Elastico: Trik Licik Ciptaan Orang Jepun Yang Dilahirkan Di Brazil

Elastico antara teknik gelecekan yang paling licik dalam bola sepak. Ketika Ronaldo Fenomeno melakukan satu maneuver yan licik dengan 2 sentuhan dengan 1 langkah kaki menewaskan Nesta yang ketika itu bermain untuk Lazio- itulah pertama kali saya melihat satu trik licik yang rupa-rupanya digelar elastico.

Sejarah Elastico

Ronaldo Il Fenomeno memang terkenal dengan gerakan ini. Namun sejarah gerakan elastico ini bermula sejak 1960-an. Ianya sinonim dengan seorang lagi nama legena Brazil iaitu Rivellino. Beliau dianggap pelopor ataupun pencipta kepada gerakan licik itu.

Namun begitu, Rivellino tidak mahu mengambil 100% kredit untuk digelar pencipta gerakan itu. Rivellino menyatakan gerakan itu adalah hasil daripada tunjuk ajar rakan sepasukan beliau di Corinthians iaitu Sergio Echigo (bulatan).

Oleh kerana ia dari kaki Echigo bermakna trik ini adalah baka dari orang Jepun. Ini kerana Sergio Echigo adalah dari keluarga berketurunan Jepun yang menetap di Brazil.

Rivellino mungkin 100 kali lebih bagus dari Echigo dalam karier bola sepak. Dan tidak ramai pun yang kenal dengan Echigo -berbanding dengan Rivellino yang dikenali di seluruh dunia.

Skil istimewa ini rupa-rupanya daripada kaki seorang pemain yang kemahiran bola sepak yang lebih terhad daripada yang kita gambarkan. Dan beliau juga bukannya dari bakat berkelas dunia. Namun begitu, beliau tetap digelar Mr. Elastico yang sebenar.

Rivellino yang mengadaptasi gerakan itu daripada Echigo, kemudiannya melakukan gerakan itu hampir 10 kali lebih baik dari Echigo.

Rivellino seorang ‘gentleman’ sejati dalam bola sepak. Oleh sebab itu beliau mahu orang tahu asal usul gerakan di kaki beliau adalah dari tunjuk ajar rakannya di padang latihan.

“Saya belajar trik ini dari rakan saya di akademi Corinthians pada 1964. Beliau mencipta trik itu. Pada suatu hari saya melihat beliau melakukannya di pusat latihan di bawah pokok. Saya terus berkata, hey Jepun (panggilan mesra kepada Echigo), apa nama trik tu?”

“Beliau membalas: ‘Hey Riv, senang sahaja buat ni. Nanti saya ajar awak’. Echigo pernah berkata, dia adalah pencipta namun saya menjadikannya sempurna.”

Rivellino mulai menjadikan trik ini popular pada Piala Dunia 1970. Beliau pernah berseloroh tentang trik ini. Katanya:

“Tak semua orang boleh melakukannya. Pele yang penuh dengan skil pun tidak mampu melakukannya.”

Kata-kata Rivellino ini ada benarnya. Ia adalah lebih kepada bakat semulajadi dengan latihan teknik yang betul. Pada era moden, kita melihat Ronaldo Fenomeno menjadi sangat popular dengan trik ini.

Selepas itu, Ronaldinho menjadikannya lebih cantik dan Ronaldinho dianggap pemain terbaik untuk elastico. Ada yang menggelar ia gerakan Ronaldinho.

Pemain lain adalah seperti Robinho, Zlatan Ibrahimovic, Paul Pogba, Cristiano Ronaldo, Willian, Luis Suarez dan ramai lagi.

Konsep

Ia bertepatan dengan nama elastico yang merujuk kepada gerakan yang elastik. Trik ini dilakukan dengan mengacah lawan dengan menolak bola ke bahagian kaki luar (outside boot).

Ketika pertahanan cuba mematikan bola itu, dengan pantas bola disentuh dengan inside boot. Kadar kepantasan menukar arah bola membuatkan pertahanan lawan hilang keseimbangan.

Sekarang anda nikmati persembahan elastico di bawah ini.

Rumusan

Dalam segmen teknikal sebelum ini kami menyatakan maneuver seperti nutmeg dan sombrero agak memperlekehkan pihak lawan. Namun elastico pula lebih dikagumi kerana ia gerakan pantas dan licik.

Antara cara untuk melepaskan diri dengan darjah kelicikan yang sangat tinggi. Anda perlu ada kemampuan untuk mengawal bola dengan kaki luar dan kaki dalam yang sangat baik.

Ianya ditambah dengan stabiliti pada kaki terutama lutut. Anda akan kelihatan seperti penakluk dunia jika berjaya melakukannya, namun jika gagal anda rasa ingin balik ke rumah dan bersembunyi selama sebulan.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN