Pemain pertahanan Chelsea, Emerson Palmieri berkata dia tidak mempunyai perancangan untuk meninggalkan kelab Liga Perdana itu pada musim panas nanti.
Pemain kebangsaan Itali itu dikaitkan dengan perpindahan ke Inter Milan apabila terdapat sumber dari akhbar Itali mendakwa pihak Inter Milan sedang berusaha untuk mengadakan perbincangan dengan Emerson.
Namun, susulan nama Emerson kembali disenaraikan dalam kesebelasan utama membuatkan pemain berusia 24 tahun itu berkata dia mahu terus kekal di Stamford Bridge.
“Dalam beberapa bulan terakhir ini saya sudah lebih banyak bermain.”
“Sekarang saya rasa lebih bersedia bermain di England. Saya juga merasakan saya telah menyesuaikan diri terhadap bola sepak Inggeris dengan baik. ”
“Terdapat lebih banyak kejuaraan di liga ini, di mana saya perlu maju dan juga bertahan. Jika anda tidak bermain dengan gigih, anda tidak boleh bermain di posisi saya, tetapi sekarang saya telah menyesuaikan diri dengan situasi ini.”
Emerson menyertai Chelsea dari AS Roma dengan nilai perpindahan sebanyak £17.6 juta (RM97.19 juta) dan menandatangani kontrak selama empat tahun setengah.
Sejak menyertai Chelsea, Emerson tidak mendapat banyak peluang untuk beraksi dalam kesebelasan utama.
Beliau mengalami kesukaran untuk bermain di Chelsea kerana Antonio Conte gemar menggunakan Marcos Alonso.
Tetapi keadaan telah berubah selepas Maurizio Sarri menjadi pengurus Chelsea. Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, Sarri lebih kerap menurunkan Emerson berbanding Alonso.
Musim 2017/18, Emerson hanya bermain 7 perlawanan secara keseluruhan bersama Chelsea dan pada musim ini, beliau telah bermain sebanyak 24 perlawanan.
Bercakap mengenai saingan Liga Inggeris, Emerson akui beraksi di liga terbaik di dunia ini memerlukan kekuatan fizikal dan mental.
“Di sini, apabila taktikal tidak berfungsi, anda memerlukan ketenangan dan kekuatan.”
“Jika anda mempunyai semua seperti saya, maka keadaan akan lebih mudah untuk menyesuaikan diri dengan Liga ini.”