Newcastle United adalah juara EFL Championship bagi musim 2016/17. Selepas semusim hilang dari saingan EPL, skuad kendalian Rafael Benitez tampil di saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) untuk membuktikan mereka mempunyai kelas untuk bersaing di pentas tertinggi Liga Inggeris.
Pembentukan skuad
Sehingga kini penyokong Newcastle United agak kecewa dengan aktiviti di jendela perpindahan musim panas pada kali ini.
Beberapa nama telah dibawa masuk, namun Benitez masih mengharapkan pemilik kelab, Mike Ashley sanggup berbelanja membawa masuk pemain berkelas dunia dan lebih berkemampuan beraksi di pentas tertinggi.
Masuk:
1. Jacob Murphy (Sayap kanan-Norwich City)
2. Florian Lejune (Pertahanan tengah- SD Eibar)
3. Christian Atsu (Penyerang- Chelsea)- perpindahan tetap.
4. Javier Manquillo (Bek kanan- Atletico Madrid)
5. Mikel Merino (Tengah pertahanan- Borussis Dortmund)
Keluar:
1. Florian Thauvin (Marseille)
2. Daryl Murphy (Nottingham Forest)
3. Vurnon Anita (Leeds)
4. Haris Vuckic (FC Twente)
5. Yoan Gouffran (Goztepe)
6. Sammy Ameobi (Bolton)
Beberapa nama besar yang sinonim dengan nama Newcastle United seperti Florian Thauvin, Vurnon Anita dan Yohan Gouffran meninggalkan pasukan pada penghujung musim.
Berdasarkan pemain yang dibawa masuk oleh Benitez, jelas Newcastle United beroperasi dengan bajet yang terhad untuk musim EPL 2017/18.
Squad depth
Jika musim lalu dijadikan perbandingan, amat sukar sekali untuk kita menyenaraikan kesebelasan utama Rafael Benitez di dalam setiap perlawanan.
Ini adalah kerana kecenderungan pengendali berbangsa Sepanyol ini untuk mengamalkan sistem penggiliran (rotation) di kalangan pemainnya.
Musim lalu, Ciaran Clark merupakan satu-satunya pemain yang tidak pernah tampil dari bangku pemain simpanan.
Nama-nama lain seperti bek kiri, Paul Dummet (44 penampilan, pertahanan tengah, Jamaal Lascelles (41 penampilan), pemain sayap, Matt Ritchie (40 penampilan) dan Jonjoy Shelvey (38 penampilan) adalah antara pemain yang sering mendapat kepercayaan Benitez.
Namun disebabkan oleh sistem penggiliran skuad oleh Benitez, masih sukar untuk pasukan lawan menyediakan taktikal lengkap pasukan masing-masing sebelum berhadapan dengan The Magpies.
Satu masalah utama Rafael Benitez pada musim lalu adalah terlampau bergantung kepada Dwight Gayle untuk menghasilkan jaringan.
Penyerang berusia 27 tahun itu menjaringkan 23 gol daripada 32 penampilan liga pada musim lalu.
Sebagai sebuah pasukan yang menggunakan penyerang tunggal, kemasukkan Christian Atsu secara tetap daripada Newcastle bukanlah penyelesaian mutlak bagi Benitez bagi saingan di EPL.
Newcastle United masih memerlukan seorang pemain No.9 yang prolifik di hadapan.
Analisis Taktikal
Pada musim 2016/17, Rafael Benitez berjaya membentuk pasukan Newcastle United yang mempunyai mentaliti pertahanan yang bagus, tanpa mengabaikan aspek serangan pasukan.
Newcastle United merupakan pasukan yang mempunyai bolos paling sedikit dan jaringan paling tinggi dalam EFL Championship pada musim lalu, dengan perbezaan gol +45.
Ini adalah satu statistik yang lebih berbaik berbanding Burnley pada musim sebelumnya dan Bornemouth jika kadar bolos diambil kira pada musim 2014/15.
Benitez gemar memperagakan formasi 4-4-1-1 atau pun 4-2-3-1 dan menerapkan elemen disiplin dalam taktikalnya.
4-2-3-1 membolehkan mereka bermain dengan 2 pivot untuk memberi lebih tumpuan kepada bahagian pertahanan.
Benitez dijangka akan menggunakan taktikal ini untuk mencuri mata dari pasukan yang lebih besar pada musim hadapan.
Ini menjadikan Newcastle United sebuah unit yang sukar dipecahkan ketika bertahan, dan penuh dengan keazaman ketika menyerang.
Satu aspek yang menunjukkan peningkatan ketara sejak Newcastle United di bawah bimbingan Benitez ialah keberhasilan pasukan itu dalam memburu gol melalui gerakan set-piece.
Musim lalu, skuad bimbingan Rafael Benitez menjaringkan 25 gol hasil gerakan set-piece. Ia merangkumi 29% daripada jumlah keseluruhan jaringan Newcastle pada musim lalu.
Ratio ini adalah jauh lebih baik jika dibandingkan di era Alan Pardew yang hanya mampu menghasilkan 8 gol sepanjang tempoh 4 tahun di St.Jame’s Park.
Kualiti skuad
Kita harus akui bahawa EPL adalah pentas saingan yang berbeza berbanding EFL Championship. Dengan sumber yang terhad, tidak hairanlah Benitez melaungkan kekecewaannya dengan aktiviti kelab tersebut di jendela perpindahan pada musim panas ini.
2 posisi yang harus diambilkira oleh Newcastle United untuk menambah keupayaan mereka untuk menghadapi saingan pada musim hadapan adalah di posisi penyerang dan juga posisi No.10.
Musim lepas, mereka terlampau bergantung dengan Dwigt Gayle. Sukar membayangkan Gayle mampu memberikan impak yang sama secara konsisten di pentas EPL.
Prestasi Aleksandar Mitrovic juga tidak menentu sebagai pemain N0.9. 4 gol dari 25 penampilan liga bukanlah prestasi yang boleh diharapkan di EPL.
Jika tiada pembelian baharu, maka Benitez terpaksa bergantung harap hanya kepada Gayle di posisi itu.
Pada musim lalu Benitez sering menggilirkan Ayoze Perez (gambar atas) dan Mohamed Diame di posisi No.10. Newcastle United perlukan lebih kreativiti di posisi tersebut dan tidak mengharapkan jaringan dari gerakan set-pieces semata-mata.
Apa yang kami jangkakan
Sebagai sebuah pasukan yang baharu sahaja dinaiikan ke EPL, sasaran utama Rafael Benitez dan barisan pemainnya sudah tentu adalah untuk mengelakkan penyingkiran di penghujung musim.
Jika mereka melakukan demikian, ia akan memberi ruang kepada mereka untuk menambahbaik kualiti skuad sedia ada pada musim berikutnya.
Sasaran realistik untuk Newcastle United pada musim hadapan?
Kekal di saingan Liga Perdana Inggeris!