Pertahanan kental Indonesia, Elkan Baggott secara rasminya kini menyertai saingan EFL League One di England bersama Bristol Rovers dengan membawa status selaku pemain pinjaman bagi baki musim 2023/2024.
Terdahulu, Baggott telah pun mencipta sensasi tersendiri untuk bersaing dalam kejohanan Championship bersama Ipswich Town yang merupakan divisyen kedua di England sebelum melangkah ke English Premier League (EPL).
Namun, atas faktor kesukaran untuk mendapat lebih banyak minit permainan menjadikan pertahanan tinggi lampai itu dipinjmkan kepada Bristol Rovers untuk mendapat lebih banyak ruang beraksi.
Sepanjang bersama Ipswich Town, Baggott hanya diturunkan beberapa kali sahaja dalam perlawanan serta lebih banyak tersisih di bangku simpanan dalam saingan Championship.
Pada usia 21 tahun, pastinya Baggott mempunyai impian lebih besar untuk bersaing di England dengan mengumpul lebih banyak minit permainan dan ianya diakui apabila pemain tersebut sudah pun membuat perbincangan bersama pengurus Bristol Rovers, Matt Taylor.
“Saya telah mengadakan beberapa perbincangan sebelum ini bersama pengurus kelab tersebut (Bristol Rovers) seperti cara permainan di sini dan ianya bersesuaian dengan saya,” ujar Baggott menerusi laporan dikeluarkan oleh Bola.com.
Kata Baggott lagi, beliau turut mempunyai tekad untuk mempamerkan kualiti tinggi dalam permainan serta merebut kesebelasan utama selaku tonggak pertahanan buat pasukan tersebut.
Apatah lagi Baggott turut mengakui Matt Taylor memiliki cara kerja yang sangat bagus untuk melatih pasukan serta dirinya nanti untuk memacu kelab tersebut dalam saingan League One.
“Cara kerja dan organisasi daripada pengurus kelab ini pada pandangan saya sangat bagus, maka ia bakal memberi peluang buat diri ini untuk tampil terbaik bersama pasukan,” ujar Baggott lagi.
Setakat ini, Baggott telah pun dipinjamkan sebanyak tiga kali oleh Ipswich Town apabila beliau pernah beraksi bersama Gillingham serta Cheltenham sebelum menyertai Bristol Rovers pula.
Sepanjang bersama dua kelab tersebut, Baggott berjaya mempamerkan corak permainan yang sangat baik dan memberi kesan positif buat perkembangan dirinya pada usia masih muda.
Baggott juga menjadi antara tunjang penting ketika ini bersama pasukan kebangsaan dan telah pun beraksi dalam saingan Piala Asia 2023 lalu untuk membawa mereka mara ke pusingan 16 terbaik.
Pada usia masih muda, Baggott masih mempunyai perjalanan karier yang panjang untuk berkembang di England serta memberi petanda positif khususnya buat skuad kebangsaan Indonesia.