Umum mengetahui kepuasan pengguna adalah bersifat subjektif dan tidaklah bersifat seragam antara individu-individu lain.
Namun, kepuasan terhadap penggunaan sesuatu produk atau perkhidmatan dapat dinilai antara individu melalui penyataan persepsi hasil dari pengumpulan data secara kuantitatif mahupun kualitatif.
Kepuasan ini bukanlah merujuk kepada keputusan atau persembahan pasukan yang disokong, malah ianya diukur berpandukan kepada elemen premis organisasi samada milikannya sendiri ataupun diperoleh secara sewa.
Artikel ini membincangkan mengenai kepuasan menonton perlawanan bola sepak di stadium dan apakah faktor yang mempengaruhi kepuasan penonton ketika berada di stadium.
Banyak faktor yang boleh menarik penonton ke stadium antaranya faktor motivasi penyokong, tarikan sesebuah perlawanan, faktor ekonomi, kompetitif antara pasukan-pasukan dan nilai sukan itu dalam kalangan komuniti.
Namun, faktor utama yang dikenalpasti yang boleh mempengaruhi kepuasan penonton dan mampu mengekalkan kesetiaan terhadap sesebuah organisasi adalah fasiliti atau sportscape.
Apa itu Sportscape?
Seperti pengusaha-pengusaha perniagaan yang lain, bola sepak dan stadium tidak boleh dipisahkan di mana subjek bola sepak itu sendiri dilabelkan sebagai sebuah peniagaan, manakala stadium itu pula sebagai premis yang menjadi subjek menjana pendapatan sesebuah organisasi.
Konsep sportscape merujuk kepada terma yang digunakan dalam konsep perniagaan berlandaskan perkhidmatan iaitu servicescape.
Jadi, sudah pasti mana-mana pengusaha perlu memastikan premis mereka dalam keadaan terbaik agar dapat menyediakan satu pengalaman menonton bola sepak yang boleh dijadikan kenangan yang indah bagi penontonnya.
Fasiliti stadium seperti kemudahan asas merujuk kepada tandas, surau, tempat letak kereta, gerai-gerai makan, jaringan pengangkutan awam yang baik, bukanlah elemen tunggal yang dinilai dalam sportscape – malah ia lebih luas dan tidak tertakluk kepada fasiliti semata-mata.
Pengalaman hari perlawanan atau matchday experience, suasana persekitaran di dalam stadium turut dilihat sebagai antara faktor yang turut menyumbang kepada penghasilan sportscape yang baik.
Penerbitan buku program perlawanan atau matchday program, alunan muzik di luar waktu permainan, video informasi untuk penonton di layar gergasi, keselamatan penonton, sistem penjualan tiket, pencahayaan di dalam & luar stadium dan memastikan pengudaraan yang baik merupakan antara elemen yang perlu diberi perhatian dalam usaha meningkatkan kepuasan penonton.
Menurut pakar dalam industri berasaskan hospitaliti sukan iaitu David Fowler dan Geoff Wilson, mereka menekankan 5 dimensi yang perlu diterapkan oleh mana-mana organisasi dalam memastikan hubungan di antara penyokong dan organisasi/kelab dapat dieratkan atau isitilah yang biasa kita dengar iaitu fan engagement.
Salah satu yang menjadi kepentingan adalah meningkatkan pengalaman menonton di stadium.
Konsep Manchester City Square yang diwujudkan dalam kalangan penyokong sebelum hari perlawanan adalah satu konsep yang perlu dijadikan contoh di mana sekumpulan penyokong menjadikan kawasan ini untuk berkumpul sambil didendangkan alunan muzik yang boleh menaikkan semangat dan memeriahkan suasana di sekitar stadium.
Kemudahan Wi-Fi adalah satu lagi keperluan dan bukanlah bersifat inovasi yang perlu disediakan oleh mana-mana organisasi sepanjang hari perlawanan di stadium.
Mengikut kajian oleh Future’s Foundation Research, 69% penyokong bersetuju dengan adanya kemudahan internet kerana ia dapat meningkatkan lagi pengalaman menonton di stadium.
Terbaru, Bury FC di England mengikuti jejak langkah pasukan-pasukan gergasi di Premier League dengan menawarkan kemudahan Wi-Fi secara percuma kepada penonton.
Kemudahan internet yang cekap bukan sahaja dapat memudahkan para penonton untuk berinteraksi di media sosial, malah dapat memudahkan beberapa urusan seperti yang dipraktikan oleh Rapid Q, di mana para penonton boleh memesan makanan & minuman dengan menggunakan aplikasi dan boleh diambil sebelum perlawanan, waktu rehat dan di akhir perlawanan.
Selain itu, kemudahan internet membolehkan penonton mengalami lebih keseronokan ketika menonton perlawanan.
Pembantu peribadi hari perlawanan atau personal match day assistant juga dikenali sebagai second screen membolehkan penonton mendengar ulasan sepanjang perlawanan, menyaksikan ulang tayang dan statistik perlawanan.
Ia bakal meningkatkan kehadiran dan keseronokan menonton di stadium. Second screen bukan sahaja merujuk kepada informasi yang dipamerkan di papan markah, malah boleh dipraktikan melalui aplikasi yang dimuat turun melalui telefon pintar.
Pengguna dapat menyemak senarai pemain yang diturunkan pada hari perlawanan, customised replay, statistik perlawanan, keputusan semasa lain-lain perlawanan dan sebagainya.
Kesimpulan
Secara kesimpulan, memang tidak dapat dinafikan kedatangan dan keseronokan penonton ke stadium adalah bergantung kepada prestasi semasa sesebuah pasukan.
Namun kepentingan penyediaan sportscape perlu diberi perhatian ke arah membudayakan tanggungjawab korporat dalam kalangan kelab dan persatuan yang akhirnya boleh menguntungkan pelanggan.
Sudah pasti, usaha dan perjalanan yang terlalu jauh untuk dibudayakan dalam kalangan pasukan-pasukan di liga tempatan. Namun tidak mustahil bakal menjadi kenyataan pada masa akan datang.
Nota editor: Artikel ini merupakan hasil tulisan pembaca kami bernama Nurazree Mahmud. Jika anda mahu tulisan anda dibaca oleh jutaan rakyat Malaysia, hantar artikel 300 patah perkataan anda dalam format MS Word ke [email protected] .