke tangga ketiga selepas mengumpul 63 mata [berkongsi mata dengan Chelsea yang sedang ketinggalan 1-3 ketika artikel ini ditulis].
Kem West Ham United juga melangkah keluar dari stadium dengan kepuasan yang tak terhingga kerana satu mata yang diraih telah mengesahkan tempat mereka untuk terus berada dalam saingan EPL pada musim hadapan.
Kedua-dua pasukan tampil pada perlawanan ini dengan misi berbeza jelas berusaha keras bagi memburu jaringan dengan beberapa gerakan menarik dilancarkan tetapi usaha yang diberikan masih belum mampu menjelmakan gol pendahuluan.
Ketika perlawanan memasuki masa kecederaan di babak pertama, pasukan pelawat dihadiahkan sepakan penalti selepas percubaan sepakan percuma daripada Declan Rice terkena tangan Paul Pogba.
#MUFC are held at Old Trafford.#MUNWHU @Chevrolet
— Manchester United (@ManUtd) July 22, 2020
Michail Antonio yang ditugaskan mengambil sepakan tersebut tidak berdepan masalah untuk memperdayakan penjaga gol, David De Gea bagi menjadikan kedudukan 1-0.
Fakta menarik untuk diperkatakan, jaringan itu merupakan gol kelapan buat Antonio sebaik sahaja kempen EPL kembali disambung pada Jun lalu.
Manchester United pantas memberikan tindak balas apabila Mason Greenwood meledakkan rembatan padu dalam kawasan penalti susulan gerakan ‘one-two’nya bersama Anthony Martial untuk kembali menyamakan kedudukan pada minit ke-61.
Selepas itu, meskipun kedua-dua pasukan berusaha keras untuk menambah jaringan, ketumpulan penyudah jentera serangan serta kekentalan barisan pertahanan masing-masing menyaksikan kedudukan 1-1 kekal hingga tamat permainan.
Perlawanan terakhir berdepan Leicester City di gelanggang lawan bakal menjadi misi hidup mati sama ada United mampu untuk meraih slot ke Liga Juara-Juara Eropah musim hadapan.
Kredit featured: Manchester United