Pihak pengurusan Penang FC dalam sesi perjumpaan dengan penyokong pada 31 Disember lalu telah tampil menjelaskan dan menegaskan bahawa kapten, Endrick dos Santos bukan dipinjam dari mana-mana pasukan.
Sebelum ini pernah tersebar mengenai status Endrick yang dikhabarkan hanya berstatus pinjaman daripada juara lapan kali Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT). Apabila cukup tempoh untuknya dinaturalisasi, beliau dikatakan akan kembali ke pangkuan Harimau Selatan. Itu adalah khabar angin yang disebar sebelum ini.
Dalam satu temu bual bersama Astro Arena, TMJ dikatakan berkata mahu menaturalisasi Endrick dos Santos.
Ia diikuti dengan kenyataan DYAM Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor (TMJ) mengenai dua pemain naturalisasi yang bakal menyertai mereka pada saingan musim 2022 menerusi video di bawah ini.
HRH TMJ UPDATES FANS ON JDT SIGNINGS AND THURSDAY'S HISTORIC CEREMONY TEASER
Hidup Johor Demi Johor#HarimauSelatan#SouthernTigers#PermataSelatan#JewelOfTheSouth#JDTuntukSemua#JDTforAll pic.twitter.com/CprJm3WeKr
— JOHORSouthernTigers (@OfficialJohor) December 14, 2020
Begitupun, pendedahan tersebut dibuat tanpa menyebut nama pemain terlibat. Jika diamati, dua pemain tersebut telah pun tiba ke Iskandar Puteri selepas pengumuman tersebut iaitu Mohamadou Sumareh dan Guilherme de Paula. Sumareh tiba pada Februari 2021 dan Guilherme de Paula pula pada Mei 2021.
Dan jika benar sekalipun jodoh Endrick adalah JDT, ia hanya akan berlaku pada Januari 2023 apabila playmaker itu melengkapkan tempoh lima tahun di Malaysia dan selesai proses untuk dinaturalisasikan oleh pasukan.
Dan khabar ini menambah rencah kepada khabar angin yang sudah bertiup lama tentang status dirinya.
Menurut kenyataan Pengarah Sukan JDT, Martin Prest, tempohari, mereka akan merekrut kapten Penang FC, Endrick sebagai pemain naturalisasi, bukan pada musim ini, tetapi pada musim 2023. Memetik katanya di JST, “JDT juga akan merekrut Endrick dos Santos untuk musim 2023, dengan kemungkinan untuk dinaturalisasi.”
“Kelab telah membuat keputusan untuk hanya menaturalisasikan pemain yang masih muda dan boleh memberi sumbangan untuk jangka masa panjang,” tambah kenyataan itu lagi. Endrick akan berusia 28 tahun pada 2023.
Pengurus, Ong Eng Hua akhirnya tampil menjelaskan kepada para penyokong selepas soalan yang sama diajukan di sesi tersebut, “Mengenai isu Endrick, dia adalah pemain kita. Walaupun sebelum ini, TMJ [Tuanku Mahkota Johor] ada menyatakan di Astro Arena yang beliau akan menaturalisasi Endrick untuk Malaysia.”
“Saya rasa, sepatutnya [ketika itu], beliau perlu berhubung dengan Penang untuk khidmat Endrick [sebagai pemain Malaysia], walaupun [ketika itu] beliau tidak kata hendak ambil untuk kelab dia [JDT],” tambahnya.
“Untuk pengetahuan semua, Endrick sejak awal bukan kita pinjam dari mana-mana pasukan. Bukan pinjam dari Selangor, bukan pinjam dari JDT. Dia asal pemain Penang FA [ketika itu] sebelum bertukar kepada Penang FC,” jelasnya sambil ditegaskan juga yang Endrick dan ejennya turut terkejut dengan kenyataan tersebut.