VAR sekali lagi mencuri tumpuan dalam perlawanan diantara Arsenal dan Crystal Palace, menyaksikan kedua-dua pasukan terikat 2-2 dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) pada awal pagi tadi.
Segala-galanya bermula dengan sempurna buat skuad kedalian Unai Emery, walaupun atmosfera sebelum perlawanan bermula penuh dengan rasa tidak yakin terhadap pengendali dari Sepanyol itu.
Dua sepakan penjuru, dua gol, dijaringkan oleh dua pemain pertahanan di dalam tempoh dua minit.
Itulah kisah permulaan baik buat Arsenal dalam perlawanan ini yang pasti melegakan ramai penyokong mereka.
Kemudian ia diikuti oleh dua keputusan VAR yang meragut kegembiraan itu.
The points are shared in north London.#ARSCRY
— Arsenal (@Arsenal) October 27, 2019
Arsenal mendahului seawal minit ke-7 perlawanan melalui rembatan Sokratis Papastathopoulos, yang berpunca dari sepakan penjuru untuk gol pendahulan.
The Gunners tidak menunggu lama apabila satu lagi sepakan penjuru dua minit kemudian turut membuahkan hasil. Kali ini, David Luiz tidak mensia-siakan peluang yang terhidang dengan mudah menolak masuk ke dalam gawang yang kosong.
Mendahului 2-0 pada 10 minit pertama perlawanan, segalanya tampak sempurna buat Arsenal sehinggalah Wilfried Zaha dilayankan kad kuning kerana didakwa sengaja menjatuhkan badan selepas dicabar oleh Calum Chambers.
Disinilah bermulanya episod kekecewaan buat Emery dan anak buahnya apabila VAR memberikan penalti, bermakna Chambers dan bukan Zaha yang harus dipersalahkan.
Luka Milivojevic tenang menewaskan Bernd Leno untuk Palace merapatkan kedudukan pada minit ke-30 perlawanan.
Babak kedua perlawanan Palace akhirnya menemui gol penyamaan yang mereka cari-cari selepas Jordan Ayew tenang menanduk masuk hantaran lintang James McArthur.
Xhaka turut mencuri tumpuan apabila memberikan respon terhadap cemuhan penyokong ketika digantikan, dan Emery selepas perlawanan mengakui pemain tersebut tidak sewajarnya memberikan reaksi sedemikian.
Arsenal terus mengalami kekecewaan dalam perlawanan ini apabila ledakan Sokratis yang dilihat seperti gol kemenangan pada minit ke-85 perlawanan dibatalkan pengadil selepas campur tangan oleh VAR.