Kebangkitan Skuad Muda England, Rhian Brewster & Program Pembangunan Bola Sepak Malaysia

Liverpool memiliki satu lagi bintang muda yang mencipta nama di peringkat umur pertandingan antarabangsa melalui Rhian Brewster. Sebelum ini Dominic Solanke cemerlang membantu England menjuarai Piala Dunia B-20 di Korea Selatan.

Kali ini giliran satu lagi bintang muda, Rhian Brewster memacu England ke kejuaraan Piala Dunia B-17 yang melabuhkan tirai di Kolkota, India tengah malam semalam.

Nama Rhian Brewster mulai menjadi sebutan selepas menjaringkan hatrik ketika England berhadapan dengan Amerika Syarikat di peringkat suku akhir. Brewster mengulangi sentuhan hatriknya ketika England menyingkirkan cabaran Brazil di separuh akhir.

(Photo by Buda Mendes – FIFA/FIFA via Getty Images)

Brewster turut tidak ketinggalan menjaringkan 1 gol, ketika England bangkit dari ketinggalan 2 gol untuk menumpaskan Sepanyol 5-2 dalam perlawanan akhir semalam.

Siapakah prospek muda England yang juga tampil sebagai pemenang anugerah kasut emas setelah berjaya menghasilkan 8 gol daripada keseluruhan 6 perlawanan sepanjang kejohanan?

Rekod jaringan yang menakjubkan

Bagi mereka yang mengikuti perkembangan karier Rhian Brewster, pencapaiannya di Piala Dunia B-17 adalah satu perkara yang sudah dijangkakan.

Setiap kali beraksi di atas padang, Brewster sentiasa terlibat dengan gerakan-gerakan yang menghasilkan gol.

(Photo by Nick Taylor/Liverpool FC/Liverpool FC via Getty Images)

Anak muda ini sentiasa cemerlang dan mempunyai rekod yang baik dari segi kekerapan jaringan dan penghasilan bantuan gol ketika beraksi di peringkat kelab dan negara sejak beberapa musim kebelakangan ini.

Walaupun berusia 17 tahun, Brewster sudah beraksi untuk Liverpool B-23 di bawah kendalian jurulatih Neil Critchley. Untuk rekod, Brewster telah menjaringkan 6 gol dan menghasilkan 5 bantuan gol dalam 14 penampilan bersama Critchley.

Ketika di bawah bimbingan Steven Gerrard bersama skuad B-18 Liverpool pada musim lalu, Brewster menjaringkan 5 gol dan menghasilkan 4 bantuan gol melalui 11 penampilan.

(Photo by Nick Taylor/Liverpool FC/Liverpool FC via Getty Images)

Prestasi Brewster bersama England juga amat mengujakan. Bersama skuad England B-16, Brewster menjaringkan 4 gol dari 4 perlawanan sebelum tampil menjaringkan 12 gol dari 16 perlawanan buat skuad B-17.

Pada tahun lalu, Brewster turut membantu England dengan 2 gol untuk membelasah Jerman 8-1 dalam satu kejohanan di Croatia.

Rhian Brewster: You’ll Never Walk Alone

Seperti Dominic Solanke, Brewster juga adalah bekas produk akademi Chelsea. Namun Brewster mengambil keputusan meninggalkan London untuk menyertai Liverpool pada 2015 dengan harapan mendapat lebih banyak peluang beraksi dalam kesebelasan utama di pertandingan peringkat umur.

(Photo by John Powell/Liverpool FC via Getty Images)

Anak muda ini pernah memberitahu bahawa ia adalah pilihan yang mudah untuk menyertai Liverpool kerana reputasi kelab Merseyside itu yang cenderung memberi peluang kepada pemain muda sepertinya untuk mencipta nama.

Liverpool Echo pernah melapor dan memetik kata-kata Brewster saat ketibaannya di Prenton Park:

“Saya berada di Chelsea sejak berusia 7 sehingga 14 tahun. Kemudian saya memberitahu mereka bahawa saya mahu menilai kembali pilihan saya, kerana mahukan tempat di dalam kesebelasan utama.”

(Photo by Nick Taylor/Liverpool FC/Liverpool FC via Getty Images)

“Ada beberapa kelab menunjukkan minat yang serius. Apabila saya mengetahui Liverpool adalah salah satu daripada kelab berkenaan, ia menjadi pilihan yang mudah.”

“Liverpool adalah sebuah kelab yang sering memberikan peluang kepada pemain muda, dan ia adalah satu perasaan yang mengujakan untuk beraksi bersama Liverpool.”

Prospek perhatian Jurgen Klopp

Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp jelas kagum dengan perkembangan karier  Brewster bersama skuad ‘The Mighty Reds’.

Musim lepas, pengendali dari Jerman itu memberi komen beliau terhadap kualiti dan penyudah klinikal yang dimiliki oleh penyerang muda itu di hadapan gol.

Klopp dipetik sebagai berkata kepada Liverpool Echo:

(Photo by Nick Taylor/Liverpool FC/Liverpool FC via Getty Images

“Rhian jelas menunjukkan peningkatan prestasi dan perkembangan dalam bakatnya sejak beberapa bulan yang lalu. Saya menyedari perkara ini kerana Talent Group (skuad muda Liverpool) berlatih di Melwood sekali dalam tempoh seminggu bersama Pep Linjnders.”

“Saya mengikuti perkembangan Rhian selama lebih daripada setahun, dan ia adalah satu perkara yang bagus untuk melihat bakat seperti Rhian terus menunjukkan kemajuan.”

“Secara keseluruhan, Rhian semakin baik dalam pembentukkan fizikalnya. Rhian adalah bakat yang mempunyai skil yang menakjubkan, seorang penyerang sebenar, mempunyai penyudah yang bagus, rajin, berdisiplin dan mempunyai etika kerja yang seorang pemain profesional perlukan.”

Liverpool & EPL

Sama ada anda menyedarinya atau tidak, Brewster adalah salah seorang pemain simpanan Liverpool di Anfield ketika berhadapan dengan Crystal Palace pada musim lalu, namun tidak diturunkan untuk beraksi.

Klopp menjelaskan Brewster dimasukkan ke dalam skuad Liverpool untuk perlawanan EPL itu secara merit, selepas cemerlang di dalam latihan dan ketika pasukan utama tidak mempunyai banyak pilihan pada ketika itu.

Photo by Andrew Powell/Liverpool FC via Getty Images)

Brewster kerap dipanggil untuk berlatih bersama skuad utama Liverpool dan turut tersenarai untuk perlawanan menentang Sydney FC selepas tamat musim 2016-17 yang lalu.

Jika Brewster mengekalkan kerja kerasnya pada hari ini, tidak mustahil Klopp akan memanggil Brewster untuk melakukan penampilan sulung (debut) bersama skuad Liverpool pada musim ini.

Corak permainan persis Luis Suarez

Luis Suarez adalah salah seorang penyerang yang cemerlang ketika beraksi untuk kelab Merseyside, sebelum melengkapkan perpindahannya ke La Liga bersama Barcelona.

Maka tidak hairanlah Brewster menjadikan Suarez sebagai idola, dan corak permainan penyerang antarabangsa Uruguay tersebut turut menjadi inspirasi dan ikutan Brewster.

. (Photo by John Powell/Liverpool FC via Getty Images)

“Saya tahu Suarez sudah tidak beraksi di EPL, tetapi Suarez adalah pemain yang bagus ketika bersama Liverpool. Suarez sangat menakjubkan dan saya sentiasa mengikuti perkembangan beliau.”

“Corak permainannya mirip apa yang saya miliki. Suarez adalah pemain yang pantas dan mampu menjaringkan banyak gol. Adalah satu perkara yang mengujakan jika saya boleh bermain untuk pasukan utama Liverpool sepertimana Suarez lakukan satu hari nanti.”

Suarez adalah idola Brewster yang merupakan bekas pemain kelab Merseyside itu. Untuk skuad sedia ada, Roberto Firmino adalah satu lagi pemain yang memiliki corak permainan yang digemari oleh Brewster.

(Photo by Shaun Botterill/Getty Images)

“Di kalangan pemain di skuad utama pada hari ini, saya sering melihat kepada Roberto Firmino. Sebagai pemain muda, sudah tentu saya juga cuba mengikuti kelebihan pada permainan yang ditampilkan oleh Firmino.”

“Firmino adalah pemain yang mengamalkan corak permainan secara berpasukan dan turut menyumbangkan gol. Begitu juga dengan legenda kelab seperti Steven Gerrard. Saya mahu belajar corak penyudah yang berlainan, dan Gerrard turut banyak membantu pembangunan karier saya.”

Steven Gerrard adalah ketua jurulatih skuad B-18 Liverpool dan bekerja erat dengan Neil Critchley yang mengendalikan skuad B-23. Kedua-duanya adalah tulang belakang kepada pembangunan pemain muda di Prenton Park untuk skuad utama Liverpool.

Apa yang kita boleh pelajari?

Apabila kita bercakap mengenai bakat muda di England, kebanyakkan daripada kita akan menunjukkan sikap skeptikal akan hala tuju pemain ini selepas mulai beraksi di peringkat yang lebih senior.

Senario bola sepak di England menyaksikan kelab lebih mengutamakan pemain daripada luar, disebabkan bakat Inggeris sendiri sukar dicari dan mempunyai nilai pasaran yang lebih tinggi.

(Photo by Saikat Paul/Pacific Press/LightRocket via Getty Images)

Senario ini mulai berubah sejak beberapa musim yang lalu. Nilai pemain daripada luar England turut mempamerkan peningkatan ketara di dalam pasaran pemain. Ini menyebabkan kelab-kelab Inggeris mulai memperkasakan kembali akademi-akademi milik mereka untuk menghasilkan pemain tempatan yang berkualiti.

Sehingga kini, kita boleh melihat hasilnya di pertandingan peringkat umur. Sudah tentu ia adalah perkara dan saingan berbeza di peringkat lebih senior, dan ia memerlukan penerapan lebih profesional dan matang untuk mengecapi kejayaan.

Kejayaan bukan sahaja diukur daripada talenta dan bakat semata-mata. Lebih daripada itu, disiplin, keinginan, kekuatan mental, pendidikan, sikap dan sebagainya turut menyumbang kepada kejayaan.

Sekurang-kurangnya kelab-kelab di England sudah mulai melakukannya. Hasil awal turut sudah mulai dituai. Langkah seterusnya adalah perkara lain yang perlu dilakukan dengan rangka serta strategi berlainan.

Bagaimana dengan senario di negara kita? Apa yang boleh kita lakukan? Hakikatnya, bola sepak kita masih jauh berbanding England dan tidak wajar untuk dilakukan perbandingan secara terus.

Namun ini tidak bermakna kita harus pejam mata tanpa sebarang tindakan proaktif.

Pengarah dan Ketua Jurulatih PPBN, Lim Teong Kim. Foto: NFDP Malaysia.

Sebagai contoh untuk permulaan, pasukan Liga Malaysia kita boleh melakukan penjimatan kewangan dengan menghadkan pengambilan pemain asing (contoh: ambil 2 daripada 4 pemain yang dibenarkan), memilih untuk mendedahkan lebih ramai pemain muda di saingan kompetitif, dan melabur lebih banyak dari segi infrastruktur dan juga kejurulatihan.

Satu perkara yang pasti ialah kesemua ini memerlukan masa, kesabaran, kerja keras, pengorbanan dan juga kesanggupan.

Rumusan

Bagaimana dengan bola sepak kita? Bilakah kita akan menyaksikan generasi muda kita mencipta nama di pentas dunia? Usah bicara Piala Dunia. Mari kita mulakan dengan pencapaian di Asia dahulu.

Tetapi wajarkah kita hanya menanti peruntukan saban tahun daripada kerajaan dan hanya bergantung harap kepada Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) untuk menghasilkan pemain?

Liga Super 2017 sudah melabuhkan tirai. Berapa banyak tirai lagi yang perlu kita singkap sehingga semua persatuan negeri dan kelab menyedari bahawa akademi bola sepak adalah tunjang kebangkitan bola sepak negara?

Tepuk dada, tanya selera.

Nota Editor: Artikel ini adalah pandangan penulis semata-mata dan tidak mewakili pandangan syarikat Semuanya BOLA sebagai sebuah organisasi.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN