Eksklusif: Ketegasan Weigang Yang Tidak Akan Dilupakan V. Saravanan

V. Saravanan

V. Saravanan merupakan satu nama yang tidak perlu diperkenalkan lagi dalam kancah bola sepak tanah air terutamanya sewaktu beliau menyarung jersi Perak.

‘Bersenjatakan’ kelincahan serta penyudah baik dimilikinya, tidak keterlaluan untuk melabelkan V. Saravanan sebagai antara penyerang terbaik yang pernah dimiliki Perak dan skuad kebangsaan pada puncak prestasinya sekitar tahun 2000 hingga 2004.

Jaringannya pada dua perlawanan akhir Piala Malaysia [1998 dan 2000] akan kekal utuh dalam sanubari beliau dan juga buat para penyokong Perak yang pastinya merindui kelibat bekas pemain dengan jersi nombor 21 ini.

Lebih menarik, kedua-dua perlawanan akhir itu dimenangi oleh Perak dan mendiang Karl Heinz Weigang merupakan ketua jurulatih buat skuad Yob.

Kredit foto: Azman Mamu

Karl Heinz Weigang ‘rawat kekecewaan’ Saravanan

Saravanan ketika dihubungi wakil Semuanya BOLA, tanpa berselindung mengakui bahawa mendiang Weigang adalah antara jurulatih yang memberikan kesan mendalam dalam perkembangan kariernya.

Mengimbau kembali kenangan tersebut, beliau yang kini berada di Finland mendedahkan pengendali dari Jerman itu telah memberikan peluang kepadanya untuk terus mempamerkan kualiti yang dimilikinya.

”Semuanya bermula selepas diketepikan dari skuad Olimpik 2000 apabila saya dan Chan Wing Hoong mengalami kecederaan. Saya masih ingat ketika itu saya dan Chan menyaksikan perlawanan play-off Piala Malaysia 1998 yang mana Perak bertemu Selangor.”

”Ketika itu, Weigang berjumpa kami dan mengatakan anda perlu doakan Perak menang untuk anda beraksi bersama pasukan ini. Nasib kami sangat baik kerana Perak berjaya menang dan jaringan cantik Laszlo Repasi membantu Perak meraih kemenangan.”

Kemenangan itu sekaligus melayakkan Perak ke saingan Piala Malaysia dan ia umpama ‘mati hidup semula’ buat Saravanan selepas beliau kecewa akibat diketepikan dari skuad Olimpik 2000.

Kenangan tak dapat dilupakan bersama Weigang

Seperti diketahui umum, mana-mana pemain yang berada di bawah kendalian Karl Heinz Weigang sememangnya memerlukan kekuatan dari segi fizikal dan mental untuk menerima tunjuk ajar dari pengendali kelahiran Jerman tersebut.

Begitu juga yang dihadapi oleh Saravanan apatah lagi ketika itu beliau baharu mencecah usia 20 tahun. Usia yang begitu mentah bagi seorang pemain muda untuk berhadapan dengan jurulatih berpengalaman luas tersebut.

”Latihan pertama sebaik sahaja saya pulih dari kecederaan, saya sudah ‘dimaki’ oleh Weigang kerana tidak melakukan hantaran dengan baik kepada rakan sepasukan.”

”Bayangkanlah macam mana perasaan saya pada ketika itu apabila dimarahi di hadapan penyokong Perak yang begitu ramai menyaksikan sesi latihan di Padang Kompleks [kini Stadium Ragbi Perak],” ujar Saravanan sambil ketawa mengimbau kenangan tersebut.

Sebagai pemain yang masih baharu dalam persekitaran pasukan, Weigang turut meminta Saravanan supaya melakukan tugasan sampingan.

”Saya bersama Chan Wing Hoong dan penolong jurulatih Perak pada ketika ini, Shahril Nizam Khalil perlu untuk membersihkan bilik persalinan, membawa bola ketika sesi latihan pada setiap hari. Itulah antara tugasan sampingan yang perlu kami lakukan.”

”Weigang mahu kami melakukan semua perkara itu sebagai tanda hormat kami kepada pemain-pemain senior dalam pasukan. Perasaan tersebut secara tidak langsung membuatkan kami akan menghormati rakan sepasukan ketika beraksi dalam padang.”

”Waktu berlari mengelilingi padang pun ada perbezaan antara pemain muda dan senior. Sekiranya pemain senior menghampiri kami ketika itu, kami dihukum perlu untuk menambah dua lagi pusingan.”

”Biasalah pemain senior ada yang cuba untuk mencabar dengan berlari menghampiri kami, jadi keadaan itu menyebabkan pemain-pemain muda ini perlu berlari dengan lebih laju untuk menjauhkan diri dari mereka.”

Saravanan juga dalam pada itu turut memuji Weigang yang berjaya mewujudkan suasana kekeluargaan dan bersatu dalam pasukan serta menganggap beliau umpama bapa angkat kepada pemain Perak.

”Dia adalah bapa angkat kami. Dia tegas, keras, degil tetapi dia sayang kepada kami semua.”

Pelajaran terbaik diberikan Weigang

Selain itu, mendiang Weigang turut mempunyai cara beliau yang tersendiri dalam mendisiplinkan para pemainnya untuk menjadi pemain yang berkualiti tinggi. Perkara itu turut tidak terkecuali dihadapi V. Saravanan.

”Pada perlawanan Piala Malaysia 1998, saya berjaya menjaringkan gol kemenangan dan mencipta bantuan jaringan kepada gol Laszlo Repasi. Lepas perlawanan saya menerima anugerah pemain terbaik daripada kelab penyokong.”

”Ketika saya ingin ke arah penyokong untuk mengambil trofi anugerah itu, Weigang memberikan amaran supaya tidak ke sana dan mengarahkan saya masuk ke bilik persalinan.”

”Alasan yang diberikan olehnya ketika menghalang saya mengambil trofi itu adalah ‘kamu jangan ingat nak jadi ‘superstar’, jangan selesa sangat dengan apa yang kamu nikmati sekarang ini.”

”Selepas itu, banyak jaringan yang saya hasilkan, langsung dia tak pernah puji saya walau sekali pun. Bercakap dengan saya juga tidak.”

”Pertama kali dia datang berjumpa saya dan bercakap dengan baik adalah sebelum aksi final Piala Malaysia 1998. Pada waktu itu terdapat perselisihan faham antara dia dan Repasi.”

”Dia memberikan semangat kepada saya bahawa dia tidak kisah untuk membuang Repasi tetapi dia mahu saya membuktikan saya mampu untuk menjadi sehebat Repasi.”

”Perbincangan pasukan juga dia mengulangi perkara yang sama dengan ayat berbunyi ‘tidak mengapa kita tak ada permata putih tetapi kita ada permata hitam [merujuk kepada Saravanan].”

”Ia benar-benar memberikan semangat buat saya kerana rakan sepasukan juga turut memberikan semangat buat saya untuk beraksi dengan baik.”

Saravanan sedar segala ketegasan yang ditunjukkan oleh Weigang adalah hanya untuk melihat beliau menjadi seorang penyerang yang berkualiti pernah dimiliki Perak dan skuad negara.

Penutup

Begitulah besarnya pengaruh Karl Heinz Weigang dalam membentuk V. Saravanan sebagai seorang penyerang terbaik negara.

Dari seorang pemain yang hanya mendapat pendedahan dalam kejohanan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) 1995 di Johor, beliau terus mencuri tumpuan ketua jurulatih skuad remaja kebangsaan yang ketika itu dibimbing Hatem Souissi bagi menghadapi Piala Dunia Remaja 1997 di laman sendiri.

Selepas mendapat didikan Hatem, datang pula Weigang menambahkan lagi ilmu yang cukup berguna dalam memberikan erti sebenar bola sepak profesional buat V. Saravanan.

Kredit featured image: Silver Retro

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN