Enervive Consultancy Rakan Kongsi Baharu MFL

Malaysian Football League (MFL) hari ini mengumumkan kemasukan rakan kongsi baharu Enervive Consultancy Sdn Bhd (EVC) dalam penstrukturan hak penyiaran Liga Malaysia bermula musim 2020.

Menerusi penstrukturan semula Liga Malaysia ini menyaksikan hak penyiaran Liga Malaysia secara terus kepada pengguna khususnya penyokong bola sepak tempatan.

Berbeza dengan sebelum ini, hak penyiaran Liga Malaysia dipegang oleh syarikat-syarikat korporat dan stesen televisyen tempatan.

Bermula musim depan, MFL tidak lagi bergantung kepada syarikat penyiar bagi mendapatkan dana pembayaran hak penyiaran kepada setiap pasukan bertanding.

Sebaliknya penyokong bakal memainkan peranan penting untuk menjana pendapatan pasukan dengan melanggan aplikasi yang bakal diperkenalkan oleh EVC dalam masa terdekat.

Menerusi platform yang disediakan itu, penyokong dapat menonton siaran langsung perlawanan Liga Super, Liga Premier, Liga M3, Piala FA, Piala Malaysia, Piala Sumbangsih dan Challenge Cup.

Mengikut perancangan, MFL ingin menjemput persatuan sukan-sukan lain untuk turut bersama dalam platform yang disediakan ini bagi menjana pendapatan hak penyiaran mereka.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Kevin Ramalingam, penstrukturan semula hak penyiaran adalah salah satu anjakan paradigma yang bukan sahaja satu pembaharuan dalam industri bola sepak malah menjadi perintis kepada industri penyiaran oleh pengendali liga.

“Hari ini menjadi satu sejarah baharu apabila MFL bersama rakan kongsi, EVC mencetuskan satu revolusi industri bola sepak tempatan ke peringkat lebih tinggi. Inilah cetusan idea Pengerusi MFL DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim yang mahu menyaksikan penyokong memainkan peranan penting untuk menjana pendapatan pasukan. Ini kerana DYAM Tunku Ismail menaruh kepercayaan tinggi kepada penyokong untuk sama-sama memajukan Liga Malaysia.

“Kini, MFL bukan sahaja bertindak sebagai pengendali Liga Malaysia sebaliknya MFL juga memainkan peranan sebagai penyiar rasmi bola sepak tempatan bersama EVC dalam memastikan liputan meluas bola sepak terus kepada penyokong.

“MFL percaya langkah baharu ini akan dapat membantu menjana pendapatan pasukan dengan lebih efektif apabila MFL tidak terlalu bergantung kepada mana-mana syarikat penaja dan stesen televisyen seperti yang dilakukan pada musim-musim lalu.

“Sekarang, masa depan bola sepak Malaysia di tangan peminat di mana peranan mereka diibaratkan sebagai pemegang taruh kepada kelab masing-masing dengan menjana kewangan pasukan apabila setiap duit yang dibayar untuk melanggan perkhidmatan ini akan terus masuk ke kantung setiap pasukan bertanding di Liga Malaysia.

“Jika penyokong mahu pasukan mereka memiliki kewangan yang kukuh dan memiliki pemain yang baik, mereka harus memainkan peranan kepada pasukan mereka,” katanya dalam sidang media pengumuman hak penyiaran MFL hari ini.

Dengan kemasukan rakan kongsi baharu ini bakal menyaksikan setiap pasukan bertanding di Liga Malaysia akan menerima hak penyiaran sama seperti musim lalu bagi musim 2019 iaitu sebanyak RM3 juta bagi pasukan Liga Super dan RM1 juta bagi pasukan Liga Premier sebelum 15 Julai depan.

Pembayaran hak penyiaran akan dibuat sebanyak dua kali di mana pembayaran pertama bermula pada bulan ini disusuli pembayaran akhir pada 15 Ogos depan.

Sementara itu bagi Ketua Pegawai Eksekutif Enervive Group of Companies, Muhammad Nizamuddin Abdul Hamid mereka amat berterima kasih kepada MFL di bawah teraju DYAM Tunku Ismail yang bersedia untuk menerima EVC sebagai rakan kongsi baharu.

Ketua Pegawai Eksekutif Enervive Group of Companies, Muhammad Nizamuddin Abdul Hamid bercakap ketika sidang media di Johor Bahru petang tadi.

EVC sebagai firma pelaburan butik dan kini terlibat sebagai penasihat dan pengurusan hak sukan percaya dengan hala tuju serta perancangan yang diatur badan pentadbir Liga Malaysia itu menerusi penstrukturan hak penyiaran MFL untuk memberi manfaat besar kepada industri bola sepak tanah air.

“Kami amat berterima kasih dan dalam masa yang sama teruja menerusi kerjasama dengan MFL ini di mana saya percaya ia menjadi satu permulaan yang cukup positif ke arah perkembangan bola sepak Malaysia.

“Saya percaya MFL perlu berani melakukan pembaharuan untuk menyokong perkembangan pasukan Liga Malaysia dan kami di sini akan bersama-sama merealisasikan perancangan ini.

“Ia bukan sesuatu yang mustahil untuk dijayakan kerana kita tahu dan percaya bahawa industri bola sepak Malaysia cukup besar untuk diteroka dan pendekatan untuk memberi kepercayaan kepada penyokong dalam sama-sama membantu perkembangan pasukan masing-masing adalah pendekatan cukup positif,” katanya.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN